Rabu, 31 Julai 2013

Baca al-Quran, Bertadabur Tangani Pencemaran Hati

Posted by epondok -Qleh Amirul Aslam
Sedar atau tidak, kita jarang menyemak tahap pencemaran hati hingga lupa pencemaran hati lebih besar bencana daripada pencemaran udara. Justeru ambillah masa seminit dua dalam sehari untuk audit tahap pencemaran yang dialami hati kita setiap hari.

Apabila kita sedar betapa tercemarnya hati akibat dosa yang menggunung, nescaya kita akan berusaha sedaya upaya untuk menyucikan jerebu hati yang melanda diri. Seperti mana kita mengharap hujan menghapuskan jerebu yang sedang melanda ruang udara negara.

Antara amalan yang boleh dilakukan untuk menyucikan jerebu hati adalah memperbanyakkan membaca al-Quran dan bertadabur. Membaca al-Quran tanpa mentadabbur maknanya sukar untuk mendatangkan keinsafan pada manusia.

Memahami serta mendalami setiap ayat al-Quran, peringatan Allah di dalamnya akan berupaya menyucikan hati manusia.


Titik hitam lekat di hati


Daripada Abu Hurairah, katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya seorang Mukmin apabila melakukan suatu dosa, maka lekatlah satu titik hitam di hatinya. Jika ia bertaubat dan meminta ampun, maka hatinya kembali menjadi bersih, jika (tidak bertaubat dan beristighfar, bahkan) ia menambah dosa, maka bertambahlah titik hitam itu, sehingga menutup hatinya. Demikianlah titik hitam yang disebutkan oleh Allah SWT sebagai ruang (kegelapan) dalam firman-Nya yang bermaksud: “Sesekali tidaklah begitu, bahkan apa yang mereka perbuat itu telah menggelapkan hati mereka.” (Riwayat Ahmad dan Tirmizi)

Tangisan adalah satu perkara yang sukar bagi manusia terutama yang sering alpa dengan keindahan dunia. Sering kali air mata dibazirkan untuk perkara bersifat keduniaan semata-mata. Hendak menangis mengenang dosa sangatlah payah.
Namun, sukar bukan bererti mustahil, cuma perlukan usaha serta sedikit paksaan. Antara caranya adalah mencari suasana yang sesuai seperti bangun tengah malam. Pejamkan mata sambil mengingati dosa pernah dilakukan.

Nabi SAW mengingatkan, antara cara membersihkan hati adalah dengan membaca al-Quran dan memperbanyakkan mengingati mati. Hadirkan diri ke masjid untuk solat jenazah apabila berlaku kematian.


Usung keranda ke kubur


Andai mempunyai masa terluang, ringankan tulang untuk membantu mengusung keranda dan ikut ke tanah perkuburan. Lihatlah bagaimana jenazah dimasuk ke dalam liang lahad. Amalan ini mampu mematikan keseronokan berlebihan kita kepada dunia lantas membersihkan hati yang tercemar.

Hadis al-Bukhari daripada Abu Musa al-Asy’ari, “Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk.”

Berkawan dengan orang soleh mampu mendekatkan diri kita dengan Allah. Andai kita bimbang dengan jerebu yang melanda ruang udara negara, maka kita juga perlu bimbang dengan ‘jerebu’ yang melanda hati kita. Mudah-mudahan kita menjadi orang yang berjaya di dunia dan akhirat.