Suatu hari, datang seorang pemuda ke sebuah Pesantren di
Indonesia bertujuan untuk bertemu dengan Kiyai di Pesantren tersebut. Maka
berlakulah dialog di antara pemuda dan Kiyai di ruang tamu rumah Kiyai itu.
Pak Kiyai: Silalah duduk anak muda, siapa namamu dan dari mana
asalmu?
Pemuda: Terima kasih Pak Kiyai. Nama saya Abdullah dan saya berasal
dari Kampung Seberang.
Pak Kiyai: Jauh kamu bertandang ke sini, sudah tentu kamu punya
hajat yang sangat besar. Apa hajatnya mana tahu mungkin saya boleh menolongmu?
Pemuda tersebut diam sebentar
sambil menarik nafasnya dalam-dalam.
Pemuda: Begini Pak Kiyai, saya datang ke sini, bertujuan ingin
berbincang beberapa permasalahan dengan Pak Kiyai. Pendeknya, permasalahan umat
Islam sekarang. Saya ingin bertanya, mengapa Kiyai-Kiyai di kebanyakan
pesantren di Indonesia, dan Tuan-Tuan Guru di Malaysia serta Pattani dan Asia
umumnya sering kali mengajar murid-murid mereka dengan lebih suka mengambil kalam-kalam
atau pandangan para ulama?
Seringkali saya mendengar mereka akan menyebut: “Kata
al-Imam al-Syafiee, kata al-Imam Ibn Ato’illah al-Askandari, Kata al-Imam Syaikhul Islam Zakaria al-Ansori
dan lain-lain” Mengapa tidak terus mengambil daripada al-Quran dan al-Sunnah?
Bukankah lebih enak kalau kita mendengar seseorang tersebut
menyebutkan “Firman Allah taala di dalam al-Quran, Sabda Rasulullah sallallahu
alaihi wasallam di dalam hadis itu dan ini?”
Ulama-ulama itu juga punya kesalahan dan kekurangan. Maka
mereka juga tidak lari daripada melakukan kesilapan. Maka sebaiknya kita
mengambil terus daripada kalam al-Ma’sum iaitu al-Quran dan al-Sunnah?
Pak Kiyai mendengar segala hujah yang disampaikan oleh
pemuda tersebut dengan penuh perhatian. Sedikitpun beliau tidak mencelah malah
memberikan peluang bagi pemuda tersebut berbicara sepuas-puasnya.
Sambil senyuman terukir di bibir Pak Kiyai, beliau bertanya
kepada pemuda tersebut,
Pak Kiyai: Masih
ada lagi apa yang ingin kamu persoalkan wahai Abdullah?
Pemuda: Setakat
ini, itu sahaja yang ingin saya sampaikan Pak Kiyai.
Pak Kiyai:
Sebelum berbicara lebih lanjut, eloknya kita minum dahulu ya. Tiga perkara yang
sepatutnya disegerakan iaitu hidangan kepada tetamu, wanita yang dilamar oleh
orang yang baik maka disegerakan perkahwinan mereka dan yang ketiga si mati
maka perlu disegerakan urusan pengkebumiannya. Betul kan Abdullah?
Pemuda: Benar
sekali Pak Kiyai.
Pak Kiyai lalu memanggil isterinya bagi menyediakan minuman
pada mereka berdua. Maka beberapa detik selepas itu minuman pun sampai di
hadapan mereka.
Pak Kiyai:
Silakan minum Abdullah. Sebaik dipelawa oleh Pak Kiyai, maka Abdullah pun terus
mengambil bekas air tersebut lalu menuangkan perlahan-lahan ke dalam cawan yang
tersedia.
Pak Kiyai terus
bertanya: Abdullah, kenapa kamu tidak terus minum daripada bekasnya sahaja?
Kenapa perlu dituang di dalam cawan?
Pemuda: Pak Kiyai,
mana bisa saya minum terus daripada bekasnya. Bekasnya besar sekali. Maka saya
tuang ke dalam cawan agar memudahkan saya meminumnya.
Pak Kiyai:
Abdullah, itulah jawapan terhadap apa yang kamu persoalkan sebentar tadi.
Mengapa kami tidak mengambil terus daripada al-Quran dan al-Sunnah? Ianya
terlalu besar untuk kami terus minum daripadanya.
Maka kami mengambil daripada apa yang telah dituang di dalam
cawan oleh para ulama. Maka ini memudahkan bagi kami untuk mengambil dan
memanfaatkannya.
Benar kamu katakan bahawa mengapa tidak terus mengambil
daripada al-Quran dan al-Sunnah.
Cuma persoalan kembali ingin saya lontarkan kepada kamu.
Adakah kamu ingin mengatakan bahawa al-Imam al-Syafie dan para ulama yang kamu
sebutkan tadi mengambil hukum selain daripada al-Quran dan al-sunnah? Adakah
mereka mengambil daripada kitab Talmud atau Bible?
Pemuda: Sudah
tentu mereka juga mengambil daripada al-Quran dan al-Sunnah.
Pak Kiyai: Kalau
begitu, maka sumber pengambilan kita juga adalah daripada al-Quran dan
al-Sunnah cuma dengan kefahaman daripada para ulama.
Pak Kiyai: Satu
lagi gambaran yang ingin saya terangkan kepada kamu. Saya dan kamu membaca al-Quran,
al-Imam al-Syafie juga membaca al-Quran bukan?
Pemuda: Sudah
tentu Pak Kiyai.
Pak Kiyai: Baik,
Kalau kita membaca sudah tentu kita ada memahami ayat-ayat di dalam al-Quran
tersebut bukan? Al-Imam al-Syafie juga memahami ayat yang kita bacakan.
Maka persoalannya, pemahaman siapa yang ingin didahulukan?
Pemahaman saya dan kamu atau pemahaman al-Imam al-Syafie terhadap ayat
tersebut?
Pemuda: Sudah
tentu pemahaman al-Imam al-Syafie kerana beliau lebih memahami bahasa
berbanding orang zaman sekarang.
Pak Kiyai: Nah,
sekarang saya rasa kamu sudah jelas bukan?
Hakikatnya kita semua mengambil daripada sumber yang satu
iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Tiada seorang pun yg mengambil selain daripada
keduanya. Cuma bezanya, kita mengambil daripada pemahaman terhadap al-Quran dan
al-Sunnah tersebut daripada siapa? Sudah tentu kita akan mengambil daripada
orang yang lebih dalam ilmu dan penguasaannya.
Ini kerana mereka lebih wara’ dan berjaga-jaga ketika
mengeluarkan ilmu.
Hatta Imam Syafie rah. yang berbangsa Arab sendiri pun
tinggal di perkampungan bani Huzail selama lebih kurang 10 tahun semata-mata
ingin belajar bahasa Arab mereka yang hampir dengan fusha.
Kamu tahu Abdullah, al-Imam al-Syafie radhiyallahu anhu
pernah ditanya oleh seseorang ketika mana beliau sedang menaiki keldai,
berapakah kaki keldai yang Imam tunggangi?
Maka al-Imam al-Syafie turun daripada keldai tersebut dan
mengira kaki keldai tersebut.
Selesai mengira kaki keldai berkenaan, barulah al-Imam
menjawab: “Kaki keldai yang aku tunggangi ada empat”. Orang yang bertanya
tersebut merasa hairan lalu berkata “Wahai Imam, bukankah kaki keldai itu
sememangnya empat, mengapa engkau tidak terus menjawabnya?”
Al-Imam al-Syafiee menjawab: “Aku bimbang, jika aku
menjawabnya tanpa melihat terlebih dahulu, tiba-tiba Allah taala hilangkan
salah satu daripada kakinya maka aku sudah dikira tidak amanah di dalam
memberikan jawapan”.
Cuba kamu perhatikan Abdullah, betapa wara’nya al-Imam
al-Syafie ketika menjawab persoalan berkaitan dunia. Apatah lagi kalau
berkaitan dengan agamanya?
Al-Imam Malik radhiyallahu anhu pernah didatangi oleh
seorang pemuda di dalam majlisnya di Madinah al-Munawwarah.
Pemuda tersebut mengatakan bahawa dia datang daripada negeri
yang jauhnya 6 bulan perjalanan daripada Madinah.
Pemuda itu datang untuk bertanyakan satu masalah yang
berlaku di tempatnya.
Al-Imam Malik radhiyallahu anhu, mengatakan bahawa “Maaf,
aku tidak pandai untuk menyelesaikannya”.
Pemuda tersebut hairan dengan jawapan Imam Malik, dan dia
bertanya: “Bagaimana aku akan menjawab nanti bilamana ditanya oleh penduduk
tempatku?”
Maka kata al-Imam Malik: “Katakan kepada mereka bahawa Malik
juga tidak mengetahui bagaimana untuk menyelesaikannya”.
Allah.. Cuba kamu lihat Abdullah betapa amanahnya mereka
dengan ilmu. Berbeza dengan manusia zaman sekarang yang baru setahun jagung di
dalam ilmu sudah mendabik dada mengaku bahawa seolah-olah mereka mengetahui
segalanya.
Mereka sungguh mudah membidaahkan perkara-perkara khilaf dan
menolak pandangan-pandangan ulama-ulama muktabar terdahulu dengan alasan yang
pelbagai.
Pemuda:
MasyaAllah, terima kasih Pak Kiyai atas penjelasan yang sangat memuaskan. Saya
memohon maaf atas kekasaran dan keterlanjuran bicara saya.
Pak Kiyai:
Sama-sama Abdullah. Semoga kamu akan menjadi seorang yang akan membawa panji
agama kelak dengan ajaran yang benar In sya Allah.