Selasa, 6 Mei 2014

Surah al-Muzzammil (Yang Berselimut):Surah 73

Surah 73, Surah al-Muzzammil (Yang Berselimut) : 20 ayat. 

Bismillahi al-Rahman al-Rahim (Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani). 

73-1:  Wahai orang yang berselimut! 
73-2:  Bangunlah di malam hari, kecuali sedikit. 
73-3:  Satu perduanya atau kurangilah daripadanya sedikit. 
73-4:  Atau lebih daripadanya. Dan bacalah al-Qur’an itu dengan perlahan-lahan.  
73-5:  Sesungguhnya Kami (Allah) akan menurunkan kepada engkau perkataan yang berat. 
73-6:  Sesungguhnya bangun di waktu malam adalah lebih mantap dan bacaan lebih berkesan. 
73-7:  Sesungguhnya bagi engkau pada siang hari, urusan yang panjang. 
73-8:  Sebutlah nama Rab (Tuhan) engkau, dan beribadahlah kepada-Nya (kepada Allah) dengan
          sebenar-benar ibadah.  
73-9:  Rab (Tuhan) masyrik dan maghrib, tiada Ilah (Tuhan) melainkan Dia (Allah), maka ambillah
          Dia (Allah) sebagai pelindung.
73-10:  Dan bersabarlah terhadap apa yang mereka ucapkan dan jauhilah mereka dengan cara yang
           baik.  
73-11:  Dan biarkanlah Aku (Allah) bertindak terhadap orang yang mendustakan itu, orang yang
            mempunyai kemewahan, dan berilah mereka tangguh  sebentar. 
73-12:  Sesungguhnya pada sisi Kami (Allah) ada belenggu-belenggu yang berat dan api yang
            menyala-nyala.  
73-13:  Dan makanan yang menyumbat kerongkong dan azab yang pedih. 
73-14:  Pada hari bergoncangan bumi dan gunung-gunung, dan jadilah gunung-gunung itu
            tumpukan-tumpukan pasir yang berterbangan.  
73-15:  Sesungguhnya Kami (Allah) telah mengutuskan kepada kamu seorang rasul, yang menjadi
            saksi terhadap kamu, sebagaimana Kami (Allah) telah mengutuskan seorang rasul kepada               Fir’awn.  
73-16:  Maka Fir’awn menderhakai rasul itu, lalu Kami (Allah) seksakannya dengan seksaan yang
           berat.  
73-17:  Maka bagaimanakah kamu akan memeliharakan diri kamu jika kamu tetap kafir kepada                  hari yang menjadikan anak-anak beruban. 
73-18:  Langit menjadi pecah belah kerananya, adalah janji-Nya (janji Allah) itu pasti terlaksana. 
73-19:  Sesungguhnya ini adalah suatu peringatan. Maka sesiapa yang menghendaki nescaya dia 
           menempuh jalan kepada Rab (Tuhan)nya.

73-20:  Sesungguhnya Rab (Tuhan) engkau mengetahui bahawa engkau berdiri kurang daripada dua pertiga malam, atau seperdua malam atau sepertiganya dan (demikian pula) segolongan daripada orang yang bersama engkau. Dan Allah menetapkan ukuran malam dan siang. Dia (Allah) mengetahui bahawa engkau tidak dapat menentukannya, maka Dia (Allah) menerima taubat engkau, kerana itu bacalah apa yang mudah daripada al-Qur’an. Dia (Allah) mengetahui bahawa akan ada antara kamu orang yang sakit dan orang yang berjalan di bumi mencari sebahagian daripada kurnia Allah, dan yang lain berperang pada jalan Allah, maka bacalah apa yang mudah daripadanya, dan dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat, dan berikanlah pinjaman kepada Allah pinjaman yang baik. Dan kebaikan apa sahaja yang kamu perbuat untuk diri kamu nescaya kamu memperolehi di sisi Allah yang baik dan lebih besar pahalanya. Dan mohonkanlah keampunan kepada Allah, sesungguhnya Allah adalah al-Ghafur (Maha Pengampun), lagi al-Rahim (Maha Mengasihani). 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan