Sabtu, 21 Jun 2014

PUISI SUFI 2: PENCARIAN


Paling aku tidak mengerti 
bagaimana mahu menyeru-Mu 
jika nama juga hijab 
antara Engkau dengan aku.
Engkau esa 
tiada hijab menemani Mu 
mana mungkin Engkau terhijab.

Berapa banyak hati sudah hancur luluh 
dalam merindui Mu 
berapa banyak fikiran telah berkecai 
dalam mencari Mu.

Engkau dekat 
tetapi bila didekati Engkau menjauh 
bila berhenti Engkau melambai 
bila dikejar Engkau menjauh kembali.

Bila aku di tangga rumah Mu 
Engkau menutup pintu 
bila aku undur 
Engkau membuka jendela 
bila aku mengintai 
Engkau melabuhkan langsir.

Dalam kepayahan ini 
daku perlukan penawar 
penawar itu ada pada tangan Mu 
namun aku malu menghulurkan tanganku yang cemar 
untuk disambut oleh tangan Mu yang suci.

Aku tidak tergamak meminta Engkau menjadi teman 
kerana aku tidak pernah membuktikan kesetiaan sebagai sahabat 
namun hatiku gila kepada Mu 
tetapi aku malu memanggil Engkau kekasih 
kerana aku tersangat hodoh dan hina.

Janganlah Engkau murka 
lantaran si hodoh dan hina ini mengasihi Mu.

Wajahku yang hodoh dan hina 
tidak layak Engkau tatapi 
Wajah Mu yang cantik berseri 
tidak layak aku tatapi 
di atas tangga rumah Mu aku terlena 
dengan harapan mataku tidak terbuka lagi 
kerana aku tidak tahan merindui Mu.

Izinkan daku bermalam di tangga rumah Mu 
dan memejam mataku di situ 
agar apabila Engkau membuka pintu 
Engkau memandang kepada ku 
walaupun daku tidak memandang kepada Mu.

http://tamansufi.tripod.com/puisi.html

PUISI SUFI 1 - ILMU DAN MAKRIFAT


Wahai yang tidak aku kenali 
ku panjat gunung yang tinggi 
sangkaku Engkau berada di puncaknya 
namun tidak ku temui Engkau di sana.
Lalu aku terjun dari puncak gunung 
jika Engkau ada pasti Engkau tidak membiarkan daku.

Tangan Kudrat Iradat-Mu menyambar ku 
aku terbang dengan sayap Rahmani-Mu 
mengembara ke seluruh alam maya 
namun tidak ku temui Engkau di dalam alam.

Hatiku mengatakan Engkau ada 
lalu aku keluar daripada alam 
dan aku terjun ke dalam hatiku.

Di sana aku temui kebodohanku 
bodohnya aku menyangka akulah Aku 
sedangkan Dia jualah Aku 
dan aku tiada beserta Dia.

Bila aku tiada beserta Dia 
tinggallah Dia sendirian 
rindulah Dia kepada diriku 
lalu Dia terjun ke dalam hatinya 
di sana Dia berjumpa Aku 
Aku menyambutnya dengan tersenyum.

Aku dan Dia 
Dia dan Aku 
bukan dua dan bukan Satu 
satu masih berbentuk 
masih berjarak titik atas dengan bawah 
sedangkan Aku dan Dia 
tiada antara 
bukan juga titik yang halus 
titik yang halus masih menempati ruang 
sedangkan Aku dan Dia 
tiada rupa tiada bentuk tiada ruang tiada zaman.

Aku adalah Dia 
Dia adalah Aku 
tiada beza antara Aku dan Dia 
bila aku cuba mengenali Dia 
aku tidak kenal lagi diriku 
aku tidak kenal lagi diri Dia 
bila dia cuba mengenali diriku 
dia tidak kenal lagi dirinya 
dia tidak kenal lagi diriku.

Tiada lagi kenyataan 
tiada juga keghaiban.

Pengenalan sebenar adalah tidak kenal 
pengetahuan sebenar adalah tidak tahu.

Aku adalah rahsia Dia 
Dia adalah rahsia Aku 
usah diganggu rahsia ini.

Petikan: http://tamansufi.tripod.com/puisi.html

Jumaat, 20 Jun 2014

45: MAKRIFAT HATI TERHADAP ALLAH S.W.T

Gambar hiasan
TERBUKA MATA HATI MEMPERLIHATKAN KEPADA KAMU AKAN HAMPIRNYA ALLAH S.W.T. PENYAKSIAN MATA HATI MEMPERLIHATKAN KEPADA KAMU AKAN KETIADAAN KAMU DI SAMPING WUJUD ALLAH S.W.T. PENYAKSIAN HAKIKI MATA HATI MEMPERLIHATKAN KEPADA KAMU HANYA ALLAH YANG WUJUD, TIDAK TERLIHAT LAGI KETIADAAN KAMU DAN WUJUD KAMU.

Apabila hati sudah menjadi bersih maka hati akan menyinarkan cahayanya. Cahaya hati ini dinamakan Nur Kalbu. Ia akan menerangi akal lalu akal dapat memikirkan dan merenungi tentang hal-hal ketuhanan yang menguasai alam dan juga dirinya sendiri. Renungan akal terhadap dirinya sendiri membuatnya menyedari akan perjalanan hal-hal ketuhanan yang menguasai dirinya. Kesedaran ini membuatnya merasakan dengan mendalam betapa hampirnya Allah s.w.t dengannya. Lahirlah di dalam hati nuraninya perasaan bahawa Allah s.w.t sentiasa mengawasinya. Allah s.w.t melihat segala gerak-gerinya, mendengar pertuturannya dan mengetahui bisikan hatinya. Jadilah dia seorang Mukmin yang cermat dan berwaspada.

Di antara sifat yang dimiliki oleh orang yang sampai kepada martabat Mukmin ialah:
1:  Cermat dalam pelaksanaan hukum Allah s.w.t.
2:  Hati tidak cenderung kepada harta, berasa cukup dengan apa yang ada dan tidak sayang                  membantu orang lain dengan harta yang dimilikinya.
3:  Bertaubat dengan sebenarnya (taubat nasuha) dan tidak kembali lagi kepada kejahatan.
4:  Rohaninya cukup kuat untuk menanggung kesusahan dengan sabar dan bertawakal kepada Allah      s.w.t.
5:  Kehalusan kerohaniannya membuatnya berasa malu kepada Allah s.w.t dan merendah diri              kepada-Nya.

 Orang Mukmin yang taat kepada Allah s.w.t, kuat melakukan ibadat, akan meningkatlah kekuatan rohaninya. Dia akan kuat melakukan tajrid iaitu menyerahkan urusan kehidupannya kepada Allah s.w.t. Dia tidak lagi khuatir terhadap sesuatu yang menimpanya, walaupun bala yang besar. Dia tidak lagi meletakkan pergantungan kepada sesama makhluk. Hatinya telah teguh dengan perasaan reda terhadap apa jua yang ditentukan Allah s.w.t untuknya. Bala tidak lagi menggugat imannya dan nikmat tidak lagi menggelincirkannya. Baginya bala dan nikmat adalah sama iaitu takdir yang Allah s.w.t tentukan untuknya. Apa yang Allah s.w.t takdirkan itulah yang paling baik. Orang yang seperti ini sentiasa di dalam penjagaan Allah s.w.t kerana dia telah menyerahkan dirinya kepada Allah s.w.t. Allah s.w.t kurniakan kepadanya keupayaan untuk melihat dengan mata hati dan bertindak melalui Petunjuk Laduni, tidak lagi melalui fikiran, kehendak diri sendiri atau angan-angan.

Pandangan mata hati kepada hal ketuhanan memberi kesan kepada hatinya (kalbu). Dia mengalami suasana yang menyebabkan dia menafikan kewujudan dirinya dan diisbatkannya kepada Wujud Allah s.w.t. Suasana ini timbul akibat hakikat ketuhanan yang dialami oleh hati.. Dia berasa benar-benar akan keesaan Allah s.w.t bukan sekadar mempercayainya. Pengalaman tentang hakikat dikatakan memandang dengan mata hati. Mata hati melihat atau menyaksikan keesaan Allah s.w.t dan hati merasakan akan keadaan keesaan itu. Mata hati hanya melihat kepada Wujud Allah s.w.t, tidak lagi melihat kepada wujud dirinya. Orang yang di dalam suasana seperti ini telah berpisah dari sifat-sifat kemanusiaan. Dalam berkeadaan demikian dia  tidak lagi mengendahkan peraturan masyarakat. Dia hanya mementingkan soal perhubungannya dengan Allah s.w.t. Soal duniawi seperti makan, minum, pakaian dan pergaulan tidak lagi mendapat perhatiannya. Kelakuannya boleh menyebabkan orang ramai menyangka dia sudah gila. Orang yang mencapai peringkat ini dikatakan mencapai makam tauhid sifat. Hatinya jelas merasakan bahawa tidak ada yang berkuasa melainkan Allah s.w.t dan segala sesuatu datangnya dari Allah s.w.t.

Rohani manusia melalui beberapa peningkatan dalam proses mengenal Tuhan.
Pada tahap pertama terbuka mata hati dan Nur Kalbu memancar menerangi akalnya. Seorang Mukmin yang  akalnya diterangi Nur Kalbu akan melihat betapa hampirnya Allah s.w.t. Dia melihat dengan ilmunya dan mendapat keyakinan yang dinamakan ilmul yaqin. Ilmu berhenti di situ.

Pada tahap keduanya mata hati yang terbuka sudah boleh melihat. Dia tidak lagi melihat dengan mata ilmu tetapi melihat dengan mata hati. Keupayaan mata hati memandang itu dinamakan kasyaf. Kasyaf melahirkan pengenalan atau makrifat. Seseorang yang berada di dalam makam makrifat dan mendapat keyakinan melalui kasyaf dikatakan memperolehi keyakinan yang dinamakan ainul yaqin.

Pada tahap ainul yaqin makrifatnya ghaib dan dia juga ghaib dari dirinya sendiri. Maksud ghaib di sini adalah hilang perhatian dan kesedaran terhadap sesuatu perkara.. Beginilah hukum makrifat yang berlaku. Makrifat lebih tinggi nilainya dari ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan adalah pencapaian terhadap persoalan yang terpecah-pecah bidangnya. Makrifat pula adalah hasil pencapaian terhadap hakikat-hakikat yang menyeluruh iaitu hakikat kepada hakikat-hakikat. Tetapi, penyaksian mata hati jauh lebih tinggi dari ilmu dan makrifat kerana penyaksian itu adalah hasil dari kemahuan keras dan perjuangan yang gigih disertai dengan upaya hati dan pengalaman. Penyaksian adalah setinggi-tinggi keyakinan. Penyaksian yang paling tinggi ialah penyaksian hakiki oleh mata hati. Ia merupakan keyakinan yang paling tinggi dan dinamakan haqqul yaqin.

Pada tahap penyaksian hakiki mata hati, mata hati tidak lagi melihat kepada ketiadaan dirinya atau kewujudan dirinya, tetapi Allah s.w.t dilihat dalam segala sesuatu, segala kejadian, dalam diam dan dalam tutur-kata. Penyaksian hakiki mata hati melihat-Nya tanpa dinding penutup antara kita dengan-Nya. Tiada lagi antara atau ruang antara kita dengan Dia. Dia berfirman:
Dan Ia (Allah) tetap bersama-sama kamu  di mana sahaja kamu berada. ( Ayat 4 : Surah al-Hadiid)

Dia tidak terpisah dari kamu. Penyaksian yang hakiki ialah melihat Allah s.w.t dalam segala sesuatu dan pada setiap waktu. Pandangannya terhadap makhluk tidak menutup pandangannya terhadap Allah s.w.t. Inilah makam keteguhan yang dipenuhi  oleh ketenangan serta kedamaian yang sejati dan tidak berubah-ubah, bernaung di bawah payung Yang Maha Agung dan Ketetapan Yang Teguh. Pada penyaksian yang hakiki tiada lagi ucapan, tiada bahasa, tiada ibarat, tiada ilmu, tiada makrifat, tiada pendengaran, tiada kesedaran, tiada hijab dan semuanya sudah tiada. Tabir hijab telah tersingkap, maka Dia dipandang tanpa ibarat, tanpa huruf, tanpa abjad. Allah s.w.t dipandang dengan mata keyakinan bukan dengan mata zahir atau mata ilmu atau kasyaf. Yakin, semata-mata yakin bahawa Dia yang dipandang sekalipun tidak ada sesuatu pengetahuan untuk diceritakan dan tidak ada sesuatu pengenalan untuk dipamerkan.

