Selasa, 24 September 2013

Cara Kembali Pada Kebenaran

Posted by epondok
Daripada Jabir, katanya Rasulullah SAW bersabda: “Perumpamaanku dengan kamu sekalian ialah bagaikan orang yang menyalakan api. Maka serangga-serangga berterbangan menjatuhkan diri ke dalam api itu.

Pada hal orang itu telah berusaha menghalaunya. Dan aku telah mencegah kamu semua supaya tidak jatuh ke dalam api, tetapi kamu meloloskan (melepaskan) diri daripada tanganku.” (Riwayat Muslim).

Rasulullah SAW telah ditugaskan membawa petunjuk daripada Allah SWT dan kita selaku umatnya hendaklah menurut segala ajaran yang telah disampaikan itu kerana itulah satu-satunya jaminan kita akan terlepas daripada azab Allah di akhirat kelak dan juga mendapat keselamatan hidup di dunia.

Sesungguhnya tiada jaminan yang lebih besar selain daripada mendapat perlindungan daripada Allah yang Maha Berkuasa.

Meskipun dikatakan bahawa manusia itu tidak pernah terlepas daripada melakukan kesalahan dan dosa, namun tentu ada caranya supaya kita tidak terus bergelumang dengan perkara itu iaitu segera kembali kepada kebenaran dan meninggalkan kebiasaan buruk sebelumnya.

Wajib guna akal nilai baik, buruk

Ini disertai dengan meminta keampunan daripada Allah dan bertaubat. Oleh itu, setiap manusia wajib menggunakan akal fikirannya untuk menilai manakah yang baik dan buruk serta sentiasa memohon hidayah daripada-Nya supaya ditetapkan hati di atas jalan kebenaran.

Justeru, hendaklah kita sentiasa melakukan kebenaran serta mengikut jalan yang benar seperti ditunjukkan Rasulullah SAW. Cabaran umat akhir zaman, suka mempertikai apa yang diperintahkan kepada mereka dengan hujah yang mengikut hawa nafsu sendiri.

Daripada Ibnu Mas’ud (Abdullah), Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya kebenaran itu membawa kepada kebaikan (taat) dan kebaikan itu pula membawa ke syurga.

Seseorang itu sentiasa bercakap benar sehingga ditulis di sisi Allah sebagai orang yang bersifat benar. Dan bahawa kedustaan membawa kepada kejahatan, dan kejahatan itu membawa ke neraka. Dan sesungguhnya seseorang itu sentiasa berdusta sehingga ditulis (dihukum) di sisi Allah sebagai orang yang bersifat dusta.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kebenaran boleh diukur dengan kata-kata yang menepati realiti yang berlaku dan boleh diukur dengan tindakan atau pelaksanaan. Kesudahan bagi orang yang bersikap benar adalah syurga, dan kesudahan bagi pendusta adalah neraka.

http://epondok.wordpress.com/2013/09/22/cara-kembali-pada-kebenaran/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan