Selasa, 24 September 2013

Hukum Berzikir Sambil Berdiri

SOALAN. Akhir-akhir ini heboh diperkatakan berhubung dengan wujudnya aktiviti berzikir sambil berdiri dengan menari dan menyanyi. Adakah ini dibenarkan?

JAWAPAN. Memang benar di kalangan ahli sufi terdapat apa yang dipanggil nyanyian (al-Sima’) dan tarian (al-Raqsu) cuma ianya tidak sama dengan nyanyian dan tarian yang difahami pada masa ini. Al-Sima’ di kalangan ahli tasawwuf merupakan aktiviti riadhah kerohanian yang diamalkan oleh para murid bagi tujuan penyucian dan pembersihan jiwa sejak zaman berzaman. Perkara ini dinyatakan dengan jelas dalam kitab berjudul al-Raqsu wal Ghina’ wal Sima’ inda Turuq al-Suffiyyah yang dikarang oleh al-Sheikh Al-Sayyid ibn Idris bin al-Sayyid al-Hassan al-Idrisi yang diterjemahkan dan dicetak oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan dengan judul “Tarian, Nyanyian dan al-Sima’ dalam Tariqat Tasawwuf”. Justeru rencana ini akan banyak memetik pandangan yang dikemukakan dalam kitab di atas. Kepada pembaca yang ingin mendalami dengan lebih terperinci bolehlah merujuk kepada kitab berkenaan.

SOALAN. Apakah yang dikatakan Al-Sima’ atau al-Raqsu itu?

JAWAPAN. Al-Sima’ dan al-Raqsu atau ada ketikanya dipanggil juga sebagai “al-Hadrah” di kalangan para murid adalah seumpama riadhah bagi memberi kerehatan kepada orang awam. Jika orang awam berhibur dengan cara mereka, maka para Ṣūfī berhibur dengan cara berzikir, berqasidah memuji nabi sambil menyanyi, menari secara berkumpulan. Ianya buka suatu yang wajib dalam mana-mana tarekat, tetapi hanya bagi murid yang ingin “berehat” seketika setelah penat berzikir atau beramal seperti kelaziman. Guru kami yang mulia Sheikh Nuh pernah mengungkapkan bahawa jika ada murid yang merasa ragu berhubung dengan “keharusan” (mubah) aktiviti “al-Hadrah” ini, maka mereka tidak perlu mengikutnya. Tetapi bagi mereka yang pernah mengikutnya, pasti mereka akan merasakan peningkatan kerohanian (spiritual upliftment) ketika melakukannya. Al-Sima’ merupakan istilah tasawwuf yang digunakan bagi merujuk kepada mendengar syair-syair yang indah dan merdu yang mengagungkan Allah SWT dan junjungan Baginda SAW. Pada asalnya ianya didendangkan oleh seorang penasyid utama (qauwal), manakala yang lain mendengarnya atau mengikutinya. Kini ianya berkembang dan berubah di mana ahli majlis akan berdiri dengan barisan hadapan sekali bertindak sebagai penasyid utama yang menentukan syair dan rentak qasidah, manakala yang lain mengikutnya.

SOALAN. Apakah sandaran atau nas ahli Ṣūfī dalam melakukannya?

jAWAPAN. Pertama, kita lihat dahulu apakah hukum nyanyian? Nyanyian seperti yang difahami hari ini dengan keadaan bercampur lelaki perempuan, senikata yang memuji memuja wanita, sememangnya kebanyakan para fuqaha’ menentang dan menghukum haram atau sekurangnya makruh. Namun nyanyian Ṣūfī bukan sebegitu. Jika nyanyian tanpa ada unsur-unsur melalaikan (lagha) seperti di atas para fuqaha menghukumnya harus. Akan tetapi, sekiranya nyanyian itu bertujuan untuk merangsang kerinduan kepada alam Akhirat dan keghairahan kepada keredhaan Allah SWT dan kecintaan kepada Baginda SAW, ianya digalakkan. Suara yang merdu merupakan anugerah Allah dan Baginda SAW sendiri memerintahkan agar bacaan al-Qur’an dibacakan dengan suara yang elok sepertimana mafhum hadith “Elokkanlah bacaan al-Qur’an dengan suara kamu. Sesungguhnya, suara kamu yang elok akan menambahkan kecintaan al-Qur’an” [Musnad al-Darimi].

Kedua, Begitu juga Sayyidatina Aisyah r.a., Anas bin Malik, dan Abu Hurayrah meriwayatkan bahawa pernah satu ketika pernah sekumpulan sahabat Ethopia berkumpul dan menyanyi dalam Masjid Nabawi dengan cara nyanyian dan tarian yang diamalkan oleh mereka. Ini diterangkan dengan lebih terperinci melalui hadith Abu Hurayrah r.a. di mana diriwayatkan: “Apabila orang ramai berkumpul di Masjid), sahabat Rasulullah SAW dari kalangan orang Afrika mula meluahkan kegembiraan mereka dengan tarian bangsa mereka diiringi oleh gendang (duff) di perkarangan Masjid Nabawi (berhampiran denga pintu sebelah kanan menuju ke rumah Baginda SAW). Apabila orang ramai bersorak riang dan gembira melihat persembahan itu, kanak-kanak Madinah berkumpul membentuk bulatan besar mengelilingi mereka yang membuat persembahan dan memuji-muji Baginda SAW. Baginda SAW berdiri dan melihat mereka membuat persembahan sambil tersenyum. Mereka secara berimama mengungkapkan sesuatu dalam bahasa mereka dengan diiringi ketukan gendang sehingga membuatkan Baginda SAW bertanya: “apa yang mereka katakan? Lalu mereka menjawab dalam bahasa Arab “Muhammad Abdun Salih” (Muhammad hamba yang Soleh).

Sayyidatina Aisyah r.a. pula yang pada ketika itu berada dalam rumahnya meriwayatkan bahawa ketika peristiwa ini berlaku beliau tiba-tiba mendengar Baginda SAW memaanggil namanya “Wahai Aisyah, keluar segera”. Aisyah berkata Baginda SAW tersenyum melihat persembahan itu dan bertanya samada aku ingin turut serta, dan aku menjawab, “Ya”. Baginda kemudiannya membawa Aisyah ke tempat orang ramai dan meletakkan beliau di atas belakangnya bagi memberi peluang Aisyah melihat dengan lebih jelas. Dan Aisyah masih ingat bagaimana pipinya menyentuh pipi Baginda SAW apabila beliau membongkokkan untuk melihat persembahan tarian itu. Aisyah berkata “ Aku membongkokkan kepala dan bahuku sehingga pipiku bertemu pipi Baginda SAW dan aku melihat di celah-celah telinga dan bahu Baginda SAW. Apabila berlalu masa, Baginda SAW bertanya adakah aku sudah puas dan mahu pergi, lalu aku menjawab belum dan mahu terus menontonnya dan Baginda SAW membenarkannya. Selepas berlalu seketika, Baginda bertanya lagi adakah aku sudah puas, dan aku menjawab Ya. Aisyah berkata pada ketika itu aku hanya seorang perempuan muda dan sudah tentu suka menonton persembahan seperti ini.

Kemudiannya Anas ibn Malik meriwayatkan selepas itu Umar al-Khattab muncul dan apabila beliau melihat ada tarian dan nyanyian dalam Masjid Nabawi, beliau lantas mengambil batu-batu kecil dan membalingkannya ke arah penari agar mereka berhenti. Apabila Baginda SAW perasan bantahan Umar r.a., Baginda SAW berkata kepada Umar: Biarkan mereka wahai Umar!. Biar mereka bergembira dan aku tidak suka melihat wujudnya kemujudan dalam agama ini. Dalam riwayat yang lain, Baginda SAW dilaporkan berkata kepada penari dan penyanyi Afrika itu dengan kata-kata “Teruskan dengan duff dan tarian kamu Wahai Bani Arfidah! Agar kaum Yahudi dan Kristian mengetahui bahawa ada kelonggaran dalam agama kita”.

Peristiwa ini diriwayatkan dalam banyak kitab-kitab hadith termasuk Sahih Bukhari, Muslim, Hakim dan lain-lain. Para ulama Hadith, Fuqaha dan ulama Ṣūfī telah mensyarahkan dengan panjang lebar dari peristiwa ini dan sejumlah hukum telah diperolehi yang akan kita bincangkan di keluaran yang akan datang, insya Allah. Wa ma tawfiqi illa billah. Wallahu’alam.

[Tulisan ini karya asal untuk Majalah Q&A terbitan Galeri Ilmu Sdn.Bhd]

http://pondokhabib.wordpress.com/2013/09/22/qa-20-hukum-berzikir-sambil-berdiri/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan