Jabatan
Usuluddin-Fakulti
Pengajian Kontemporari Islam.
UniSZA. -Pada-Program
Bicara Sufi @ Balai Kediaman Rasmi YTM Undang Luak Johol,
PENDAHULUAN
Zikir
adalah satu amalan yang disyariatkan dalam Islam. Perintah supaya melaksanakan
zikir ditemui dalam banyak ayat-ayat al-Qur’an dan juga hadis Nabi s.a.w. Ia
adalah satu amalan yang disuruh supaya diperbanyakkan tanpa ada halangan dan
keterikatan dengan syarat-syarat tertentu untuk diamalkan sebagaimana
ibadah-ibadah lain seperti solat, puasa dan sebagainya. Ia adalah rahsia dan
penghubung secara langsung antara hamba dengan Tuhannya. Setiap mukmin yang
mengingati Allah pasti akan diingati olehNya.
Ternyata
bahawa amalan zikir bukan hanya sekadar ibadah, tetapi juga merupakan amalan
yang boleh membersihkan dan menyucikan jiwa manusia, mendekatkan diri kepada
penciptanya, membuka hijab rohani dan seterusnya mencapai ma`rifat terhadapNya.
Tulisan ini akan menyentuh tentang beberapa persoalan zikir khususnya mengenai
peranannya dalam menyucikan hati dan membina sakhsiah muslim.
PENGERTIAN
ZIKIR
Zikir
dari segi bahasa bermaksud sebut dan ingat. Dari sudut peristilahan tasawuf
pula, zikir bermaksud terlepas daripada kelalaian dan kelupaan hati dengan
sentiasa merasa hadir hati berserta Allah. [1] Ia bermaksud ingatan dan
kehadiran hati yang kuat lagi berterusan terhadap makna-makna ketuhanan Allah
sehingga terbuang kelalaian daripada hati tersebut. Dikatakan juga bahawa zikir
bermaksud mengulangi sebutan nama Allah dengan hati dan lisan, atau mengulangi
sebutan dan ingatan terhadap sifat, hukum, perbuatan, atau apa saja yang boleh
mendekatkan diri kepada Allah.[2]
Zikir ada
banyak jenis merangkumi tasbih, tahmid, takbir, tahlil, baca al-Qur’an dan
sebagainya, namun yang menjadi intipati dari semua jenis-jenis zikir ini ialah
ingat kepada Allah (dhikrullah). Oleh itu dapat dikatakan bahawa zikir
merangkumi dua perkara iaitu sebutan (zikir lisan) dan ingatan (zikir hati)
terhadap Allah dan perkara yang berkaitan dengannya. Ingatan adalah hakikat
zikir manakala sebutan itu pula adalah laluan untuk mencapai ingatan tersebut.
Tahap ingatan itu pula berbeza-beza sehingga ada yang mencapai tahap lupa kepada
sesuatu yang lain daripada apa yang dizikirkan dan inilah yang dikatakan
hakikat sebenar zikir. Mengenai hakikat zikir ini, al-Kalabadhi menyatakan
bahawa ia adalah melupakan sesuatu yang lain daripada apa yang dizikirkan dalam
zikir tersebut.[3] Dalam hal ini, al-Kalabadhi merujuk kepada firman Allah: Maksudnya:
“dan ingatlah akan Tuhanmu apabila engkau lupa”.[4]
Mengenai
ayat ini beliau mengulas, apabila engkau lupa sesuatu yang lain daripada Allah,
maka sesungguhnya engkau telah mengingati Allah.[5] Ia bermaksud mengingati
Allah yang sebenar-benarnya ialah apabila seseorang itu lupa kepada sesuatu
yang lain daripadaNya.
PERKATAAN
ZIKIR DALAM AL-QUR’AN DAN HADIS
Terdapat
banyak ayat al-Qur’an yang menyebut tentang zikir dengan menyentuh pelbagai
aspek dan kaitan sehingga mencapai jumlah ratusan ayat. Begitu juga dengan
hadis Nabi s.a.w. di mana ditemui banyak hadis yang membicarakan tentang
persoalan zikir.
Penelitian
mendapati, penggunaan perkataan zikir dalam al-Qur’an dan hadis kebanyakkannya
merujuk kepada makna menyebut dan mengingati Allah (dhikrullah) dan perkara
yang berkaitan dengannya merangkumi tasbih, tahlil, takbir, solawat dan
sebagainya. Inilah makna hakiki bagi perkataan zikir. Manakala penggunaan
perkataan zikir dengan makna-makna adalah secara majazi (pinjaman) setelah ada
qarinah (kaitan) tertentu. Ini kerana perkataan zikir merupakan lafaz isytiraq
(dikongsi oleh beberapa makna secara hakiki dan majazi). Mengenai lafaz
isytiraq ini, makna yang diiktibarkan ialah makna hakiki yang biasa digunapakai
bagi lafaz tersebut.[6]Oleh itu makna hakiki bagi perkataan zikir ialah
dhikrullah. Manakala penggunaan perkataan zikir dengan makna yang lain adalah
secara majazi yang memerlukan qarinah (kaitan) tertentu.
Namun
kedapatan juga penggunaan perkataan zikir dalam al-Qur’an dan hadis yang
merujuk kepada beberapa makna lain seperti al-Qur’an, solat jumaat dan ilmu.
Penggunaan perkataan zikir dengan makna al-Qur’an dapat dilihat dalam firman
Allah s.w.t.:Maksudnya: Sesungguhnya Kami (Allah) yang telah menurunkan
al-Qur’an dan sesungguhnya Kami pulalah yang akan menjaganya.[7]
Penggunaan
perkataan zikir dengan makna solat jumaat pula dapat dilihat dalam firman Allah
s.w.t.:Maksudnya: Wahai orang-orang beriman, apabila diseru untuk menunaikan
solat Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah
jual beli, yang demikian itu lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui.[8]
Manakala
penggunaan perkataan zikir dengan makna ilmu dapat dilihat dalam firman Allah
s.w.t.: Maksudnya: Kami tidak mengutuskan Rasul sebelum engkau (Muhammad),
melainkan beberapa orang lelaki yang Kami beri wahyu kepada mereka, maka
tanyakanlah kepada orang-orang yang berilmu, jika kamu tidak mengetahui.
Walau
bagaimanapun, seperti yang telah dijelaskan, penggunaan perkataan zikir dengan
makna yang lain daripada makna dhikrullah adalah secara majazi (pinjaman) yang
memerlukan qarinah (kaitan) seperti perkataan dan keadaan tertentu dan
sebagainya. Oleh itu sangat keliru kenyataan sesetengah golongan yang cuba
menafikan amalan memperbanyakkan zikir lantaran terdapatnya saranan berzikir
yang begitu banyak dalam al-Qur’an dan hadis dengan menyatakan bahawa apa yang
dimaksudkan dengan zikir itu ialah pengetahuan tentang halal dan haram,
bukanlah dhikrullah.
ZIKIR
HASANAH DAN DARAJAH
Dari satu
sudut, zikir terbahagi kepada dua bahagian iaitu zikir hasanah dan zikir
darajah. Zikir hasanah ialah zikir yang dilakukan bertujuan mendapatkan
ganjaran atau pahala di sisi Allah di akhirat nanti. Manakala zikir darajah
pula ialah zikir yang dilakukan bertujuan membersihkan hati dan meningkatkan
tahap kejernihannya, bukan semata-mata bagi mendapatkan pahala. Oleh itu
perbezaan utama di antara zikir hasanah dan zikir darajah adalah terletak pada
tujuan utama zikir itu dilakukan. Zikir hasanah bertujuan mendapatkan ganjaran
pahala daripada Allah di akhirat, dan zikir darajah pula bertujuan menyucikan
rohani serta membuang berbagai hijabnya.
Selain
itu, terdapat beberapa ciri lain yang membezakan di antara kedua-dua jenis
zikir tersebut. Antaranya ialah zikir darajat itu dilaksanakan dengan hemah
(semangat) yang tinggi disertai dengan kesungguhan dan istiqamah serta tumpuan
diberikan kepada menghadirkan makna-makna zikir yang antara caranya ialah
melaksanakan kaifiyyat-kaifiyyat tertentu. Begitu juga cara bagaimana zikir itu
diterima dan diperturunkan. Zikir darajat memerlukan bay`ah, talqin dan irshad
daripada murshid. Manakala zikir hasanah tidak memerlukan semua ini.