Orang yang memperolehi haqqul yaqin berada dalam suasana hatinya kekal bersama-sama Allah s.w.t pada setiap ketika, setiap ruang dan setiap keadaan. Dia kembali kepada kehidupan seperti manusia biasa dengan suasana hati yang demikian, di mana mata hatinya sentiasa menyaksikan Yang Hakiki. Allah s.w.t dilihat dalam dua perkara yang berlawanan dengan sekali pandang. Dia melihat Allah s.w.t pada orang yang membunuh dan orang yang kena bunuh. Dia melihat Allah s.w.t yang menghidupkan dan mematikan, menaikkan dan menjatuhkan, menggerakkan dan mendiamkan. Tiada lagi perkaitannya dengan kewujudan atau ketidakwujudan dirinya. Wujud Allah Esa, Allah s.w.t meliputi segala sesuatu.

Petikan : Al-Hikam
http://alhikam0.tripod.com/hikam045.html

Sabtu, 14 Jun 2014

MAKSIAT MENYEBABKAN : *


MAKSIAT MENYEBABKAN :
* Wajah tampak hitam,
* Hati suram,
* Gelap di alam kubur,
* badan menjadi lemah,
* rezki berkurang , dan
* Tidak di sukai oleh banyak orang.

Sedangkan AMAL SHOLEH / SHOLEHAT itu menyebabkan :
* Wajah bercahaya,
* Hati bersinar,
* kelapangan rezki,
* badan semakin kuat , dan * disukai oleh banyak orang".
(Abdullah bin Abbas)

Ya Rabb jauhkanlah kami dari perbuatan kemaksiatan yang sengaja maupun yang tidak, yang tampak maupun yang tersembunyi dan
bimbingkah kami agar termasuk orang2 yang bertakwa.
Aamiin Ya Rabb...


Ahad, 8 Jun 2014

Hakikat Persaksian “Asyhadu allaa ilaaha illallah”


Sungguh, kalimat “asyhadu allaa ilaaha illallah” tidaklah asing bagi kita. Tinggal di negeri kaum muslimin seperti ini, setidaknya kita biasa mendengarkan lantunan muadzin yang menyerukan kalimat tersebut sekurang-kurangnya lima kali sehari semalam. Inilah persaksian seorang hamba yang lemah atas ke-Esa-an Allah yang Maha Perkasa dalam hak-hak seluruh macam mahupun bentuk peribadahan yang tiada sekutu bagi-Nya.

Persaksian yang Paling Agung
Keagungan persaksian allaa ilaaha illallah nampak terlihat dari dua sisi, dari sisi yang bersaksi dan dari sisi yang dipersaksikan. Dalam sebuah ayat begitu jelas lagi tegas Allah menunjukkan dua sisi keagungan tersebut dengan firmanNya:

شَهِدَ اللَّهُ أَنَّهُ لا إِلَهَ إِلا هُوَ وَالْمَلائِكَةُ وَأُولُو الْعِلْمِ قَائِمًا بِالْقِسْطِ لا إِلَهَ إِلا هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ 

Allah menyatakan bahwasanya tidak ada Tuhan melainkan dia (yang berhak disembah), yang menegakkan keadilan. para malaikat dan orang-orang yang berilmu (juga menyatakan yang demikian itu). tak ada Tuhan melainkan dia (yang berhak disembah), yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (QS Ali Imron[3]: 18)

Syeikh Muhammad al-Utsaimin mengatakan: “Dan persaksian ini merupakan persaksian yang paling agung sebab agungnya yang bersaksi juga yang dipersaksikan. Yang bersaksi ialah Allah, para malaikat, dan ahi ilmu. Sedangkan yang dipersakiskan adalah ke-Esa-an Allah dalam uluhiyah-Nya.”[1] 

Antara ‘Laa Ilaaha Illallah’ dan Umat Manusia
Di antara keagungan kalimat laa ilaaha illallah itu tampak juga pada orang yang mengikrarkannya. Siapa saja yang telah mengikrarkannya, dari mana pun dan siapa pun dirinya, bererti telah mengikrarkan keislamannya[2] yang dengannya menjadi terhormat dan terjagalah darah serta hartanya. Dalam sebuah hadits disebutkan:

عَنْ ابْنِ عُمَرَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أُمِرْتُ أَنْ أُقَاتِلَ النَّاسَ حَتَّى يَشْهَدُوا أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ فَإِذَا فَعَلُوا ذَلِكَ عَصَمُوا مِنِّي دِمَاءَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ إِلَّا بِحَقِّ الْإِسْلَامِ وَحِسَابُهُمْ عَلَى اللَّهِ 

Dari Ibnu Umar bahawa Rasulullah Shollallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Aku diperintah supaya memerangi manusia sehingga mereka bersaksi bahawa ‘laa ilaaha illallah’ (tiada sesembahan yang berhak diibadahi selain Allah) dan bahawa Muhammad adalah rasul Allah, dan menegakkan shalat, serta menunaikan zakat, apabila mereka telah melaksanakannya maka bererti mereka telah memelihara darah dan hartanya dariku kecuali (yang harus ditunaikan) dari haknya Islam. Adapun perhitungan (amal mereka) menjadi haknya Allah (menghukuminya).” (HR Bukhori-Muslim)

Sehingga kalimat laa ilaaha illallah itu menjamin kehormatan serta keamanan manusia pada jiwa maupun hartanya. Dan kita sebagai manusia bisa dengan mudah menghukumi zahir sesama dari ucapan dan tingkah lakunya. Namun apakah semudah itu persaksian yang diucapkan manusia diterima di sisi Allah meski manusia lainnya telah mengakuinya?

Makna Bersyahadat ‘Laa Ilaaha Illalloh’
Asy-syahadah maknanya pengakuan dengan lisan, keyakinan dalam hati, dan pembuktian dengan amalan anggota badan.[3] Dari maknanya itu sehingga syahadah atau persaksian tidak akan ada melainkan bila dibangun di atas ilmu sebelumnya. Sebab untuk bersaksi seseorang membutuhkan ilmu pengetahuan tentang apa yang hendak dipersaksikan. Apalagi ketika ia harus menjadikan sesuatu tersebut sebagai sebuah keyakinan dalam hati yang harus ia buktikan dengan amalan nyata.
Maka bisa dipastikan bahwa persaksian yang tidak didahului ilmu tidak akan bermanfaat bagi seseorang. Oleh sebab itu Allah berfirman:

… إِلا مَنْ شَهِدَ بِالْحَقِّ وَهُمْ يَعْلَمُونَ 

…. Akan tetapi (orang yang dapat memberi syafa’at ialah) orang yang mengakui yang hak (tauhid) dan mereka mengilmui (meyakini)-nya. (QS. az-Zukhruf [43]: 86)

Dengan demikian haruslah ada ilmu terlebih dahulu tentang laa ilaaha illallah baru kemudian ia dipersaksikan.[4]

Oleh sebab itu pulalah tatkala orang-orang munafiq bersaksi bahawa Muhammad Shollallahu ‘alaihi wa sallam adalah rosul Allah, bahkan meski persaksian mereka telah mereka kuatkan dengan tiga penguat sekali pun[5], Allah Azza wa Jalla tetap mendustakan persaksian mereka.[6]

Yang demikian itu sebab persaksian mereka hanya sekedar pengakuan di bibir semata yang tidak sampai ke hati, apalagi sampai dibuktikan dengan amalan yang nyata. Sehingga persaksian semacam ini tidak sah dan tiada berguna sedikit pun bagi pemiliknya. 

Agar Syahadah Kita Sah
Tentunya setiap kita sangat berharap akan disahkannya syahadah kita oleh Allah Azza wa Jalla dan akan manfaat syahadah kita bagi diri-diri kita. Salah satu caranya adalah dengan membuang jauh-jauh sifat kemunafikan, yaitu membuang sekedar pengakuan lisan yang tidak sejalan dengan hakikat yang diyakini oleh hati dan tidak terbukti dalam amalan anggota badan. Secara lebih terperinci, agar syahadah seseorang sah dan berguna bagi dirinya, ia harus memenuhi tujuh syarat-syaratnya dengan sempurna[7]. 

1. Ilmu
Yaitu ilmu tentang makna dan hakikat laa ilaaha illallah sesuai dengan maksudnya. Termasuk mengilmui apa yang ditetapkan olehnya dan apa pula yang dienyahkannya. Ketahuilah bahawa rukun laa ilaaha illallah ada dua, iaitu: pertama, an-nafyu (peniadaan) pada kata laa ilaaha, dan kedua, al-itsbat (penetapan) pada kata illallah.

Makna rukun pertama ialah mengenyahkan dan meniadakan hak peribadahan bagi selain Allah, sedangkan makna rukun yang kedua iaitu menetapkan seluruh hak peribadahan hanya bagi Allah semata.

Semua itu harus diilmui dan hanya dengan mengilmuinya syahadah menjadi sah lagi berguna bagi seseorang. Sebagaimana yang telah ditegaskan dalam firman Alloh Azza wa Jalla dalam surat az-Zukhruf ayat 86 di atas.

Sehingga orang yang bersyahadah tidak boleh jahil (tidak tahu) akan makna laa ilaaha illallah. Sebab bila ia tidak tahu bererti dia belum dan tidak akan bisa meyakini apa yang dikehendaki oleh kalimat tersebut. Sebagai akibatnya persaksian tersebut tidak memberikan sedikit pun manfaat bagi pemiliknya. 

2. Yakin
Orang yang bersyahadah laa ilaaha illallah harus meyakini seluruh yang dikehendaki oleh kalimat tersebut dan tidak ragu mahupun bimbang. Dan orang yang beriman tidak akan ragu tidak pula bimbang.[8]

Bila seseorang ragu dan bimbang, dan tidak yakin atas syahadahnya, ia tidak berhak mendapatkan syurga. Rasulullah Shallallahu'alaihi wa sallam menegaskan dalam potongan sebuah hadits yang panjang dari sahabat Abu Hurairah Rodhiallohuanhu:

فَمَنْ لَقِيْتَ مِنْ وَرَاءِ هَذَا الْحَائِطِ يَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ مُسْتَيِْنًا بِهَا قَلْبُهُ فَبَشِّرْهُ بِالْجَنَّةِ 

“Maka siapa saja yang kamu dapati dari balik tembok ini ia bersaksi ‘allaa ilaaha illallah’ dan hatinya meyakininya maka beri kabar gembira bahwa ia akan masuk syurga.” (HR. Musllim: 10/31)

3. Menerima
Yaitu menerima apa saja yang menjadi tuntutan kalimat laa ilaaha illallah. Dan ketahuilah bahawa pengikraran seseorang terhadap kalimat tauhid laa ilaaha illallah menuntut dirinya untuk meniadakan hak seluruh peribadahan bagi selain Allah. Juga harus menetapkan hak seluruh peribadahan hanya bagi Allah semata dan tiada sekutu bagi-Nya.

Bila justru meninggalkannya dan enggan menerimannya, dengan tetap saja melakukan peribadahan kepada selain Allah di samping beribadah keada-Nya, maka syahadahnya batal dan tidak berguna. Simaklah firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam QS. (ash-Shofat ayat 35-36)

4. Tunduk Patuh dan Berserah Diri
Artinya mematuhi dan berserah diri atas apa yang dikehendaki oleh syahadah laa ilaaha illalloh. Alloh Azza wa Jalla berfirman:

وَمَنْ يُسْلِمْ وَجْهَهُ إِلَى اللَّهِ وَهُوَ مُحْسِنٌ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَى وَإِلَى اللَّهِ عَاقِبَةُ الأمُورِ 

Dan barang siapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah, sedangkan dia orang yang berbuat kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada buhul (tali) yang kukuh. Dan hanya kepada Allah-lah kesudahan segala urusan. (QS. Luqman [31]: 22)

5. Jujur dan Benar
Artinya seseorang yang bersaksi dengan lisannya harus disertai kejujuran dan pembenaran hatinya. Sebab bila tidak begitu berarti ia seorang munafik, di mana apa yang ia ucapkan menyelisihi apa yang ia yakini dalam hati.[9] 

6. Ikhlas
Yaitu membersihkan persaksian an laa ilaaha illalloh dari segala racun-racun syirik. Maknanya, tatkala seseorang bersaksi an laa ilaaha illallah dia sama sekali tidak bermaksud untuk meraup dunia, atau pamrih apa pun, selain mengharap wajah Allah Subhanahu wa Ta’ala semata. Dalam sebuah hadits Rasulullah Shollallohu ‘alaihi wa sallam bersabda:

فَإِنَّ اللَّهَ قَدْ حَرَّمَ عَلَى النَّارِ مَنْ قَالَ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ يَبْتَغِي بِذَلِكَ وَجْهَ اللَّهِ 

“Sesungguhnya Allah mengharamkan neraka atas orang yang mengucapkan ‘laa ilaaha illallah’ yang hanya mengharap wajah Allah.”. (HR. Bukhori: 1/154 dan Muslim: 1/455)

7. Cinta
Yaitu mencintai kalimat laa ilaaha illallah ini. Juga cinta pada sesuatu yang dikehendakinya, termasuk mencintai pemilik dan ahli kalimat tersebut yang senantiasa mengamalkan tuntutan-tuntutanya. Sehingga pemilik kalimat ini akan sangat tinggi kecintaan mereka yang tulus ikhlas kepada Allah. Sementara orang yang mencintai Allah, tetapi pada waktu yang sama ia juga mencintai selain-Nya, maka ia telah merusak tauhidnya dan menggantinya dengan kasyirikan. Naudzu billahi minasy syirki.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَتَّخِذُ مِنْ دُونِ اللَّهِ أَنْدَادًا يُحِبُّونَهُمْ كَحُبِّ اللَّهِ وَالَّذِينَ آمَنُوا أَشَدُّ حُبًّا لِلَّهِ … 

Dan di antara manusia ada orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah; mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman amat sangat cintanya kepada Allah… (QS. al-Baqoroh [2]: 165)

Fenomena Memilukan
Sungguh begitu memilukan fenomena yang terjadi pada sebagian masyarakat kita, di mana mereka telah berulang kali mengucapkan kalimat tauhid uluhiyah laa ilaaha illallah namun peribadahan kepada selain Allah masih saja tetap dijalaninya.

Fenomena pengubatan alternatif oleh para dukun dan gemarnya masyarakat berubat pada mereka, mengelu-elukan jimat, ritual larung sesaji, rutinitas suguhan sesaji alias tumbal, ngalap berkah dan ibadah kepada kuburan serta ahli kubur, dan masih bayak kiranya yang mereka lakukan, cukup membuat hati ini pilu bahkan sakit tak terkira. Bagaimana hati ini tidak pilu dan sakit sementara Allah Azza wa Jalla, Robb kita yang Esa dalam hak rububiyah maupun uluhiyah, dengan amat mudah mereka sekutukan dengan makhluk-Nya.

Kalau demikian keadaannya, bagaimana syahadah mereka dinilai sah? Maka serukan persaksian atas kalimat tauhid laa ilaaha illallah. Dan fahamilah hakikat serta maknanya, lalu penuhi syarat-syarat mahupun rukunnya. Semoga kita menjadi saksi-saksi bagi Allah atas ke-Esa-an-Nya. 

Wallohul muwaffiq.

[1] Syarah tsalatsatil ushul, Ibnu Utsaimin: 70
[2] Syarah alarbain annawawiyah, hadits kedelapan oleh Ibnu utsaimin.
[3] al-Qoulul Mufid: 1/ 66-67
[4] al Qoulul mufid: 1/63-64
[5] Tiga penguat atau dalam bahasa arab disebut ta’kid tersebut ialah persaksian, kata إِنَّ (sesungguhnya) dan yang ketiga huruf ل (laam) yang berarti benar-benar.
[6] Lihat QS. Al-Munafiqun: 1
[7] At-Tauhid, DR Sholih al Fauzan 1/47-49
[8] Lihat QS. Al-Hujurot: 15
[9] Sebagaimana penjelasan sebelumnya dan silakan baca juga QS. al-Baqoroh[2]: 8-10

Sumber: http://alghoyami.wordpress.com/

http://faisalchoir.blogspot.com/2012/08/hakikat-persaksian-asyhadu-allaa-ilaaha.html