Iwan Syahman |
"Marilah kita bersama-sama kembali kepada Allah, kembali kepada fitrah, inilah yang lebih baik. Kalau nak menyanyi tu menyanyilah lagu-lagu yang boleh memberikan manfaat kepada kita dan kepada peminat-peminat kita," katanya ketika ditemui Harakahdaily di sini, malam tadi.
Menurut
beliau, perubahannya berpunca dari banyak sebab dan beliau bersyukur kepada
Allah kerana telah memberikan kesempatan kepadanya untuk berfikir supaya
berubah.
"Tapi yang pentingnya bagi saya, saya bersyukur dalam keadaan saya sekarang yang lebih tenang dan lebih suka untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah SWT," katanya. Iwan yang mula kelihatan berubah sejak 5 tahun lalu berkeupayaan memperlihatkan perubahan yang ketara pada diri dan kehidupannya sejak 2 tahun lalu dan beliau bersyukur kepada Allah kerana diberikan sokongan padu oleh para peminatnya. Beliau yang kini lebih suka menyanyikan lagu-lagu yang berkonsepkan nasyid turut menghasilkan sebuah album seperti itu yang diberi judul Segalanya Allah.
"Alhamdulillah, saya lebih senang menyanyikan lagu-lagu seperti ini. Saya tak segan-segan untuk menyanyikan lagu-lagu ini," jelas beliau ketika ditemui sempena kunjungannya ke Markas PAS Taman Melewar, di sini, malam tadi bagi mengadakan persembahan pada program Rapat Rakyat anjuran PAS Kawasan Batu. Kepada peminat-peminatnya, beliau tidak lupa mengucapkan ribuan terima kasih kerana memberian sokongan yang padu terhadap album tersebut.
'Doakan saya untuk saya selalu beristiqamah dengan lagu-lagu macam ini untuk anda semua. Harapan saya dengan lagu-lagu macam ini juga dapat mendorong masyarakat untuk mendekatkan diri kepada Allah. Tujuan saya supaya apabila lagu-lagu ini sampai ke telinga orang, khususnya peminat-peminat saya yang masih tenggelam dalam arus dunia seperti saya dulu, kita sama-sama melakukan perubahan yang lebih baik ke arah mendekatkan diri kepada Allah SWT," ujarnya.
Album
Segalanya Allah mengandungi 10 buah lagu. Kesemua lagu dan liriknya dicipta
oleh Iwan sendiri. Album tersebut telah berada di pasaran sejak 2 bulan lalu.
Menerusi kemunculan album terbarunya itu, beliau yang sebelum ini hanya
dikenali dengan Iwan turut melakukan perubahan terhadap namanya dengan
menamakan dirinya sebagai Iwan Syahman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan