Rabu, 28 Januari 2015

TANDA AMAL DITERIMA

Hiasan semata
1. Setiap daripada kita ingin agar segala amalan yang dilakukan diterima oleh Allah SWT. Bagi yang menunaikan fardhu haji, mereka ingin hajinya adalah haji mabrur dan diterima oleh Allah SWT. Bagi yang melakukan ibadah korban juga baru-baru ini mengharapkan agar korban dan pengorbanannya diterima oleh Allah SWT. Amalan dan ibadah harian yang kita lakukan saban hari, sudah pasti kita ingin agar Allah SWT menerimanya. Tiada gunanya amalan jika tidak diterima olehNya. Kerana amal ibadah kita memang semata-mata untukNya.

2. Kita disuruh untuk beribadah dan mengabdikan diri kepada Allah Azza wa Jalla. Kita juga disuruh untuk memastikan ibadah dan amalan yang kita kerjakan adalah dalam bentuk yang paling sempurna, iaitu cukup rukun dan syarat-syaratnya. Pada waktu ini, baharulah kita boleh mengharapkan segala amalan kita diterima. Fudhail bin ‘Iyadh (187H) pernah menyatakan bahawa Allah SWT tidak akan menerima sesuatu amalan melainkan yang paling ikhlas dan tepat. Adapun yang paling ikhlas adalah yang dilakukan semata-mata kerana Allah, manakala yang paling tepat adalah yang menepati sunnah. 
Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 27 bermaksud:
Sesungguhnya yang Allah terima hanyalah daripada orang-orang yang bertakwa.

3. Taqwa menjadi syarat penerimaan sesuatu amalan. Tanpa taqwa amalan kita tidak akan diterima oleh Allah SWT. Al-Razi (606H) di dalam tafsirnya menyebut tentang ayat ini:
Sesungguhnya wujudnya taqwa merupakan syarat dalam penerimaan amalan. (Fakhruddin al-Razi, al-Tafsir al-Kabir)

4. Cuma kita tidak tahu secara pasti adakah amalan dan ibadah kita diterima oleh Allah SWT atau tidak? Ia bukan seperti berurusan dengan mana-mana kaunter serahan borang atau dokumen yang kita akan tahu ia telah diterima dengan cop yang jelas tertulis ‘received’. Bukan juga seperti membuat pembayaran bil yang kita akan dapat resit pembayaran sebagai bukti ia telah diterima. Walaupun demikian kita tetap akan merasa hampa jika segala dokumen dan pembayaran kita ditolak dengan cop yang tertulis ‘refused and rejected’ kerana tidak lengkap atau tidak cukup syarat. Biasanya kita terus akan bertanya untuk mendapatkan kepastian dan dengan segera mengambil langkah pembetulan serta merta. Ini tindakan kita dalam urusan sesama manusia, bagaimana pula dengan amal ibadah kita, adakah sepantas dan secepat itu tindakan kita untuk memastikan ia diterima oleh Allah SWT?, Sedangkan tiada sebarang ‘cop’ atau ‘resit’ yang kita dapat sebagai bukti penerimaan.

5. Namun demikian, kita tetap boleh mengetahui amalan kita diterima oleh Allah Azza wa Jalla dengan beberapa tanda. Jika tanda-tanda ini wujud ia menandakan yang amalan dan ibadah kita diterima olehNya, maka bergembiralah seseorang hamba dengannya. Di antaranya sebagaimana yang disebut oleh sebahagian para ulama’:

Ketaatan bertambah

6. Di antara tanda-tanda amalan diterima ialah ketaatan dan amalan kebajikannya semakin bertambah. Tidak cukup dengan ibadah yang lama, tetapi terus melakukan ibadah dan sentiasa dalam ketaatan. Hasan al-Basri (110H) menyatakan:
Sesungguhnya di antara balasan kebaikan adalah kebaikan selepasnya, dan di antara balasan kejahatan adalah kejahatan selepasnya. Apabila Allah menerima hambaNya, maka Dia akan memandunya kepada ketaatan dan menjauhkannya daripada maksiat.

Berterusan dalam taat

7. Jika kita sentiasa dan berterusan melakukan ketaatan kepada Allah SWT, maka hasilnya cukup besar dan menguntungkan. Ibn Kathir (774H) berkata:
Allah SWT dengan kemurahanNya akan menjadikan bagi sesiapa yang biasa hidup dengan sesuatu perkara maka dia akan mati dalam perkara tersebut, dan sesiapa yang mati dalam suatu keadaan maka dia akan dibangkitkan dalam keadaan tersebut pada hari kiamat. (Ibn Kathir, Tafsir al-Qur'an al-'Azim)

8. Oleh itu, bagi yang berterusan dalam keadaan taat kepada Allah SWT, maka Allah SWT enggan untuk menjadikan matinya dalam maksiat. Diriwayatkan daripada Ibn Abbas bahawa terdapat seorang lelaki yang menunaikan ibadah haji bersama dengan nabi SAW, lalu terjatuh daripada untanya ketika wukuf di Arafah dan meninggal dunia. Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
Kafankanlah dengan kedua-dua pakaiannya (kain ihram), jangan gunakan wangian dan jangan kamu tutup kepalanya, sesungguhnya dia akan dibangkitkan pada hari kiamat kelak dalam keadaan bertalbiah. (Riwayat al-Bukhari)

Tidak mengulangi dosa

9. Jika seseorang benci kepada dosa dan tidak mahu mengulanginya, maka ia merupakan tanda amalannya diterima. Apabila mengenang dosa-dosanya hatinya akan merasa sedih dan menyesal. Perasaannya menjadi tidak menentu mengingatkan azab Allah Azza wa Jalla yang sangat pedih. Jiwanya merintih memohon rahmat dan keampunan daripada Rabb al-Izzah. Berazam dan berjanji untuk tidak melakukannya buat kali yang kedua. Ibn al-Qaiyyim (751H) menyatakan:
Adapun jika seseorang mengingat dosa-dosanya tetapi tetap bergembira dan masih berseronok maka tidak diterima (amalannya) walaupun dia menantinya selama empat puluh tahun. (Ibn al-Qaiyim, Madarij al-Salikin)

10. Maka kita perlu memastikan yang zahir kita selari dengan yang batin. Jangan sampai lidahnya mefazakan istighfar tetapi hatinya masih keras tidak insaf, dan anggota badannya pula tetap kekal melakukan dosa dan maksiat. Keazaman untuk tidak kembali melakukan maksiat perlu direalisasikan oleh tindakan. Jika masih mengulangi dosa dan maksiat, ertinya keazamannya kosong dan bohong. Maka pada waktu ini, amal ibadahnya belum tentu diterima oleh Allah SWT.  

Hati yang bersih
11. Di antara tanda-tanda amalan diterima juga ialah hati yang bersih daripada sebarang penyakit dan suci daripada sebarang kekotoran. Hati dan jiwa ini kembali kepada kecintaan kepada Allah Azza wa Jalla yang melebihkan keredhaanNya daripada keredhaan selain daripadaNya. Selepas itu kecintaan kepada nabi SAW dengan melakukan segala sunnahnya. Kemudian baharulah kepada makhluk daripada keluarga, harta, tempat tinggal dan perniagaan. Firman Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 24 yang bermaksud:

Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya), kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.

12. Jika dia mengasihi sesama hamba Allah maka kasihnya adalah kerana Allah SWT. Seterusnya akan meninggalkan segala bentuk hasad dengki. Yakin dan percaya bahawa segala-galanya adalah milik Allah, lantas hatinya menjadi tenang dan redha terhadap segala ketentuan qadha’ dan qadarNya.

13. Kesimpulannya, memastikan setiap amalan dan ibadah kita diterima oleh Allah SWT adalah sangat penting. Pastikan kita tidak melakukan suatu amalan sambil lewa, sebaliknya hendaklah memerhatikan tanda-tanda penerimaan amal agar kita tidak menyesal kemudian.

http://hjanhar.blogspot.com/2011/11/tanda-amal-diterima_13.html

Anhar Opir

Tiada ulasan:

Catat Ulasan