Ahad, 24 Mac 2019

PERiHAL SoLAT SUFi

Dalam sebuah atsar diriwayatkan bahawa Nabi s.a.w bersabda :
من لم تنهه صلاته عن الفحشاء والمنكر لم تزده من الله الا بعدا
Sesiapa yang tiada mencegah solatnya dari melakukan kekejian dan kemungkaran tiada bertambah solatnya di sisi Allah melainkan kejauhan. (Ad Dailami)

Pada riwayat yang lain pula ada dinyatakan dengan lebih jelas akan hakikat ini:
إذَا صَلىَّ العَبْدُ فَلَمْ يُتِمُّ رَكُوْعَهَا وَلاَ سُجُوْدَهَا وَلاَ خُشُوعَهَا لُفَّتْ كَمَا يُلَفُ الثَّوْبُ الخَلْقُ ثُمَّ يُضْرَبُ بِهَا وَجْهَهُ.
Apabila seorang hamba itu melakukan solat sedang dia tiada menyempurnakan rukuk, sujud dan khusyuknya maka solat tersebut akan dilipat seperti dilipatnya kain yang lusuh lalu dilemparkan ke mukanya . (At Tabrani).

Ketahui oleh mu duhai saudara ku! Solat yang khusyuk itu ada 3 martabat :-
1. Khusyuk yang terhasil dari perasaan takut, rendah dan hina diri iaitu khusyuk para ahli zahid dan abid.
2. Khusyuk yang disebabkan perasaan takzim dan mengagungkan Allah iaitu khusyuk para salik.
3. Khusyuk yang terhasil dari perasaan suka dan gembira serta hatinya tiada sedikit pun berpaling dari Nya, iaitu khusyuk para arif yang wasil dan maqam inilah yang disabdakan oleh Nabi s.a.w:
جعلت قرة عيني في الصلاة
Telah dijadikan kegembiraan dan kesukaan ku pada solat...

Di sisi kaum sufi solat yang tiada disertai dengan khusyuk dan kehadiran hati adalah batil kerana matlamat disyaratkan solat itu adalah untuk mengingatiNya. Ia seperti mana yang telah di Firman kan oleh Allah :
... وَأَقِمِ الصَّلَاةَ لِذِكْرِي
Dan dirikan lah solat untuk mengingati Ku (Taha: 13)

Tiadalah penawar yang paling mujarab untuk menjadikan hati khusyuk kepada Allah ketika solat melainkan dengan zuhud terhadap dunia yakni tawar hati terhadap dunia. Hal ini kerana seorang itu akan mengingati dan mengambil berat sesuatu yang dicintainya.

Cinta dunia itu adalah puteri syaitan maka adalah mustahil ia tiada diziarahi oleh bapanya. Maka selagi ada kecintaan terhadapnya walaupun sedikit selagi itulah akan hadir lintasan-lintasan yang melalaikan hati dari Allah.
Justeru selagi pohon cinta dunia ini tiada dicabut akarnya di dalam hati mu maka selagi itulah engkau tiada akan mencapai khusyuk yang benar di dalam solat.

Menurut Imam Al Ghazali r.a di dalam kitabnya Minhajul Abidin, zuhud ada dua jenis: zuhud yang mampu diusahakan dan zuhud yang tiada mampu diusahakan (kurniaan Allah yang dilimpahkan ke dalam hati seorang hamba yang benar dalam mensucikan hati dari kecintaan kepada dunia).

Ada 3 kaedah untuk menzuhudkan hati dan ia adalah mukadimah untuk memperoleh zuhud hakiki.

1. Tiada mengambil pusing akan nikmat dunia yang telah terluput dan terlepas atau untuk lebih mudah difahami ialah tiada menyesal dengan apa yang telah dibelanjakan.
2. Membelanjakan apa yang dihimpunkan dan dikumpulkan khasnya dalam perkara fi sabiliLLah.
3. Melatih hati untuk meninggalkan keinginan dan pilihannya terhadap dunia...

Sudah tentulah di antara ketiga-tiga langkah ini, langkah yang terakhir adalah yang paling sukar. Hal ini kerana berapa ramai yang meninggalkan dunia pada zahirnya tetapi menghendakinya pada batin...

Sementara itu, di antara perkara yang amat membantu untuk kita khusyuk dalam solat ialah dengan memperbanyakkan zikir kepada Allah sama ada dengan lisan mahupun hati dan membiasakan diri sentiasa berada dalam keadaan suci dari hadas kecil dan besar, kerana sesungguhnya batin dan zahir itu mempunyai pertautan yang sangat kuat.
والله ورسوله أعلم بالصواب

Tiada ulasan:

Catat Ulasan