Ahad, 24 Mac 2019

BAB SOLAT DARI HIKAM IBN ATHO'ILLAH : KALAM KE SERATUS DUA PULUH LIMA (125) : SEMPURNAKAN SOLAT

لَيَكُوْنُ هَمُّكَ إقَامَةَ الصَّلاَةِ لاَ وُجُوْدَ الصَّلَاةِ
Hendaklah engkau memberikan sepenuh perhatian mu pada menyempurnakan solat bukan sekadar menunaikannya sahaja.

Kalam - kalam terdahulu membicarakan tentang hikmah mengapa Allah mempelbagaikan jenis ketaatan dan menetapkan waktu- waktu untuknya, iaitu agar para hambaNya melaksanakannya dengan penuh tekun dan rajin tanpa jemu.
Ia juga agar mereka dapat mengambil rehat secukupnya dan menimbulkan kerinduan kepadanya. Ibadah yang dilakukan dengan penuh cinta dan rindu itulah ibadah seorang hamba yang sebenar.

Ibadah yang disulami dengan perasaan cinta dan rindu adalah ibadah yang mampu mengetuk pintu langit dan menguak rahsia alam yang tinggi.
Sesungguhnya solat adalah penyucian dan penyaksian jika disertai dengan khusyuk, tazallul(merasakan kehinaan diri), hudhurul qalbi (kehadiran hati bersama ucapan dan perbuatan) dan lain-lain.

Ia adalah penyucian jika dilakukan dengan penuh khusyuk yakni dengan memelihara adab-adab zahir dan batin sebelum, semasa dan selepas menunaikannya.
Solat yang khusyuk itu bermula dari wudhuk yang benar, dalam hal ini Rasulullah s.a.w bersabda :
وعن عثمانَ بن عفانَ  قَالَ: قَالَ رسولُ اللَّهِ ﷺ: منْ تَوَضَّأَ فَأَحْسَنَ الوضوءَ، خَرَجَت خَطَايَاهُ مِنْ جسَدِهِ حتَّى تَخْرُجَ مِنْ تحتِ أَظفارِهِ رواه مسلم
Saidina Usman Bin Affan r.a meriwayatkan : sabda Rasulullah s.a.w : Barang siapa berwudhu lalu dia menyempurnakannya maka tertanggal lah kesalahannya dari anggota tubuhnya sehingga apa yang ada di bawah kuku jari jemarinya.

Wudhu yang benar itu bukan sekadar membasuh dan menyapu anggota-anggota tertentu bahkan jauh lebih dari itu ia membawa maksud penyaksian kepada Allah. Sebagaimana penyaksian itu terkandung di dalam dua kalimah syahadah yang mengandungi nafi dan isbat maka begitu juga dengan perbuatan wudhu.

Anggota wudhu ialah muka, mulut, hidung, telinga, kepala, kedua tangan dan kedua kaki. Anggota-anggota ini adalah penzahiran sifat-sifat seperti Sama' Basar, Kalam, Hayat, Ilmu, Iradat dan Qudrat.
Maka apabila anggota - anggota ini dibasuh dan disapu dengan air mutlak maka ia membawa makna menafikan sifat-sifat tersebut dari pemilikan seorang hamba dan mengisbatkannya kepada Allah.

Manakala air mutlak pula ialah kiasan cahaya tauhid yang tanpanya seorang hamba itu tiada akan dapat menyaksikan penafian sifat itu daripada hamba dan pengisbatannya kepada Tuhannya.

Apabila telah benar sifat-sifat tersebut dinafikan daripada seorang hamba sehingga terlihat olehnya akan hakikat itu maka dari sifat-sifat itu yang dibersihkan anggotanya terzahir Akhlak Muhammadiyyah seperti pengasih, pemaaf, pemurah, rendah diri dan sebagainya.

Wajah yang sentiasa menguntum senyuman, mata yang prihatin, telinga yang setia mendengar, mulut yang tidak menyakiti orang, tangan yang ringan membantu dan menolong orang, kepala yang memikirkan kebahagiaan umat dan kaki yang gagah melangkah ke medan jihad mempertahankan agama.
Demikianlah serba sedikit dari rahsia لا اله الا الله محمد رسول الله Pada wudhu yang dapat dinyatakan.

Setelah itu didirikan solat iaitu ibu kepada segala ibadah dan simbolnya yang paling utama.
Oleh kerana itulah ia menjadi pembeza antara Muslim dan Kafir seperti yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w :
 بين الرجل وبين الكفرو الشرك ترك الصلاة. خرجه الإمام مسلم في صحيحه
Perbezaan antara seorang lelaki dengan kekufuran dan kesyirikan ialah meninggalkan solat.

Syeikh berpesan agar kita menumpukan sepenuh perhatian kita pada menyempurnakan solat bukan sekadar menunaikannya sahaja kerana ia bukan sekadar pergerakan jasmani tetapi yang lebih penting adalah pergerakan hati dari lalai kepada ingat, dari ingat kepada merasai kehadiran hati dan seterusnya kepada hilang ingatan melainkan hanya kepada Allah (syuhud).
Apa yang menjadi penilaian Allah ialah hati dan nilai solat itu adalah berdasarkan sejauh mana ia ingat kepada Allah.
 ليس للمرء من صلاته إلا ما عَقَل منها

Maksudnya : Tiada bahagian seseorang dari solatnya melainkan sekadar mana yang diingatinya."

Berkata Imam Al Qushairi r.ah mengenai maksud mendirikan solat dengan sempurna (إقامة الصلاة) :
هو القيام بأركانها وسننها ثم الغيبة عن شهودها برؤية من يصلى له فتحفظ عليه أحكام الأمر بما يجري عليه منه وهو عن ملاحظتها محو، فنفوسهم مستقبلية إلى القبلة، وقلوبهم مستقرة في حقائق الوصلة.

Iaitu menunaikan dengan sempurna rukun dan sunat-sunat solat, kemudian tiada memandang ia adalah dari kekuatan dan keupayaan dirinya bahkan semata-mata anugerah Tuhannya. Zahirnya melaksanakan perintah Nya manakala batinnya hanya memandang DiriNya, dada mereka menghadap ke arah kiblat hati mereka tetap berhubung dengan Nya.

Perihal pentingnya solat pernah suatu ketika Khalifah Umar bin Abdul Aziz menulis surat kepada kakitangannya mengingatkan mereka akan kepentingannya, tulis beliau :
إن أهم أموركم عندي الصلاة، فمن حفظها وحافظ عليها فهو لما سواها أحفظ ومن ضيعها فهو لما سواها أضيع.
Sesungguhnya urusan kamu yang paling penting di sisi ku ialah solat, maka sesiapa yang melaksanakan dan memeliharanya maka dia akan lebih memelihara amanah yang lain dan sesiapa yang mensia-siakannya maka urusan lain akan lebih disia-siakannya.
والله ورسوله أعلم بالصواب

Tiada ulasan:

Catat Ulasan