Jumaat, 30 Ogos 2013

Roh Orang Mati Boleh Balik Ke Dunia?

Roh Orang Mati Boleh Balik Ke Dunia?
Gambar hiasan aje...

"Dan bahawasanya ada beberapa lelaki di antara manusia meminta perlindungan kepada beberapa lelaki di antara jin, maka jin-jin itu menambah bagi mereka dosa dan kesalahan."
 [ Maksud al-Quran Surah Al-Jin: 6 ]

 "Dan mereka menyembah selain daripada Allah apa yang tidak dapat mendatangkan kemudaratan kepada mereka dan tidak [pula] kemanfaatan, dan mereka berkata : 'Mereka itu adalah pemberi syafaat kepada kami di sisi Allah.' Katakanlah :'Apakah kamu megkhabarkan kepada Allah apa yang tidak diketahuiNya baik di langit dan tidak [ pula ] di bumi?' Maha Suci Allah dan Maha Tinggi dari apa yang mereka mempersekutukan [itu]."
                     [  Maksud al-Quran Surah Yunus : 18 ]
                                
Kepercayaan terhadap roh orang yang sudah mati boleh balik ke dunia untuk melakukan berbagai-bagai hal seperti membantu orang yang menghadapi kesusahan dalam pelbagai urusan duniawi atau menganggu manusia yang berbuat zalim terhadapnya hingga menyebabkan jasadnya 'mati' dan bermacam-macam kepercayaan lagi adalah satu fenomena biasa yang menjadi kepercayaan umum manusia di seluruh dunia. Upacara-upacara pemujaan terhadap apa yang dipercayai sebagai roh nenek moyang, roh orang-orang alim yang dikatakan sebagai 'Wali Allah' dan berbagai-bagai jenis roh lagi begitu lumrah dilakukan oleh berbagai golongan masyarakat.

Perbuatan menyeru/memanggil roh-roh orang mati tertentu yang dilakukan oleh "Pawang", " Bomoh","Paranormal" dan berbagai-bagai gelaran lagi "orang perantraan" dalam satu upacara khas sempena sesuatu perayaan, mengubati orang sakit atau mengingati orang-orang yang sudah mati sebagai tanda kasih dan ingatan mereka terhadap si mati dan bermacam-macam kepercayaan lagi terhadap roh orang yang sudah mati adalah satu fenomena biasa yang lumrah dilakukan oleh manusia tanpa mengira kepercayaan agama dan suku kaum. 

Masyarakat Islam juga tidak terkecuali daripada kepercayaan ini walaupun dalam bentuk yang mungkin berbeza daripada yang dilakukan oleh orang yang bukan beragama Islam.  Umpamanya dalam amalan beberapa golongan yang mendakwa  daripada kumpulan tareqat sufi,  'roh si mati' yang dianggap atau dipercayai sebagai 'Roh Wali Allah' boleh dipanggil datang atau balik ke dunia menggunakan seruan atau kaedah khusus yang dinamakan bertawassul, berwasitah  atau berrabitah untuk tujuan tertentu seperti mengubati orang sakit, mencari harta karun, membuat ramalan dan apa jua tujuan duniawi yang dihajati oleh pengamal atau orang yang berhajat.

Orang perantarannya pula tidak dipanggil "Pawang" atau "Bomoh"  tetapi memakai gelaran yang dianggap mulia berciri keislaman seperti; "Syeikh ", "Tok Guru" atau setidak-tidaknya "al-Ustaz"  bagi memberi imej bahawa dia adalah seorang "mursyid" yang sangat arif dalam urusan berkaitan hukum-hakam agama Islam yang tidak perlu diragukan.  Kemungkinan kaedah "rawatan dan tindakannya" bersamaan dengan "Pawang" dan "Bomoh" menyeru "roh orang yang sudah mati" atau makhluk "ghaib" tetapi dengan menggunakan kalimah-kalimah jampi serapah yang diselit atau disisipkan secara "rahsia/sirr"  dengan kalimah-kalimah "Arab" atau dipersesuai dan dicampur-adukkan dengan ayat-ayat al-Quran atau kalimah-kalimah Arab. Hakikat ini dapat dikesan dalam amalan kumpulan tareqat Aurad Muhammadiah yang diamalkan oleh kumpulan Al-Arqam pada suatu ketika dahulu. Dalam buku Aurad Muhammadiah ini dijelaskan :

" .......mereka yang mendapat ijazah dan mengamalkan Aurad ini mendapat satu faedah lagi yang besar,  iaitu apabila mereka di dalam kecemasan berilah salam kepada yang mempunyai Aurad ini dengan berkata,  'Assalamualaikum Ya Saidi Al Syeikh Muhammad Al-Suhaimi, 3 kali satu nafas dan kemudian nyatakanlah segala hajat dan akhir sekali katakanlah dengan izin Allah'  seperti kata kita ,   "Asslamualaikum Ya Saidi Al-Syeikh Muhammad Al-Suhaimi  [3 kali satu nafas ] , Saya mintalah supaya diubatkan orang sakit ini dengan izin Allah ."

Kaedah yang hampir sama juga terdapat dalam amalan wirid Tariqat Khojakan yang terkenal di Johor dengan mengatakan :

"..menyeru Rijal-al-Ghaib ,[ yang dimaksudkannya ialah roh Syeikh Abdul Qadir Jailani ]  iaitu Assalamualaikum Ya Rijal-al-Ghaib , Dasturi Ya Rijal-al-Ghaib , Dasturi Ya Rijal-al-Ghaib , Dasturi Ya Ahlal Waqati , Dasturi Ya Ahla Naubati , Dasturi Ya Saidi Al Syeikh 'Abdul Qadir al-Jailani Mahbubillah ,Ghautillah , Aghithni (tolonglah aku ) biiznillah (dengan izin Allah )".

Bagi menolak tanggapan orang ramai bahawa 'syeikh-syeikh' tareqat yang diseru ini adalah jin syaitan, kumpulan-kumpulan ini menjelaskan dengan mengakatakan bahawa 'Wali Allah', Syeikh, Khalifah atau guru-guru tareqat ini sebenarnya tidak mati tetapi hanya 'ghaib'  sementara waktu sahaja dan tidak dapat dilihat dengan mata kepala manusia. Jasad yang dikuburkan itu bukanlah tubuh badan atau mayat guru-guru tersebut tetapi hanya sebagai 'ganti' kepada tubuh badannya sahaja [ walaupun pada hakikatnya yang dikebumikan itu adalah mayat sebenar guru tareqat tersebut].

Di dalam amalan 'perubatan tradisional' juga menggunakan kaedah yang serupa apabila mengubati orang yang sakit kena rasuk jin syaitan atau dikuasai 'saka' keturunan. Orang yang mengamalkan zikir tareqat juga dikatakan apabila dia sudah sampai ke makam Fana' U Billah dia  menjadi majzub  hingga tidak sedarkan diri dan bertindak seperti 'hysteria' kena kerasukan jin.

Kebiasaannya keadaan menjadi 'majzub' ini berlaku apabila diadakan zikir berjemaah sempena sesuatu majlis tertentu seperti 'pengurniaan ijazah' sesuatu tingkatan atau ketinggian martabat kepada ahli-ahli tareqat tertentu, menerima bai'at ahli-ahli baru, memperingati 'Syeikh' tareqat berkaitan dan sebagainya.  Dikatakan dia berkeadaan demikian kerana "sudah sampai ke makam Fana'U-Billah atau Baqa'U-Billah hingga menjadikan dia tidak sedar atau 'lupakan dirinya' seperti kena kerasukan jin.  Apabila sudah berkeadaan demikian, guru atau khalifah tareqat akan memulihkannya menggunakan jampi serapah atau bacaan-bacaan tertentu dengan menepuk anggota badannya hingga dia sedar semula.

Kaedah yang hampir sama terdapat juga di dalam sesetengah seni persembahan permainan Melayu/Jawa tradisional dan persilatan yang beranggapan bahawa amalan kebatinan ini adalah 'saka' warisan untuk memperkukuhkan mental, fizikal dan kerohanian seseorang apabila berada di pentas atau gelanggang.

Syeikh-syeikh tareqat ini dikatakan atau mendakwa mempunyai pertalian salasilah amalan zikir tareqat tersebut berterusan hingga sampai kepada Rasulullah s.a.w.. Mereka hanya layak dilantik sebagai 'Syeikh' sesuatu kumpulah tareqat setelah mendapat 'bai'at' secara 'ghaib' atau 'nyata' daripada 'Syeikh' tareqat terdahulu atau seorang 'Wali Allah' yang menjadi sandaran bertawassul, berwasitah  atau berrabitah  melalaui proses kerohanian 'suluk' dalam keadaan berpuasa, tidak makan makanan daripada sumber bernyawa atau berdarah dan berzikir 'Nafi Ithbat Laillaha Illahaillah' sejumlah yang ditetapkan oleh 'Syeikh Mursyid' dan 'Kasyaf' tersebut dalam tempoh masa tertentu bergantung kepada tujuan atau peringkat dan martabat yang hendak dicapai.
Kepercayaan-kepercayaan terhadap roh orang mati boleh balik ke dunia juga dijadikan tarikan komersial hiburan sensasi melalui tayangan-tayangan video/filem yang begitu popular dan laris menjadi tarikan perhatian jutaan penonton di seluruh dunia.

Di dalam bab Muqaddimah halaman 2, Kitab Majmuah Maulud Syaraf Al-Annam (Kitab Berzanji, tanpa nama pengarang), Maktabah Wamatba al-Muariff, Pulau Pinang ada menyatakan bahawa :
" Bahawasanya roh Penghulu kita yang amat suci Sallallahi Alaihi Wassalam itu hadir pada ketika orang berdiri membaca Maulud, demikian juga hadiri pada sekalian Maulud Diba'i......adalah yang demikian kehadiran roh Penghulu kita Nabi Muhammad s.a.w. itu kelebihan kepada Allah Subhanahu Watalla didatangkanNya orang yang dikehendakiNya."

Tradisi membaca 'Berzanji' ketika mengadakan majlis Maulid Nabi dan majlis-majlis tertentu serta berdiri ketika membaca Salawat Nabi ini telah diamalkan hampir di seluruh dunia Melayu sejak sekian lamanya tanpa sesiapa pun dari pihak berkuasa agama dan para ulama memberikan teguran atau memberi fatwa mengenainya dengan anggapan bahawa pemahaman, kepercayaan dan amalan yang dilakukan itu tidak bertentangan dengan hukum syarak.

Ia hanya dianggap sebagai 'bida'ah hasanah ' dan bukan 'bida'ah dhalalah' atau sesat. Maka berterusanlah tradisi Berzanji dan berdiri ketika membaca 'Salawat Nabi' untuk mengalu-alukan kehadiran roh Nabi Muhammad s.a.w.ini tanpa sesiapa pun memperduli dan mengambil tahu langsung apakah implikasinya terhadap aqidah umat Islam kerana tradisi ini sudah menjadi sebati sebagai salah satu budaya dan tradisi hidup beragama orang Melayu. Hinggakan pada tanggapan sesetengah pihak sesiapa yang tidak berdiri ketika 'bersalawat' bererti tidak menghormati dan 'biadab' terhadap Rasulullah s.a.w.. Ada kemungkinan juga kebanyakan orang yang mengikuti amalan ini hanya menurut sahaja dan tidak mengetahui atau bertanyakan persoalan yang dibangkitkan ini dengan anggapan apa juga amalan berbentuk keagamaan yang diajarkan guru-guru agama adalah benar belaka dan tidak wajar dipersoalkan kesahihannya.

[ Lihat : Perbandingan Iktikad Orang Melayu Bhg. 1.]
Seperti yang telah dibicarakan dalam bab 'Masalah Roh' dalam blog ini, roh manusia atau Roh Hammalul Amanah [badan batin] wujud dengan serta merta ketika Malaikat Roh meniup kepada janin bayi yang berada dalam kandungan perut ibu apabila tiba masanya dengan perintah Allah. Roh Hammalul Amanah dikekalkan dan tidak dimatikan selama-lamanya walaupun jasadnya [badan zahir] rosak binasa apabila mati. 

Roh Jasmani atau nyawa yang menghidupkan jasad terbit daripada darah dan apabila mati ia hilang lenyap seperti wap sahaja kerana ia hanya dapat bertahan hingga ke satu tahap kesakitan sahaja. Roh Hammalul Amanah daripada tiupan Malaikat Roh tidak akan mati selama-lamanya walaupun sekuat mana kesakitan yang ditanggungnya. Dalam Hadis Rasullullah s.a.w. ada menjelaskan bahawa apabila seseorang anak Adam itu mati maka "terputuslah hubungan [amalannnya] dengan dunia kecuali sedekah jariah, doa anak yang salih dan ilmu (agama) yang dimanfaatkan".

Hadis Rasullullah s.a.w. juga ada menjelaskan yang maksudnya seperti berikut :
"...Ketahui olehmu aku memberi khabaran sukacita kepada engkau wahai Jabir, yang adalah bapanya itu telah mati syahid pada hari Perang Uhud. Maka katanya: Bahkan.  Allah SWT memberi khabar sukacita kepada engkau dengan kebajikan. Maka sabdanya : Bahawasanya Allah Azawajalla telah menghidupkan bapa engkau dan mendudukkan akan dia "'di hadapan-Nya"dan firmanNya : Citailah ( pintalah) ke atas Aku wahai hambaKu barang apa yang engkau kehendaki nescaya Aku memberikan kepada engkau akan dia.

Maka katanya : Wahai Tuhan tiada aku berbuat ibadat kepada engkau sebenar-benar ibadat kepada engkau, aku bercita-cita (berharap) kepada engkau bahawa engkau kembalikan balik akan aku hidup di dunia supaya aku akan berperang fisabillillah bersama Nabi engkau,  maka dengan sebab itu aku mati terbunuh pada agama engkau pada satu kali yang lain. Firman Allah SWT kepadanya : Bahawasanya telah pun terdahulu janjian daripadaKu bahawasanya engkau kepadanya itu tidak kembali [yakni tidak kembali balik ke dunia]" .

Dalam satu riwayat ada menceritakan hal roh seperti yang bermaksud:

 "  Dan kata Abu Umar : Tukang air melalui dengan kami Ibnu Umar dan kami sedang budak-budak lagi. Maka ia memandang kepada satu kubur, tiba-tiba terzahir satu tengkorak kepala, maka ia menyuruh seorang lelaki memperlihatkannya, kemudian ia berkata : Bahawasanya badan-badan ini tidak memudaratkannya oleh tanah ini suatu apa pun, hanya roh-roh itulah yang diseksai dan diberi pahala nikmat kesenangan hingga Hari Kiamat.  Dan ditanya Abdullah bin Amru bin Al 'As : Daripada roh-roh orang mukminin apabila mereka mati ke mana ia?  Katanya: Pada temolok-temolok burung yang putih pada naungan Arasy dan roh-roh orang kafirin itu pada [bawah] bumi yang ke tujuh."

Dalam satu lagi riwayat ada juga menceritakan peri hal seperti yang bermaksud :  
"Diriwayatkan oleh Abu Ayub Al Ansari daripada Nabi Muhammad s.a.w. bahawasanya ia bersabda: Bahawasanya diri orang mukmin [roh orang mukmin] itu apabila diambil [dicabut], datang kepadanya untuk menemuinya oleh orang-orang Ahli Al-Rahmat  [orang-orang ahli kebahagian] daripada sisi Allah sebagaimana datang menemui orang-orang yang memberi khabaran baik di dalam dunia. Kata mereka : Lihatlah kepada saudara kamu hingga ia berehat, maka bahawasanya adalah ia dalam kesusahan yang sangat kuat.

Maka bertanya mereka kepadanya : Apa dia perbuat si-polan dan apa dia perbuat si-polanah perempuan itu, adakah dia telah berkahwin?.  Maka apabila mereka bertanya kepadanya daripada si-polan yang telah mati dahulunya dan ia berkata : Telah mati sebelumku. Kata mereka : Inna lillahi wa inna illaihi rajiun, telah pergi dengannya dibawa kepada ibunya Neraka Hawiyah....".
Nas-nas tersebut memberi pengertian bahawa orang-orang mukmin yang salih pada ketika sakit berhadapan  dengan Sakaratul-maut begitu dimuliakan Allah hinggakan roh-roh orang-orang mukmin salih yang jasadnya sudah mati dan mempunyai tali persaudaraan dengan orang yang nazak itu diutuskan Allah khusus menemuinya untuk menghibur dan meredakan kesakitannya itu.
Ia juga menjelaskan lagi roh-roh orang mukmin salih yang jasadnya sudah mati tidak mengetahui hal-hal dunia lagi setelah mereka bersenang-senang dengan kenikmatan hidup di Alam Barzakh sana hingga menyebabkan mereka bertanyakan apa yang diperbuat si-polan dan si-polanah adakah sudah berkahwin. Tambahan pula apabila roh orang yang nazak sudah sampai ke halkum semasa Sakaratul-maut dia sudah berada di alam akhirat dan taubatnya sudah tidak diterima Allah lagi. Pada saat ini dia hanya melihat para malaikat yang berada di sekelilingnya dan tempat balasannya sama ada di syurga atau neraka.

Jika mereka mengetahui hal-hal dunia tentulah mereka tidak bertanya begitu. Mereka datang pun semata-mata atas murah kurnia dan dengan izin dan perintah Allah untuk menghiburkan saudara mukmin yang sedang sakit berhadapan dengan Sakaratul-maut dan bukan datang dengan kehendak mereka sendiri atau diseru pulang ke dunia melalui 'orang perantaraan' tertentu untuk sesuatu urusan duniawi.

Di dalam al-Quran Surah Ali 'Imran: 169-170 ada menjelaskan yang bermaksud :
"Janganlah kamu mengira bahawa orang-orang yang gugur syahid di jalan Allah itu mati; bahkan mereka itu 'hidup' 'di sisi' Tuhannya dengan mendapat rezki,
mereka dalam keadaan gembira disebabkan kurniaan Allah yang diberikanNya kepada mereka, dan mereka amat gembira hati terhadap orang-orang yang masih tinggal di belakang yang belum menyusul mereka, bahawa tidak ada kekuatiran terhadap mereka dan tidak pula mereka bersedih hati."

Maksud 'hidup' 'di sisi' Tuhannya dalam ayat ini bererti Roh Hammalul Amanah orang yang gugur syahid  dalam perang fisabillillah mendapat kurniaan berbagai-bagai nikmat kesenangan hidup di Alam Barzakh yang disediakan Allah seperti yang dijanjikan. Jasadnya yang sudah mati terkorban berada di dalam tanah perkuburan tetapi rohnya amat bergembira dan bersenang linang di Alam Barzakh mendapat limpahan rahmat dan kemuliaan tertinggi daripada Allah. Hal ini dapat difahamai juga bahawa Alam Barzakah itu amat luar biasa keadaannya yang tidak menyamai sama sekali dengan apa yang terdapat di dunia.

Kegembiraan para syuhadak seperti yang dimaksudkan di dalam ayat al-Quran ini adalah kegembiraan luar biasa yang berpanjangan hingga hari dibangkitkan semual pada Hari Kiamat kelak yang  tidak menyamai sama sekali dengan kegembiraan seketika yang terdapat di dunia. Mereka bersenang linang seperti berada di dalam taman syurga. Maka amat rugilah golongan manusia yang mengambil mudah dan tidak menghiraukan hal keadaan kehidupan di Alam Barzakh yang pasti ditemuinya pada bila-bila masa selepas jasadnya mati dan ditanam di dalam perkuburan.

Roh-roh orang kafirin dan munafiqin pula terus menerima azab seksa di Alam Barzakh seperti berada di dalam lubang neraka sementara menunggu ketibaan Hari Kiamat dunia dan tidak ada jalan langsung bagi mereka untuk melepasakan diri daripada azab seksa tersebut dan apa tah lagi untuk balik ke dunia untuk melakukan sesuatu tujuan duniawi.

Dalam peristiwa malam Isra' dan Mikraj Rasulullah s.a.w. ada diperjelaskan bahawa ketika Rasulullah s.a.w berada di Masjidil Aqsa, Baitul Maqdis baginda mengimamkan sembahyang berjemaah yang dihadiri oleh roh para Nabi dan Rasul terdahulu. Mungkin peristiwa ini dijadikan alasan atau nas kepada golongan tertentu sebagai bukti roh orang yang sudah mati boleh balik ke dunia.

Sebagaimana Allah memuliakan orang mukmin yang sedang nazak berhadapan dengan kesakitan Sakaratul-maut dengan menghantarkan Malaikat Rahmat dan roh saudara mara terdekat yang sudah mati dan bersenang-senang mendapat balasan kebahagian di Alam Barzakh khusus untuk menceria dan meringankan beban kesakitan saudaranya, demikian jugalah yang berlaku kepada Rasulullah s.a.w yang sedang mengalami mukjizat besar peristiwa malam Isra' dan Mikraj yang amat besar rahsia, hikmah dan pengertiannya kepada seluruh alam khususnya insan mukmin salih yang paling mulia di sisi Allah. 

Roh-roh para Nabi dan Rasul yang berada di Alam Barzakh diwahyu dan diperintahkan Allah supaya menjadi makmum sembahyang yang diimamkan oleh Rasulullah s.a.w. tidak langsung bertujuan untuk urusan duniawi tetapi mempunyai hikmah dan rahsia tertentu yang Allah sahaja yang lebih mengetahui hakikatnya.

Antara hikmah besar yang boleh difahami adalah di samping melakukan ibadat sembahyang mereka bersama-sama Malaikat Jibrael AS dan para Malaikat Rahmat berdo'a kepada Allah agar perjalanan Isra' dan Mikraj Rasulullah s.a.w memberi rahmat yang besar kepada insan-insan mukmin yang masih hidup di dunia supaya bertambah teguh keimanan mereka  kepada Allah dan Rasul serta melimpahkan rahmatNya kepada seluruh alam.

Peristiwa Isra' dan Mikraj ini adalah mukjizat paling besar yang dikurniakan Allah kepada Rasulullah s.a.w. yang tidak dikurniakan kepada Nabi-nabi terdahulu. Sebagai penghulu semua para Nabi dan Rasul, manusia dan jin, pengakhir sekalain Nabi dan Rasul peristiwa Isra' dan Mikraj ini memberi pedoman yang lebih jelas kepada manusia terhadap kebenaran alam akhirat dan tidak menjadi sebab atau alasan kepada manusia dan jin mengingkarinya dan tidak mengetahuinya di samping untuk memfardhukan ibadat Sembahyang 50 Waktu sebagai ibadat yang amat mulia, paling utama dan tertinggi di sisi Allah seperti yang termaklum.

Jelasnya semua perkara yang berlaku di Masjidil Aqsa semasa berlaku peristiwa Isra' dan Mikraj ini adalah urusan kenabian, wahyu Allah dan hal akhirat sahaja. Maka dalam hal ini adalah tidak wajar sama sekali untuk menjadikan peristiwa ini sebagai alasan, bukti dan nas untuk menyokong pendirian yang mengatakan roh orang yang sudah mati boleh dipanggil atau diseru balik ke dunia untuk melakuklan urusan duniawi.

Dalam nas-nas yang lain pula ada menjelaskan yang intipatinya bermaksud :

i."...bahawasanya orang mukmin yang salih itu dibukakan hijab baginya pada mengiringi mati itu dengan diberi lihat keluasan rahmat Allah dengan pengurniaan Allah yang amat mempunyai kebesaran dan kemuliaan bahawa dunia ini seperti tempat penjara dan tempat sempit dimisalkan seperti orang yang dikurung dalam rumah yang gelap gelita dibukakan baginya satu pintu kepada satu taman yang amat luas yang tiada sampai [dilihat] sejauh pemandangan matanya [sangat luas]. Di dalamnya terdapat berbagai jenis pokok, bunga-bunga, buah-buahan, burung-burung serta berbagai keindahan yang luar biasa, hingga dia tidak ingin hendak balik kepada tempat penjara yang gelap itu."

 ii.  "Umpama orang mukmin di dunia adalah seumpama seorang janin bayi dalam perut ibunya, apabila ia keluar daripadanya ia menangis atas keluarannya itu, hinggalah apabila ia telah melihat cahya dan diletakkan (ke dalam dunia), tidaklah ia berkenan hendak kembali ke tempatnya, begitulah (dengan) orang mukmin itu berdukacita (يجزع) dari mati, maka apabila ia sampai menerima rahmat Tuhannya tidaklah ia berkenan untuk kembali ke dunia sebagaimana tidak berkenannya bayi itu masuk semula ke dalam perut ibunya."

Rasullullah s.a.w. memperjelaskan apabila seseorang [mukmin yang salih ] itu mati dia berpindah daripada dunia meninggalkan kaum keluarganya. Sekiranya dia diredhai Allah maka dia:
 "tidak menyukai balik ke dunia sebagaimana tidak menyukai seseorang itu balik ke dalam perut ibunya."

Berpandukan nas-nas ini maka tertolak dan ternafilah sama sekali bahawa roh-roh orang yang sudah mati sama ada orang mukmin atau kafir boleh balik ke dunia, masuk ke dalam tubuh manusia atau binatang, atau menjadi 'roh jahat'; syiatan, hantu jembalang, atau memasuki ke dalam tubuh manusia sebagai 'roh baik' sebagai penjelmaan semula [incarnation] seseorang tokoh fahaman agama atau pemimpin tertentu, menggegar pokok-pokok, memindahkah meriam besar dari satu tempat ke tempat lain yang dihajati,  dan bermacam-macam kepercayaan atau sangkaan lagi. 

Kepercayaan ini SANGAT SALAH kerana membawa erti "tidak percayakan [mengingkari] adanya balasan azab dan kesenangan kubur yang termasuk sebagai alam akhirat" yang sekaligus mendustakan perkhabaran al-Quran dan Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. Sekiranya dia orang Islam maka rosaklah aqidah keimanan dan gugurlah keislamannya.

Bagi memperkukuhkan lagi kefahaman bahawa roh orang yang sudah mati itu tidak mungkin dan tidak sekali-kali boleh balik ke dunia, seseorang itu hendaklah membaca dengan teliti Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. yang menceritakan hal keadaan Roh Hammalul Amanah apabila sampai ke halkum ketika menghadapi Sakratul-maut yang sangat dahsyat itu.

[Sila lihat :  Bersediakan Anda Menghadapi SAKARATULMAUT? ]

Hadis-hadis Rasullullah s.a.w.menjelaskan yang antara lain intipatinya  dapat dirumuskan bahawa semasa menghadapi Sakratul-maut, Roh Hammalul Amanah setiap orang manusia akan berhadapan dengan situasi berikut:

i.  Jika yang menghadapi Sakratul-maut adalah Roh Hammalul Amanah orang mukmin yang salih maka Malaikat Maut datang dengan wajahnya yang berseri-seri berbau harum kasturi diiringi pula 500 orang Malaikat Rahmat untuk menyambut dan memuliakan rohnya keluar daripada jasad. Dua orang malaikat pencatat amalan di sepanjang hayat si mati akan memperlihatkan dirinya untuk mengkhabarkan segala perbuatan kebajikan atau kejahatan yang dilakukan di sepanjang hayatnya.
Dia (rohnya)  dibuka hijab hingga dapat melihat sendiri segala perbuatan yang dilakukan di sepanjang hayatnya yang dirakam dan dipancarkan dari Arasy. Dia juga akan diperlihatkan dan diberikan perkhabaran tempat balasannya di akhirat kelak sama ada syurga atau neraka. Sekiranya dia melihat dan diberikan perkhabaran bahawa tempat balasannya ialah syurga dia tersangat gembira hinggakan seolah-olah menjadi cair lemak badannya untuk mati segera dan bersegera pergi ke syurga yang dilihatnya itu.

Malaikat Maut akan mencabut keluar Roh Hammal Amanah orang mukmin salih secara perlahan penuh kelembutan seperti menarik rambut keluar daripada tepung beruli. Setelah rohnya keluar atau berpisah daripada jasad, 500 orang Malaikat Rahmat akan menyambut dan memuliakannya seperti pengantin dan memakaikannya dengan pakaian sutera daripada pokok Raihan di syurga yang berbau harum kasturi.

Selepas itu rohnya dibawa ke sesuatu tempat di hadapan Arasy dan dikembalikan semula kepada jasad apabila berada di dalam kubur untuk menghadapi Fitnah Kubur [ujian soalan daripada dua orang malaikat] dan menikmati kehidupan seperti dalam taman syurga di Alam Barzakh hingga dikembalikan semula pada jasadnya untuk hidup semula bersama jasad pada Hari Kiamat kelak untuk ditimbang dan dihisab segala amalannya sebelum menyeberangi titian "sirat" yang terbentang di atas neraka. Maka beruntunglah mereka yang selamat hingga ke seberang dan bertemu dan menekmati air kolam  'Haudh' Nabi Muhammad s.a.w.yang amat luas itu  sebelum masuk ke syurga.

ii.   Jika sekiranya Roh Hammalul Amanah yang berhadapan dengan Sakratul-maut itu adalah orang kafir, munafik, ahli maksiat dan orang yang ingkar dimurkai dan tidak mendapat pengampunan Allah keadaan yang sangat dahsyat akan berlaku. Pada ketika itu roh tersebut didatangi oleh Malaikat Maut yang sangat dahsyat dan menggerunkan rupanya berpakaian dengan pakaian daripada api neraka diiringi pula oleh Malaikat Azab.

Dua orang Malaikat pencatat amal akan menghadirkan diri mengkhabarkan berita buruk kerana dosa maksiat yang dilakukan di sepanjang hayatnya dan diperlihatkan pula rakaman amalan dia yang dilakukan di sepanjang hayat. Lebih dahsyat lagi dia diperlihatkan dan diberikan perkhabaran bahawa tempat balasannya ialah neraka.

Malaikat Maut merentap rohnya keluar dengan kasar dan menyerahkannya kepada Malaikat Azab. Malaikat Azab menerima roh itu dan meletakkannya di atas tapak bara api neraka menjadikannya mendidih kepanasan.  Pada ketika itu Roh Hammalul Amanah menjerit sekuat-kuat hatinya kerana kesakitan azab yang tidak terhingga.

Kesemuanya ini berlaku ketika si mati masih lagi berada di dunia sama ada di hadapan keluarga atau orang-orang yang menziarahinya. Apabila dimasukkan ke dalam kubur Roh Hammalul Amanah si mati akan berhadapan pula dengan soalan-soalan Fitnah Kubur daripada dua orang malaikat yang sangat dahsyat dan menggerunkan itu yang akan bertanyakan hal-hal mengenai Allah, Rasul, dan keimanan seperti yang termaklum di dalam Hadis Rasulullah s.a.w.  Dia akan merasakan segala azab pukulan daripada Malaikat Azab yang sangat dahsyat sekiranya gagal menjawab atau memberikan jawapan yang salah.  Segala jeritan kesakitan yang ditanggungnya bermula pada saat Sakaratul-maut lagi didengari oleh semua makhluk di bumi kecuali manusia dan jin.

Berdasarkan keterangan-keterangan yang diberikan dalam maksud Hadis-hadis Rasullullah s.a.w. ini jelas menunjukkan tidak ada jalan langsung bagi setiap Roh Hammalul Amanah manusia kembali ke dunia untuk apa jua tujuan sekali pun. Oleh sebab itu, disebutkan sakit Sakratul-maut itu ialah 'kiamat kecil' kerana apa yang berlaku pada saat itu kesemuanya di luar tabi'e yang tidak dapat dijangkau akal manusia yang masih hidup di dunia untuk memikirkannya sama sekali seperti juga yang disebut dalam peristiwa Hari Kiamat besar yang akan menimpa seluruh alam sebagaimana yang dijelaskan dengan terang dalam nas-nas al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w.

[Lihat : Tarbiyatu Fikrit-Tifli Li-Fahmi Ulumiddin ]

Sekiranya seseorang itu beriktiqad dan mempercayai bahawa roh orang mati itu boleh balik ke dunia maka terpaksalah dia menafikan Hadis-hadis tersebut di atas dan menolak adanya balasan nikmat kebaikan dan azab seksa yang dijanjikan Allah di dalam kubur Alam Barzakh. Maka dengan sendiri rosaklah aqidah keimanannya.

Tidak ada sesiapa pun yang mengetahui nasib dan apa tah lagi dapat menentukan balasan dan takdir Allah yang diterima oleh roh si mati seseorang apabila berada di dalam kubur Alam Barzakh sama ada mendapat balasan nikmat seperti berada di dalam taman syurga yang amat luas atau menerima azab seksa seperti di dalam lubang neraka walaupun pada zahirnya dia beriman, beragama Islam dan dikebumikan sebagai jenazah orang Islam atau didakwa dan dipercayai bahawa si mati itu sebagai 'Wali Allah' dan gelaran-gelaran kemuliaan lain yang seumpama dengannya.

Sekiranya dia termasuk sebagai golongan mukmin/mukminat yang salih yang mendapat balasan nikmat berada di Alam Barzakh seperti taman syurga, maka tidak berkeinginan langsung baginya untuk kembali ke dunia kerana kenikmatan tidak terhingga yang tersedia di dalam kubur Alam Barzakh mengatasi segala kenikmatan yang terdapat di dunia. Hadis Rasulullah s.a.w. 

memperjelaskan hal ini seperti yang bermaksud :
 “Kubur itu sama adalah salah satu lubang api neraka atau salah satu taman syurga."

Sabdanya lagi yang bererti :
 “Apabila mati seseorang kamu, dia diperlihatkan tempat duduknya, pagi-petang, jika dia ahli syurga maka syurgalah (baginya), jika ia ahli neraka maka nerakalah (baginya) dan diperkatakan (kepadanya): Inilah tempat kedudukan engkau hingga engkau dibangkitkan (dibawakan kepadanya) pada Hari Kiamat kelak.”

Sekiranya roh si mati yang terjumlah sebagai ahli neraka dan menerima azab seksa seperti berada di dalam lubang neraka, tidak ada jalan atau berpeluang langsung baginya kembali ke dunia untuk melakukan amalan salih walaupun sangat berhajat berbuat demikian kerana takdir Allah telah menetapkan segala keperluan dan hukuman di akhirat yang bermula daripada saat Sakaratul-maut adalah berdasarkan amalan yang dilakukan ketika hidup di dunia. Kubur Alam Barzakh adalah alam akhirat yang akan disusuli pula dengan Hari Kiamat Dunia dan dibangkitkan semula semua manusia daripada kuburnya untuk menghadapi Hari Pembalasan seperti yang dimaksudkan di dalam al-Quran dan Hadis-hadis Rasulullah s.a.w.

Dalam hal ini dapatkah seseorang itu menentu atau mengesahkan hal keadaan roh si mati seseorang sama ada dia menerima balasan nikmat berada seperti di dalam taman syurga atau menerima azab seperti berada di dalam lubang neraka? Sudah pastinya jauh sekali dia dapat mengetahuinya kerana segala hal Alam Barzakh adalah semata-mata urusan Allah dan hanya Allah sahaja Yang Maha Mengetahui mengenainya.

Mungkin akan timbul pertanyaan siapakah yang sebenarnya kelihatan dan dianggap  hadir apabila 'orang perantaraan' itu menyeru roh seseorang yang sudah mati atau membuat upacara-upacara pemujaan sama ada untuk tujuan perubatan atau apa-apa tujuan duniawi sekalipun. Dakwaan atau sangkaan  ini berdasarkan perubahan atau kesan fizikal seperti orang 'kerasukan' yang dapat dilihat pada 'orang perantaraan' yang menyeru/ memanggilnya dan hal keadaan orang yang dirawati atau upacara ritual yang dikendalikan.

Hakikat ini perlu difahami bahawa syaitan boleh menipu manusia dengan berbagai-bagai cara kerana berdasarkan Hadis Rasullullah s.a.w. syaitan boleh masuk ke dalam tubuh manusia melalui saluran darah, matanya pada mata manusia, rohnya pada hati manusia dan dia menguasai seluruh tubuh manusia. Syaitan juga boleh menyerupai wajah orang-orang salih dan mengaku dia itu orang salih [ Wali Allah ] yang berkenaan atau wajah-wajah ibu bapa dan siapa juga yang diseru [kecuali wajah sebenar Nabi Muhammad s.a.w.].Maka tertipulah manusia oleh syaitan laknatullah.
[Lihat : Adakah Benar Imam Mahadi Akan Muncul?]

 Di dalam al-Quran Surah Al-Infithaar: 14-19 ada memperjelaskan hal keadaan azab seksa yang ditanggung oleh ahli neraka seperti yang bermaksud:

" Dan sesungguhnya orang-orang yang derhaka benar-benar berada dalam neraka.
 Mereka masuk ke dalamnya pada Hari Pembalasan.  Dan mereka sekali-kali tidak dapat keluar dari neraka itu.
 Tahukah kamu apakah Hari Pembalasan itu? Sekali lagi, tahukah kamu apakah Hari Pembalasan itu?

 [Iaitu] hari [ketika] seseorang tidak berdaya sedikitpun untuk menolong orang lain. Dan segala urusan pada hari itu dalam kekuasaan Allah."

Setiap makhluk Allah itu mempunyai lima kelemahan iaitu tidak memiliki bagi dirinya sendiri untuk:
 i.     Memberi Kemanfaatan
  ii.    Memberi Kemudaratan
 iii.    Memberi Kematian
 iv.    Memberi Kehidupan
 v.    Menolak daripada dibangkitkan hidup semula kemudian daripada mati.

Maksud yang hampir sama juga boleh difahami di dalam kandungan maksud do'a Al-Imam As-Syafiee RH :

اللهم اني لا أملك لنفسي نفعا ولا ضرا ولا موتا ولا حياة ولا نشورا ولا أستطيع أن آخذ إلا ما أعطيتني ولا اتقي إلا ما وقيتني اللهم فوفقني لما تحب وترضى من القول والعمل في عافية.

[ Maksudnya: Ya Allah!, bahawasanya aku tiada memiliki bagi diriku kemanfaatan, tiada memiliki kemudaratan, tiada memiliki kematian, tiada memiliki kehidupan, tiada memiliki hidup kemudian daripada mati, tiada aku berupaya mengambil melainkan barang apa yang Engkau berikan kepada ku dan tiada dapat aku memelihara melainkan barang apa yang telah Engkau pelihara akan aku. Ya Allah!, Engkau berilah taufik kepada aku bagi barang apa yang Engkau kasihi dan Engkau redhai daripada perbuatan dan amalan dalam 'afiat.]

Dalam Hadis Rasullullah s.a.w. ada memperjelaskan yang antara lainnya bermaksud :
"...........Demi yang adalah diriku itu di bawah kuasa-Nya iaitulah pada tiga [3] tempat seseorang itu tiada ingat melainkan diri sendirinya sahaja iaitu apabila : diletakkan penimbangan dan ditimbang segala amalan hingga melihat anak Adam itu adakah ringan timbangnya ataupun berat , iaitu pada ketika surat amalan hingga dia melihat adakah dia menerima dengan tangan kanannya ia mengambil suratan itu atau dengan tangan kirinya dan iaitulah pada ketika meniti titian itu......"

Diriwayatkan juga bahawa akan didatangkan kepada anak Adam pada Hari Kiamat hingga didirikan dua daun neraca penimbangan itu dan diwakilkannya dengan seorang malaikat. Jika berat timbangannya maka menyeru malaikat itu dengan suara yang didengari semua makhluk :
"Telah bahagia si polan kebahagian yang tidak celaka kemudiannya selama-lamanya. Jika ringan timbangannya menyeru malaikat itu dengan suara yang didengari oleh semua makhluk :  Telah celaka si polan dengan kecelakaan yang tidak ada bahagia kemudiannya selama-lamanya. Pada ketika ringan daun neraca penimbangan pihak kebajikan datang berhadap Malaikat Az-Zabaniah dan di tangan mereka ada pemukul-pemukul daripada besi, mereka berpakaian daripada api neraka dan mereka mengambil akan manusia yang menjadi ahli neraka untuk menghumbankan mereka ke dalam api neraka."

Demikian juga ada Hadis Rasulullah s.a.w. yang menyebutkan bahawa dibentangkan titian di antara tengah-tengah api Neraka Jahanam. Rasullullah s.a.w. adalah orang yang mula-mula melalui titian tersebut dan pada ketika itu semua Nabi-nabi dan Rasul-rasul berdo'a yang berbunyi : Allahumma Sallim Allahumma Sallim yang bermaksud :  Ya Allah selamatkanlah olehMu. Rasullullah sendiri akan hanya boleh memberi syafaat pada umatnya sekiranya diizinkan Allah . Maksud Hadis tersebut ialah :"Sabda Rasulullah SAW : Dibentangkan titian di antara tengah-tengah api neraka Jahanam, maka adalah aku awal-awal orang yang melaluinya dengan umatnya daripada Rasul-rasul.  Dan tiada berkata-kata pada hari itu melainkan Rasul-rasul.  Perdo'aan Rasul-rasul pada hari itu : Allahuma Salam, Allahuma Salam, [Ya Allah selamatkanlah olehmu Ya Allah, Selamatkanlah olehmu]. Dalam Neraka Jahanam itu ada beberapa penyangkuk besi seperti duri pokok Sa'dan, adakah engkau sekalian melihat duri pokok Sa'dan?

Kata mereka : Bahkan wahai Rasulullah. Sabdanya : Bahawasanya seumpama duri Sa'dan selain daripada bahawasanya tiada mengetahui kadar besarnya itu melainkan Allah Taala, menyambari manusia dengan amalan-amalan mereka,  maka ada  yang binasa dengan amalannya dan  ada yang susah dan terlambat kemudian ia terlepas..........."

Dalam maksud Hadis yang lain ada menceritakan bahawa Rasullullah s.a.w. itu sendiri diganggu oleh syiatan tetapi setelah membaca ayat-ayat al-Quran syiatan tersebut masih tidak pergi. Pada ketika itu Malaikat Jibrael AS ada berhampiran dengannya tetapi Rasullullah tidak meminta pertolongan daripada Malaikat Jibrael yang sangat kuat itu. Apabila melihatkan hal yang demikian itu Malaikat Jibrael AS mengajarkan Nabi Muhammad s.a.w. dengan satu do'a seperti berikut:

                 أَعُوْذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ الَّتِي لَاْ يُجَاوِزُهَنَّ
بِرٌّ وَلَاْ فَاجِرٌ مِنْ شَرِّ مَا يَلِجُ فِيْ الأَرْضِ وَمَا
يَخْرُجُ  مِنْهَا وَمَا يَنْزِلُ مِنَ السَّمَاءِ وَمَا يَعْرُجُ
فِيْهَا وَمِنْ فِتَنِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ وَمِنْ طَوَارِقِ
                   اللَّيْلِ  وَالنَّهَارِ إِلاَّ طَارِقًا يَطْرُقُ بِخَيْرٍ يَا رَحْمَن

                    Maksudnya:
 " Aku meminta peliharakan [perlindungan] dengan segala kalimah yang sempurna yang tiada melampaui oleh orang yang jahat daripada kejahatan barang apa yang masuk pada bumi dan barang apa yang keluar daripadanya, dan barang apa yang turun daripada langit dan barang apa yang naik kepadanya, dan daripada segala fitnah malam dan siang, dan daripada segala yang datang malam dan siang melainkan yang datang mendatangkan dengan kebajikan, wahai Tuhan Yang Maha Pemurah".

Apabila ia [Rasulullah s.a.w. ] mengatakan [ berdo'a] yang demikian itu maka padam sepotongan nyalaan api itu jatuh ke atas muka syiatan tersebut. Nas ini menjelaskan bahawa seseorang makhluk itu hanya dikehendaki memohon pertolongan daripada Allah sahaja dan bukan daripada sesama makhluk kerana setiap makhluk itu mempunyai lima [5] kelemahan pada diri masing-masing seperti yang disebut di atas.

Sesungguhnya Allah SWT itu mempunyai sifat Al-Karim seperti yang yang terkandung di dalam Asma' Allah Al-Husna yang bererti :

"Yang Amat Berkemurahan yang tiada meluputkan orang yang berwasilah (berbuat taat kepadaNya) dan tiada membiarkan dan tiada meninggalkan orang yang berlindung meminta peliharaan kepadaNya".

Al-Wahab  pula bererti :

 "Yang Amat Besar pemberian dan penganugerahan Yang Amat Banyak memberi nikmat dan murah penggunaannya. [atau ] Yang Maha Besar Taufik dan pemeliharaanNya dan Amat Pengasih dengan tidak payah memohon dan tiada memutuskan pemberianNya kepada hamba-hambaNya sama sekali ."

Mungkin terdapat dakwaan yang konon mengatakan bahawa si polan itu sudah mati dan sudah ditanam di dalam kubur tetapi dia bangkit hidup semula, keluar daripada kubur dan hidup seperti biasa. Andainya terbit dakwaan seperti ini hendaklah ditanya kepadanya peri hal Sakaratrul-maut, Fitnah Kubur dan juga Himpitan Kubur seperti yang dijelaskan di dalam maksud hadis :
" Dan daripada Annas ia berkata : Telah wafat Zainab binti Rasulullah s.a.w. dan adalah ianya perempuan yang sentiasa mengidap sakit. Maka mengikutinya Rasulullah s.a.w.dan mendukacitakan kami halnya. Maka manakala sampai kami kepada kubur ia memasukinya dan berubah mukanya pucat. Tatkala ia keluar berubah mukanya.

Maka kami berkata: Wahai Rasulullah, kami lihat daripada engkau ada perkara, maka daripada kerana apakah itu? Maka ia bersabda: Aku teringat himpitan anak perempuanku dan bersangatan azab kubur. Maka aku datang dan khabarkan bahawa Allah telah meringankan daripadanya. Sesungguhnya dihimpiti satu himpitan yang didengari suaranya barang yang ada di antara masyriq dan maghrib."

Dalam Hadis yang lain yang mempunyai maksud yang hampir sama :

 "Aisyah RA berkata bahawa Rasuluillah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya setiap kubur memiliki himpitan. Seandainya seseorang selamat daripadanya, pastilah Sa'ad bin Mu'adz akan selamat...".
Hadis ini memberi penjelasan bahawa setiap mayat [badan batin atau roh atau kedua-duanya mengikut kehendak Allah] yang dikebumikan di dalam kubur menerima himpitan kubur mengikut kadar dan bahagian seseorang. Bagi Zainab, anak perempuan Rasulullah s.a.w. dan juga orang-orang mukmin salih himpitan ini adalah himpitan sayang seperti ibu memeluk dengan kasih mesra terhadap anak kesayangannya. Sebaliknya bagi mayat dan roh orang-orang kafir dan ahli maksiat yang dimurkai Allah akan mendapat himpitan azab yang amat dahsyat dan sangat menyeksakan.
Dalam hal ini sekiranya orang yang mengaku/mendakwa sudah mati, mayatnya dikuburkan dan hidup semula balik ke dunia seperti masnusia biasa, hendaklah ditanya mengenai himpitan kubur ini. Demikian juga sekiranya terjadi kes atau kepercayaan yang mendakwa roh orang yang sudah mati masuk ke dalam badan seseorang dan mengaku roh orang alim terkenal, Wali Allah atau roh sesiapa juga, hendaklah ditanya soalan-soalan yang sama dan perihal  kesakitan ketika menghadapi Sakaratul-maut, Fitnah Kubur dan Alam Barzakh dan tempat dia berada sama ada di taman yang indah seperti taman syurga atau lubang neraka.

Sekiranya mereka tidak memberikan jawapan yang sama seperti yang diperjelaskan di dalam Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. tersebut maka jelaslah dakwaan tersebut dusta/palsu belaka atau pun orang tersebut belum mati tetapi hanya mengalami 'pengsan' sahaja. Sekiranya dia mengaku roh orang alim atau orang-orang tertentu yang masuk di dalam badan 'orang perantaraan' atau orang sakit yang dirawatinya nyatalah yang datang itu ialah makhluk jenis  jin atau syiatan.

[Adalah sudah menjadi lumrah kehidupan manusia khususnya mereka yang sudah sebati dengan kepercayaan dan amalan ini enggan merujuk dan apa tah lagi bertaubat kepada Allah walaupun mereka gagal memberikan jawapan-jawapan yang benar dan mengakui kebenaran ilmu yang berteraskan al-Quran dan Hadis-hadis Rasulullah s.a.w.]

Berbagai-bagai alasan yang diberikan untuk mempertahankan kepercayaan dan amalan salah mereka. Antara jawapan yang biasa diberikan ialah: " "Itu semua hanya pandangan ulama-ulama syariat yang jahil ilmu tareqat, hakikat dan makrifat.Tok Guru dan Syeikh tareqat si polan adalah ulama terkenal yang mempunyai ribuan murid dan pengikut setia sejak sekian lamanya, semua orang alim 'berguru' ' berubat' dan merujuk kepadanya", dia adalah 'Wali Allah' yang 'mursyid' dan 'kasyaf' dan bermacam-macam alasan lagi.

Maka tidak menghairankan sekiranya kepercayaan dan amalan sesat di sebalik  'roh orang mati ' ini berpanjangan hingga ke satu masa yang sukar untuk ditentukan atau apabila manusia sudah tidak memerlukan lagi khidmat kebatinan daripada golongan mistik dan kebatinan ini.

Penjelasan yang dipaparkan ini dengan jelas menafi dan menolak sama sekali hujjah, kepercayaan atau dakwaan yang mengatakan "roh orang yang sudah mati itu boleh balik ke dunia" untuk melakukan apa juga tujuan duniawi sekalipun dan orang yang hidup boleh menyeru meminta pertolongan daripada roh orang yang sudah mati.

Adapun membaca do'a yang disusun dan dijadikan amalan para mukmin salihin,  ulama'-ulama' mujtahid termasyhur, para sahabat Rasullah s.a.w. serta Nabi-nabi adalah sangat digalak dan dituntut olen syarak kerana do'a-do'a tersebut tersusun dengan bahasa yang begitu indah mengandungi keluasan ilmu pengetahuan yang mudah dibarkati, dirahmati dan dimakbulkan Allah. Kalimah-kalimah yang terkandung di dalam "do'a-do'a" tersebut juga tidak mengandungi sebarang kalimah yang bermaksud 'meminta tolong' kepada makhluk dan tidak mempunyai lima [5] kelemahan seperti yang dijelaskan di atas.

Berubat menggunakan khidmat kepakaran doktor perubatan melalui kaedah dan proses penyelidikan perubatan saintifik terhadap bahan-bahan daripada kekayaan sumber alam adalah sangat digalakkan dan dituntut oleh hukum syarak kerana ilmu perubatan ini mengandungi rahsia menggunakan khasiat-khasiat tabi'e kekayaan sumber alam yang Allah jadikan untuk kemanfaatan hidup manusia di dunia. Ilmu perubatan saintifik juga tidak mengiktiqadkan bahawa roh orang yang sudah mati boleh balik ke dunia untuk melakukan kerja-kerja duniawi dan tidak mengaitkannya sama sekali dengan hal roh orang yang sudah mati yang berada di Alam Barzakh.

Huraian mengenai permasalahan ini telah dilakukan oleh ramai golongan ulama' yang hak sejak sekian lamanya lagi. Mereka yang mempercayai dan mengamalkan perbuatan "bertawassul" kepada roh orang yang sudah mati adalah perbuatan bida'ah sesat dan melarang umat Islam melakukannya. Namun bagi golongan yang sudah sebati dengan kepercayaan dan amalan tradisi "bertawassul" kepada roh "Wali Allah" yang sudah sekian lama meninggal dunia ini adalah amat sukar untuk bertaubat dan membuangnya. Mereka amat takut dan mempercayai akan ' ditimpa malapetaka atau tulah guru ' sekiranya kepercayaan ini dibuang dan amalan ini tidak dilaksanakan.

Ada di antara mereka beranggapan bahawa apa yang diperkatakan oleh golongan ulama' tersebut adalah pendapat golongan ulama syari'at sahaja yang tidak memahami dan mengamalkan perjalanan 'ilmu hakikat' dan tareqat ahli-ahli sufi dari golongan 'Wal-wali Allah' yang sudah mencapai ke tahap makam tertinggi 'ahli makrifat'. Lebih-lebih lagi apabila terdapat juga sesetengah golongan ulama' yang bercanggah pendapat mengenai permasalahan ini di samping tidak terdapat penyelesaian atau fatwa muktamad mengenainya daripada pihak berkuasa agama Islam.

Maka mungkin akan berterusan dan berpanjanganlah permasalahan di sebalik kepercayaan "Roh Orang Mati Boleh Balik ke Dunia" ini diperturunkan dari satu ke satu genarasi ke satu generasi seterusnya sehingga menjadi salah satu amalan biasa sahaja yang tidak lagi dianggap satu kesalahan besar atau bida'ah sesat yang ketara kerana sudah menjadi amalan biasa sebahagian besar umat Islam negara ini. Sebaliknya mungkin akan difatwakan pula bahawa sesiapa yang tidak mengamalkan dan menentang kepercayaan ini dijatuhkan hukuman 'sesat' dan terkeluar daripada agama Islam! Wallahu'alam.


[Lihat : Tipu Daya Syiatan Iblis [Bhg 1 dan Bhg 2  ]


1 ulasan:

  1. سبحان الله.......سبحان الله......سبحان الله.

    BalasPadam