Rabu, 8 Januari 2020

HIKAM KE-41: PERGILAH DARI SELAIN ALLAH (MAKHLUK) KEPADA ALLAH SWT, PENCIPTA ALAM SEMESTA INI...

 "Jangan berpindah dari satu alam (makhluk) ke alam (makhluk) yang lain, bererti sama dengan himar [keledai] yang berputar di sekitar penggilingan, dimana ia menuju ke suatu tujuan, tiba-tiba ia kembali pula ketempat yang ia mula-mula berjalan dari padanya, tetapi hendaklah engkau pergi dari semua alam menuju kepada pencipta alam; Sesungguhnya kepada Tuhanmu puncak segala tujuan."
--Sheikh Ibn Athaillah As Sakandari, Kitab Hikam.

Berkata Sheikh Ibn Athaillah as Sakandari;
 Tidak ada hijab apapun antara engkau dengan Allah swt, akan tetapi yang menjadi hijabnya antara dugaanmu ada lagi sesuatu yang lain di samping Allah."

Pada hakikatnya tidak ada sesuatu kecuali Allah. Sehingga dengan demikian seorang hamba dapat melihat Allah dengan mata hatinya (dengan Nur Bashirah-Nya). Apabila ada yang menghalangi antara manusia dengan Allah, sehingga si hamba tidak dapat menyaksi (musyhadah) keberadaan Wujud Allah swt, hal itu hanya dugaan dan sangkaan nafsu si hamba itu sendiri, yang merasa ada (wujud) yang lain di samping Allah swt, maka terhalanglah penglihatan si hamba sehinga tidak dapat menyaksi kewujudan-Nya disebalik ciptaan-Nya.

Segala sesuatu pada hakikatnya tidak ada. Yang wajib ada hanyalah Allah swt. Hal selain itu tergantung kepada rahmat (tajalli) Allah swt, hendak diadakan atau tidak, hendak diciptakan atau tidak.

Sesungguhnya beriman kepada Allah adalah naluri insan. Seorang hamba yang mahu memahami dirinya sendiri akan memahami dengan sendirinya, bahawa Allah swt itu ada (wujud). Adanya Allah swt itu tidak memerlukan adanya yang lain. Allah tidak memerlukan sesuatu yang lain untuk menunjukkan keberadaan-Nya. Sebab, segala yang diciptakan Allah di langit dan di bumi telah membuktikan adanya Allah swt kerana segala sesuatu itu diwujudkan oleh Allah swt bagi menunjukkan bahawa Dia bersifat dengan sifat Wujud dan berdiri wujud-wujud berbilang ini adalah diwujudkan oleh Pencipta yang memiliki Wujud Hakiki, bukan bagi menunjukkan kewujudan ciptaan itu.

Fahamilah hal ini dengan baik!
Keadaan orang yang tidak dapat melepaskan dirinya dari syiriknya pada sangkaan nafsunya terhadap hakikat dirinya dan alam ini adalah umpama seekor keldai yang terikat dan berpusing menggerakkan batu penggiling. Walaupun jauh jarak yang dijalaninya namun, dia sentiasa kembali ke tempat yang sama yakni dari makhluk kepada makhluk yang lain tanpa dapat merasa bahawa Allah swt lah hakikat di sebalik setiap sesuatu. Jika ia mahu bebas dari hanya terlihat makhluk maka perlulah ia melepaskan ikatannya dan keluar dari bulatan yang sempit dengan hati cuba merasai bahawa ada Pencipta yang mewujudkan semua ini dan Dia Maha Melihat dan Menyaksikan segala sisi dari wujudmu setiap saat. Orang yang mahu membebaskan dirinya dari syirik yakni menyangka segala sesuatu itu menutupi Allah dan merasa bebas dari kebergantungan dari penciptanya, secara keseluruhannya hendaklah dia  membebaskan perhatian hatinya dari semua perkara kecuali Allah swt. Keluar dari bulatan alam dan masuk kepada Wujud Mutlak lagi Hakiki.

Hendaklah si salik itu diperingkat awal cuba untuk membebaskan diri dari hijab alam jasad. Hijab alam jasad ialah hawa nafsu. Di dalam penjara hawa nafsu ini tersedia berbagai-bagai macam cubaan dengan hidangan kelazatan seperti kekuasaan, wang,  kemegahan, kemuliaan, kasihkan puji-pujian, ujub, riya', tamak, dengki dan lain-lain sifat-sifat buruk. Jika mahu melepaskan diri dari penjara ini hendaklah berpuasa dari semua pengaruh makanan yang lazat tersebut apabila terhidang peluang. Jangan diajak bercakap tentang makanan tersebut kerana jika dibawa kepada perbincangan akan mendatangkan selera. Sembunyikan selera dan lapar walaupun perut bergelora. Sambutlah setiap hidangannya dengan penolakan dan palingkan mukamu ke arah lain. Apabila makanannya tidak dijamah, maka hawa nafsu tidak akan ada kuasa lagi memenjarakan seseorang itu. Bebaslah dia keluar dari penjara tersebut.