Soalan:
Individu merupakan jemaah masbuk,
katakan individu mengikut imam pada rakaat ke-2 dan tidak dapat menghabiskan
bacaan al-fatihah, individu tersebut tidak perlu menghabiskan bacaan tersebut
dan perlu rukuk mengikut imam, yang saya ingin dapat kepastian adalah pada
rakaat ke-3, sekiranya makmum tersebut masih tidak dapat menghabiskan surah
Al-Fatihah dan imam telah rukuk, perlukah makmum tersebut menghabiskan
bacaannya kemudian rukuk mengikut imam tetapi jika makmum tidak sempat rukuk
bersama imam adakah rakaat tersebut dikira atau masih perlu dilakukan sama
seperti rakaat ke-2?
Jawapan:
Bismillah, walhamdulillah, wassolatu
‘ala Rasulillah. Jika kita tiba ketika imam telah rukuk, terus sahaja bertakbir
masuk ke dalam solat (takbiratul ihram), kemudian takbir sekali lagi dan rukuk
bersama imam. Ketika ini, gugur al-Fatihah dari kita dan ia ditanggung oleh
imam.
1.
Jika kita
tiba ketika imam hampir rukuk, terus bertakbir masuk ke dalam solat, baca
al-Fatihah setakat yang sempat, apabila imam rukuk kita turut rukuk bersama
imam, tidak perlu kita menghabiskan fatihah kita kerana baki fatihah kita itu
ditanggung oleh imam.
2.
Jika kita
mengikuti imam dari awal solat, wajib dalam apa keadaan sekalipun kita
menghabiskan bacaan al-Fatihah kita. Sekalipun imam telah rukuk, kita wajib
menyudahkan bacaan al-Fatihah, kemudian baru rukuk bersama imam. Jika ada
keuzuran (iaitu lambat dalam bacaan) diberi kelonggaran kepada kita hingga tiga
rukun panjang (iaitu sehingga sebelum imam bangkit dari sujud kedua).[1] Jika
kita sempat sujud sebelum imam bangkit dari sujud keduanya, kita masih dikira
mendapat rakaat tersebut bersama imam. Jika tidak sempat, kita dikira telah
luput rakaat tersebut bersama imam, maka tidak perlu lagi kita rukuk, akan
tetapi terus duduk tahiyyat bersama imam (jika dia duduk tahiyyat) atau tunggu
sahaja imam naik ke rakaat berikutnya (jika tidak ada tahiyyat oleh imam) dan
mengikuti imam hingga selesai solatnya, apabila imam memberi salam, kita bangun
menambah rakaat yang ketinggalan dari imam tadi.
3.
Itu adalah
mengikut mazhab Syafiie yang berpandangan; makmum wajib membaca al-Fatihah
ketika solat berjamaah (sebagaimana imam wajib membacanya) kecuali dalam kes
makmum masbuq (iaitu kes 1 dan 2 di atas) di mana bacaan al-Fatihahnya ditanggung
oleh imamnya bagi dua kes tersebut. Menurut mazhab-mazhab lain (Hanafi, Maliki
dan Hanbali); ketika solat berjamaah, makmum tidak wajib membaca al-Fatihah
(hanya disunatkan sahaja). Telah memadai bacaan imam untuknya atau dalam
pengertian yang lain; imam menanggung bacaan al-Fatihah untuknya, jadi tidak
wajib lagi atasnya. Maka menurut pandangan kedua ini, dalam apa keadaan
sekalipun, apabila imam rukuk, makmum hendaklah terus rukuk bersama imamnya.
Tidak perlu makmum menghabiskan bacaan al-Fatihah (sama ada ia mengikuti imam
dari awal atau ketika imam telah rukuk atau hampir rukuk) kerana telah
ditampung oleh bacaan imamnya.
Rujukan;
1. al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 33/52 (perkataan; “Qira-ah”).
2. al-Mugni, Imam Ibnu Qudamah, 1/394.
3. al-Fiqh al-Manhaji, 1/81.
4. 60 Hadis Sifat Solat Nabi, Us. Ahmad Adnan Fadzil.
5. Soal Jawab Agama bersama Penasihat Akademik MaDaF Us. Ahmad Adnan Fadzil.
1. al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 33/52 (perkataan; “Qira-ah”).
2. al-Mugni, Imam Ibnu Qudamah, 1/394.
3. al-Fiqh al-Manhaji, 1/81.
4. 60 Hadis Sifat Solat Nabi, Us. Ahmad Adnan Fadzil.
5. Soal Jawab Agama bersama Penasihat Akademik MaDaF Us. Ahmad Adnan Fadzil.
Wallahu a’lam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan