Posted by epondok -Mazlina Ismail
Gambar hiasan jee |
Persepsi ujian adalah bala sebagai hukuman semata-mata perlu diperbetulkan. Ustaz Muhamad Abdullah Al Amin dalam Rancangan Pesona D’zahra di Ikimfm berkongsi tujuh perkara dalam melihat ujian atau bencana alam seperti banjir luar biasa yang berlaku di beberapa negeri di pantai timur, baru-baru ini.
Pertama, walaupun ada banyak tanda-tanda hari kiamat yang semakin menghampiri tetapi ada dua yang banyak disebutkan iaitu air laut membuak-buak dan air laut terbakar. Justeru ketika didatangi musibah alam yang hebat, ambil iktibar dan muhasabah diri daripada ujian yang datang dalam hidup kita mahupun yang menimpa orang lain.
Perbetulkan persepsi memandang sesuatu ujian itu kerana sesungguhnya musibah dan bala yang melanda juga adalah tanda menghampiri kiamat. Lalu, tanyalah diri kita apakah persediaan untuk menghadapi hari kiamat. Elakkan menghakimi orang lain atas ujian dihadapi mereka, sebaliknya hulurkan bantuan dan tunjukkan rasa simpati kepada mangsa bencana.
Bala bukti kekuasaan Ilahi
Kedua, renungi setiap bala, bencana dan musibah yang melanda itu adalah sebagai bukti kekuasaan dan kebesaran Allah SWT. Penghayatan ini hanya akan dapat dilakukan dengan pembacaan dan memahami makna ayat yang terkandung dalam al-Quran.
Allah SWT menceritakan kekuasannya di dalam al-Quran, tetapi manusia tidak memahami dan tidak merenunginya. Maka, Allah SWT menghantar ujian untuk membuktikan kekuasaan-Nya supaya manusia faham dan sedar. Lihat tsunami di Aceh yang tidak menjejaskan masjid.
Walaupun diuji, Allah SWT tidak akan membiarkan kita bersendirian dalam menghadapi sesuatu musibah. Bagi hamba-Nya yang bertakwa dan bertaubat, setiap musibah yang melanda akan diberikan jalan keluar. Allah SWT menghantarkan bantuan dalam menghadapi kesusahan dan memberi kemudahan dalam pelbagai cara.
Ketiga, bencana dan musibah itu didatangkan kerana Allah ingin menggantikan sesuatu dengan yang lebih baik. Bukalah hati dan fikiran untuk melihat bencana itu dari sudut positif. Contohnya, ada yang mungkin kehilangan rumah, insya-Allah akan mendapat rumah baru, kelengkapan baru dan sebagainya.
Sesungguhnya janji Allah pasti benar. Percayalah selagi kita bersangka baik dengan ujian-Nya dan sifat Maha Pengasih Allah SWT, semua usaha untuk bangkit kembali akan dipermudahkan.
Keempat, apabila didatangi ujian, ketahuilah Allah SWT hendak meninggikan darjat mereka yang diuji. Rasul dan Nabi adalah antara yang paling berat diuji. Rasulullah SAW juga bersabda, seberat-berat ujian adalah kepada Nabi. Dan setiap ujian itu berdasarkan kepada tahap keimanan seseorang. Manusia itu lahir dengan nama ‘Abdullah’ di sisi Allah dan nama-nama lain yang dinamakan kepada kita, tetapi apabila mati kita akan digelar dengan nama-nama yang baik seperti Saifullah, namun tidak kurang juga yang dinamakan nama yang tidak baik di sisi Allah bergantung kepada amalan kita di dunia dan cara kita menghadapi ujian yang menimpa.
Ujian penghapus dosa
Kelima, ujian itu datang kepada kita sebagai penghapusan dosa. Dalam mengharungi kehidupan ini adakalanya kita berbuat sesuatu kesalahan dan dosa, baik yang tidak kita sedari mahupun yang disengajakan dan kadangkala kita tidak memohon ampun kepada Allah SWT.
Mungkin dalam mencari rezeki, ada terambil harta yang tidak jelas sumbernya dan jalan perbelanjaannya. Maka ujian diturunkan bagi menyucikan seseorang itu daripada dosa dan kesalahannya dengan kesabaran dan kepayahan yang datang daripada ujian itu.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiada seorang Mukmin yang rasa sakit, kelelahan (kepayahan), diserang penyakit atau kesedihan (kesusahan) sampai duri yang menusuk (tubuhnya) kecuali dengan itu Allah menghapus dosa-dosanya” (Hadis riwayat Bukhari).
Sesungguhnya pengampunan Allah itu sangat besar dan ketika dilanda ujianlah kita akan banyak mengingati Allah dan mengharapkan pengampunan dengan sebenar-benarnya. Ini adalah keutamaan yang besar daripada Allah SWT kerana dengan ujian yang dideritai seorang Muslim, dosa yang pernah dilakukannya terhapus kerana penderitaannya menjadi kifarah (penebus) dosanya. Jadi dengan bersabar dan reda akan membawa kepada ketenangan.
Keenam adalah mengenai bagaimana seharusnya melihat ujian yang melanda, iaitu dengan mengetahui Allah hendak memberi pahala percuma kepada mereka yang ditimpa ujian.
Di dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa dikehendaki oleh Allah kebaikan baginya, maka dia (diuji) dengan suatu musibah. “(Hadis riwayat Bukhari). Hal ini kerana di dalam syurga ada darjat tertentu yang harus dicapai, apabila seorang Muslim tidak mampu mencapainya dengan suatu amal, maka dia pasti dapat memperoleh darjat itu dengan musibah atau penyakit yang dideritai.
Selain itu adakalanya ibadah yang kita laksanakan mungkin kurang sempurna justeru pahala sabar ujian itu akan membantu menyelamatkan kita di akhirat nanti.
Pahala percuma
Pahala percuma juga bukan sahaja diperoleh mereka yang menghadapi ujian, malah akan turut dikurniakan kepada kepada mereka yang memberikan bantuan kepada mangsa bencana. Mereka yang membantu hamba Allah yang sedang dalam ujian itu perlu menyedari bahawa Allah SWT yang memberikan kesempatan dan menggerakkan hati untuk melakukan kebaikan. Maka sebutlah Alhamdulillah selepas memberi bantuan kerana semua kudrat dan bantuan itu adalah rezeki dengan izin-Nya.
Perkara terakhir dalam perkongsian kali ini adalah; ada kalanya walaupun ujian itu memang dilihat seperti bala, tetapi itu bukan perkara utama. Renungilah ujian itu sebagai tanda masa untuk kita bermuhasabah diri dan memperbetulkan diri. Tidak semua ujian itu bala. Berhati-hatilah agar tidak menjatuhkan hukuman kerana kita tidak layak untuk mengukur bahawa setiap ujian itu bala.
Sebaliknya, berbanyak syukur atas setiap ujian, kerana Allah itu Maha Mengetahui lagi Maha Pengasih terhadap hamba-Nya dan pasti akan memberikan hanya yang terbaik untuk setiap makhluk ciptaan-Nya di dunia dan akhirat.
https://epondok.wordpress.com/2015/01/26/7-keadaan-hadapi-musibah/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan