Khamis, 11 Mei 2017

DOA SENJATA MUKMIN

Muhammad Dzahir: Tazkirah Harian

Manusia dilahirkan di dunia ini dibekalkan dengan fitrah. Di samping itu, manusia juga membawa nafsu dan keinginan yang mewarnai corak kehidupannya. Namun, manusia tidak dibiarkan begitu sahaja. Allah SWT yang Maha Pemurah tetap membimbing manusia dengan wahyu-NYA dan dikurniakan akal kepada manusia agar segala godaan hawa nafsu jahat,di samping pengaruh syaitan yang keji dapat dihadapi. Lalu, manusia mencapai tahap taqwa dan kebersihan hati.

Hakikatnya, tidak semua manusia mendapat hidayah dan menerima bimbingan Allah. Tidak semua manusia mengetahui cara terbaik untuk mendekatkan diri kepada Allah yang Maha Agung. Justeru, ramai yang tersesat ke lembah kebodohan dan kenistaan hidup yang berpanjangan serta jiwa yang keluh kesah.

Sesungguhnya keteguhan dan ketenangan jiwa itu dapat dicapai dengan aqidah yang kukuh, solat, zikir, doa, istighfar dan ibadah-ibadah yang dianjurkan Àllah SWT kepada para hamba-NYA.
Maka, marilah beramal dengan anjuran Islam yang sebenar, iaitu amalan yang diajar oleh Rasulullah SAW. Orang mukmin yang sejati tidak akan membuang masa,bahkan setiap detiknya akan diisi dengan pelbagai amalan dan ibadah yang dapat mendekatkan dirinya kepada Allah SWT. Bibirnya sentiasa basah dengan tahmid, takbir,dan tasbih kepada Rabbnya yang Maha Mulia,kemudian dia berdoa mengharapkan keredaan-NYA.Tiada suatupun yang lebih bererti dalam kehidupan seorang insan melainkan mendapat keredaan Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda"Doa adalah senjata orang mukmin."Dalam kesempatan lain,Baginda bersabda,"Doa adalah inti ibadah."

Doa adalah bukti keyakinan pada eksistensi, kekuasaan dan ke-Maha Pemurah-an Allah SWT.Kerananya kehidupan seorang mukmin tidak pernah sepi daripada doa dan zikir. Bahkan dalam suasana perang pun, doa dan zikir tetap dilantunkan.

Melalui doa dan zikir, seseorang mukmin mampu mendapatkan cinta Rabbnya, terhindar daripada pelbagai gangguan jahat, dan imannya semakin kuat. Dengan doa dan zikir, hati akan menjadi hidup, tenang dan bahagia. Jika demikian.....
Masihkah ada keraguan untuk memperbanyakkan doa dan zikir? 
Jom mulakan sekarang...pagi dan petang !


Tiada ulasan:

Catat Ulasan