Rabu, 27 September 2023

BENTUK TUBUH RASULULLAH صلى الله عليه وسلم

 Syamail Muhammadiyah

Daripada Ali ibn Abi Talib k.w. berkata:

"Rasulullah صلى الله عليه وسلم tidak terlalu tinggi dan tidak pula terlalu rendah. Rasulullah صلى الله عليه وسلم bertubuh sederhana di antara kaumnya. Rambutnya tidak kerinting bergulung dan tidak pula lurus kaku, tetapi ikal bergelombang. Badannya tidak gemuk, wajahnya sedikit bulat dan agak bujur. Kulitnya putih kemerah-merahan. Matanya hitam pekat dan bulu matanya lentik. Bahunya bidang. Rasulullah صلى الله عليه وسلم memiliki bulu yang memanjang dari dada sampai ke pusat. Telapak tangan dan kakinya tebal. Apabila berjalan, Baginda صلى الله عليه وسلم berjalan dengan tegap seakan-akan sedang menuruni tanah yang curam. Apabila Baginda صلى الله عليه وسلم berpaling, maka seluruh badannya ikut berpaling. Di antara kedua bahunya terdapat Khatam al Nubuwwah, iaitu tanda kenabian. Baginda صلى الله عليه وسلم memiliki hati yang paling pemurah di antara manusia. Ucapannya adalah yang paling benar di antara semua orang. Perangainya amat lembut dan paling mulia dalam pergaulan.

Sesiapa yang kali pertama melihatnya dan tidak pernah mengenalinya sebelum itu, pasti akan menaruh perasaan gerun dan hormat terhadapnya (kerana melihat kehebatannya). Manakala sesiapa yang telah bergaul dan mengenalinya, pasti akan mencintainya.

Orang yang menceritakan sifatnya, pasti akan berkata, "Tidak pernah saya lihat sebelum dan sesudah Baginda صلى الله عليه وسلم orang yang setanding Baginda صلى الله عليه وسلم."

Lantaran melihat kebaikan dan keindahan pergaulannya. Begitu juga kemesraannya yang mendekatkan hati orang yang bergaul dengannya sehingga berada di sisi Baginda صلى الله عليه وسلم lebih mereka sukai daripada diri sendiri, anak-anak dan manusia yang lain."

اَللَّهُمَّ صَلِّ َعلى سيدنا مُحَمَّدٍ وَ عَلَى آِل سيدنا مُحَمَّدٍ

~ Dipetik dari kitab Syamail Nabi صلى الله عليه وسلم, Sofa Production Sdn Bhd, Cetakan Kelima / Disember 2014

 #‎Kesempurnaan Rasulullah صلى الله عليه وسلم

Tiada ulasan:

Catat Ulasan