Shaykh
`Abd al-Qadir `Isa menamakan zikir hasanah sebagai zikir umum dan zikir darajah
sebagai zikir khusus. Menurut beliau, zikir umum itu ialah zikir ganjaran dan
pahala, iaitu seseorang itu berzikir mengingati Tuhannya dengan apa-apa bentuk
zikir yang dikehendakinya, namun dia masih kekal dalam sifat-sifat kecelaan
dirinya.[9] Manakala zikir khusus pula ialah zikir hudur, iaitu seseorang itu
berzikir mengingati Tuhannya dengan zikir-zikir tertentu dengan sifat
(kaifiyyat) tertentu bertujuan mencapai ma`rifah terhadap Allah, dengan
membersihkan dirinya dari semua sifat kecelaan serta menghiasinya dengan semua
sifat kemuliaan, dan bertujuan melepaskan diri daripada kegelapan kebendaan
serta ingin mendapatkan rahsia-rahsia kerohanian.[10]
KEDUDUKAN
ZIKIR
Zikir
menempati kedudukan yang sangat tinggi di antara amalan-amalan yang
disyariatkan dalam Islam dan ia adalah satu amalan yang agung. Mengenai
keagungan dan ketinggian kedudukan amalan zikir ini Allah s.w.t. berfirman: Maksudnya:
“dan sesungguhnya dhikrullah itu adalah pekerjaan yang sangat agung, dan Allah
mengetahui apa yang kamu lakukan”.[11]
Ketinggian
kedudukan amalan zikir ini dapat dilihat dari banyak sudut. Antaranya ialah
ahli zikir dikira sebagai ahli perdampingan Tuhan sebagaimana yang disebut
dalam beberapa riwayat hadis, antaranya: Maksudnya: Sesungguhnya Allah
berfirman “Aku bersama dengan hamba-Ku selama dia mengingati-Ku dan bergerak
kedua bibirnya dengan (menyebut nama)-Ku”.[12]
Begitu juga hadis:Maksudnya: Allah berfirman “Aku adalah berdasarkan keyakinan hamba-Ku terhadap-Ku, dan Aku bersamanya ketika dia mengingati-Ku”.[13]
Begitu juga hadis:Maksudnya: Allah berfirman “Aku adalah berdasarkan keyakinan hamba-Ku terhadap-Ku, dan Aku bersamanya ketika dia mengingati-Ku”.[13]
Demikian
juga athar yang bermaksud “Ahli zikir itu ialah ahli perdampingan-Ku”.[14]
Antaranya
juga ialah zikir merupakan intipati bagi segala ibadah. Semua amalan yang
disyariatkan adalah untuk mencapai maksud zikir di mana ia adalah intipati bagi
amalan yang dilaksanakan. Mengenai ibadah solat yang merupakan amalan utama
disyariatkan, Allah berfirman: Maksudnya: Sesungguhnya Akulah Allah, tidak ada
tuhan melainkan Aku, maka beribadahlah kepadaKu dan dirikanlah solat untuk
ingat kepadaKu.[15]
Mengenai
ibadah sembelihan korban pula Allah berfirman: Maksudnya: Dan bagi setiap umat
Kami (Allah) syariatkan sembelihan (korban) agar mereka menyebut nama Allah
atas rezeki yang dikurniakan Allah kepada mereka berupa haiwan ternak, maka
Tuhan kamu ialah Tuhan yang maha esa, kerana itu berserahdirilah kamu kepadaNya,
dan sampaikanlah (wahai Muhammad) khabar gembira kepada orang-orang yang tunduk
(kepada Allah).[16]
Begitu jugalah ibadah-ibadah lain di mana semuanya disyariatkan untuk melaksanakan dhikrullah seperti yang dijelaskan oleh Ibn `Ataillah dalam Miftah al-Falah dan juga Ibn al-Qayyim dalam al-Wabil al-Sayyib.[17]
Antaranya
juga ialah orang yang banyak berzikir merupakan orang yang paling utama di sisi
Tuhan di mana zikir menjadi sebab yang meletakkan orang yang sentiasa
menekuninya pada kedudukan yang mulia dan utama di sisi Allah s.w.t. Mengenai
perkara ini satu riwayat menyebut: Maksudnya: Bahawasanya Rasulullah s.a.w.
telah ditanya “siapakah daripada kalangan hamba Allah yang paling utama
darjatnya di sisi Allah pada hari kiamat”? Baginda menjawab “orang-orang yang
banyak mengingati Allah”. Aku (sahabat) bertanya “lebih utama daripada orang
yang berperang pada jalan Allah”? Baginda menjawab “sekiranya dia memukul
orang-orang kafir dan musyrik dengan pedangnya sehingga patah dan mengalirkan
darah, nescaya orang-orang yang berzikir lebih utama darjat daripadanya”.[18]
Antaranya
juga ialah zikir merupakan antara amalan yang paling baik, bersih dan dapat
mengangkat darjat di sisi Tuhan. Perkara ini dapat dilihat dalam satu riwayat
di mana Nabi s.a.w. bersabda;
Maksudnya:
Mahukah kamu untuk aku khabarkan kepada kamu tentang amalan kamu yang paling
baik, paling bersih di sisi Tuhan kamu, paling mengangkat darjat kamu, lebih
baik untuk kamu daripada membelanjakan emas dan perak, lebih baik untuk kamu
daripada kamu berdepan dengan musuh kamu lalu kamu memenggal leher mereka dan
mereka pula memenggal leher kamu? Mereka (para sahabat) menjawab “Apa dia wahai
Rasulullah”. Baginda bersabda “dhikrullah”.[19]
Antaranya
juga ialah zikir merupakan asas utama dalam perjalanan mendekatkan diri kepada
Allah dan mencapai keredaanNya. Kedekatan diri dengan Allah s.w.t. tercapai
menerusi penyucian hati dan penyuci bagi hati itu ialah dhikrullah.
SARANAN MEMPERBANYAKKAN ZIKIR
Al-Qur’an
dan hadis menyebut tentang persoalan zikir dengan menyentuh pelbagai aspek dan
kaitan. Antaranya menyentuh tentang perintah dan galakan melakukan zikir,
kelebihan zikir, hakikat zikir, kaifiyyat melakukan zikir, waktu keutamaan melakukan
zikir, hubungan zikir dengan perkara-perkara lain, kesan dan faedah zikir,
golongan ahli zikir dan sebagainya lagi. Antara perkara yang disebut tentang
zikir ini ialah suruhan sepaya memperbanyakkan dhikrullah. Terdapat banyak ayat
al-Qur’an dan hadis yang menyuruh supaya memperbanyakkan zikir. Antaranya ialah
seperti firman Allah:Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah akan
Allah dengan ingatan yang banyak.[20]
Demikian juga terdapat dalam banyak hadis Nabi s.a.w. Satu riwayat menyebut bahawa seorang lelaki bertanyakan Nabi s.a.w. dengan berkata “sesungguhnya syariat Islam begitu banyak ke atas diriku, maka beritahulah kepadaku tentang sesuatu yang aku boleh menekuninya”. Baginda bersabda “Lidahmu sentiasa basah dengan dhikrullah”.[21]
Seseorang
itu tidak mencapai darjat ingat kepada Allah dengan ingatan yang banyak
sehinggalah dia mengingati Allah dalam semua keadaan dan ketika iaitu satu
tingkatan di mana zikir sudah menjadi sesuatu yang sebati dengan diri. Mengenai
perkara ini Ibn `Abbas menjelaskan bahawa orang yang banyak berzikir itu ialah
orang yang ingat kepada Allah selepas setiap kali solat fardu, pagi dan petang,
dan setiap kali dia bangkit dari tidurnya, setiap kali dia keluar pagi dan
petang dari rumahnya maka dia ingat kepada Allah. Demikian juga Mujahid
menjelaskan bahawa seseorang itu tidak dikira sebagai orang yang banyak ingat
kepada Allah sehinggalah dia ingat kepada Allah dalam keadaan berdiri, duduk
dan berbaring.[22] Perkara ini tidak tercapai dalam sekelip mata, ia perlu
kepada latihan dan tunjuk ajar sehingga ia dapat dicapai dengan mudah, cepat
dan berkesan.
PERANAN
ZIKIR DALAM PEMBENTUKAN SAHSIAH
Zikir
merupakan satu amalan yang sangat berkesan dan berperanan besar dalam
pembentukan sahsiah muslim. Sakhsiah yang baik hanya terbina dan terbentuk
dengan terbinanya hati yang menjadi wadah keimanan dan ketaqwaan. Oleh itu
untuk membina sakhsiah muslim yang baik, pembersihan dan penyucian hati perlu
diberikan tumpuan dan keutamaan sebagaimana yang dapat dilihat pertunjuknya
dalam hadis di mana Nabi s.a.w. bersabda:
Maksudnya: Ketahuilah bahawa dalam badan manusia ada segumpal darah, apabila ia baik maka baiklah seluruh badan, apabila ia rosak maka rosaklah seluruh badan, ketahuilah bahawa ia adalah hati.[23]
Maksudnya: Ketahuilah bahawa dalam badan manusia ada segumpal darah, apabila ia baik maka baiklah seluruh badan, apabila ia rosak maka rosaklah seluruh badan, ketahuilah bahawa ia adalah hati.[23]
Penelitian
terhadap ayat-ayat al-Qur’an dan hadis yang menyentuh tentang persoalan zikir
mendapati bahawa ia adalah amalan penyuci hati, pembuka hijab rohani, penguat
keimanan, penghapus kemunafiqan, pemadam gelora nafsu, penghalau gangguan
syaitan dan sebagainya.
1-Zikir Adalah
Pengilap Dan Penyuci Hati
Antara
peranan zikir ialah menggilap dan menyucikan hati daripada kekotoran sifat
tercela. Perkara ini dapat dilihat antaranya pada firman Allah;
الَّذِينَ
آَمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُمْ بِذِكْرِ اللَّهِ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ
تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ
Maksudnya:
(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan
mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi
tenteram.[24]
Hati akan mencapai hakikat ketenteraman, ketenangan dan kebahagian setelah ia dapat dibersih dan disucikan dan penyakit-penyakitnya dapat dibuang. Perkara ini hanya tercapai menerusi dhikrullah seperti yang dinyatakan dalam ayat tersebut.
Demikian juga perkara ini dinyatakan dalam beberapa hadis Nabi s.a.w. Antaranya ialah hadis yang bermaksud “hendaklah engkau berdhikr Allah dan membaca kitabNya sesungguhnya ia adalah nur (hidayah) bagi engkau di dunia ini dan kemasyhuran bagi engkau di langit”,[25] hadis yang bermaksud “dhikr Allah itu adalah penyembuh bagi hati”[26] dan hadis yang bermaksud “sesungguhnya hati ini berkarat sebagaimana besi berkarat. Baginda ditanya: Wahai Rasulullah, apakah pengilapnya. Baginda menjawab: Mengingati kematian dan membaca al-Qur’an”.[27]
Hadis pertama menyatakan bahawa zikir dan membaca al-Qur'an itu adalah nur hidayat yang menerangi hati. Dengan terhasilnya nur tersebut di dalam hati maka sifat-sifat kecelaan yang bersarang di dalamnya akan terhapus dan hati menjadi bersih serta bersinar dengan nur hidayat tersebut. Hadis kedua pula menyebut bahawa zikir itu adalah penyembuh bagi penyakit-penyakit hati yang maknawi iaitu sifat-sifat kecelaan yang bersarang di dalamnya. Manakala hadis ketiga pula menjelaskan bahawa mengingati kematian dan membaca al-Qur’an yang juga merupakan sebahagian dari zikir, adalah menjadi pengilap bagi hati yang berkarat dengan sifat-sifat kecelaan. Oleh itu jelas bahawa zikir merupakan penyembuh bagi hati dan pengikis sifat-sifat kecelaan yang ada padanya.
2-Zikir adalah penyedar hati yang lalai dan pendorong kepada taubat
Zikir
juga berperanan menyedarkan hati yang lalai. Ini kerana orang yang telah
melakukan kejahatan, kemudian dia ingat kepada Allah, maka dia akan mengalami
kesedaran jiwa (intibah). Dia akan menyedari kesilapan, dosa, keaiban dan
kejahatan dirinya. Ini akan mendorongnya untuk bertaubat dan tidak lagi
meneruskan atau mengulangi kesilapan yang telah lalu. Perkara ini dapat dilihat
dalam firman Allah:
وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَنْ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا اللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَى مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ
Maksudnya: Dan orang-orang yang apabila mereka telah melakukan perkara keji atau menzalimi diri mereka sendiri, lalu mereka ingat akan Allah, maka mereka terus meminta keampunan bagi dosa-dosa mereka, dan tiada yang mengampunkan dosa kecuali Allah, dan mereka tidak meneruskan lagi apa yang telah mereka lakukan, sedangkan mereka itu mengetahui.[28]
Ayat ini dengan jelas memperlihatkan pengaruh atau kesan zikir ke atas orang yang melakukan dosa dan kesalahan. Dengan teringatkan Allah, seseorang itu mendapat kesedaran yang mendorongnya untuk beristighfar dan bertaubat. Sebaliknya orang yang melakukan kejahatan dan tidak ingat kepada Allah, maka dia tidak mahu bertaubat dan beristighfar kepada-Nya, kerana dia tidak merasai kesedaran tentang dirinya dan apa yang telah dilakukannya. Lantaran itu dia berterusan melakukan perbuatan yang jahat sehingga dia tergolong dalam golongan orang-orang yang fasiq sebagaimana firman Allah:
وَلَا تَكُونُوا كَالَّذِينَ نَسُوا اللَّهَ فَأَنْسَاهُمْ أَنْفُسَهُمْ أُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ
Maksudnya:
Dan janganlah kamu jadi seperti orang-orang yang lupakan Allah, maka Dia
(Allah) melupakan mereka terhadap diri mereka sendiri, mereka itulah
orang-orang yang fasiq.[29]
Lupakan
Allah itu akan menjadikan seseorang itu lupa akan dirinya sendiri dengan tidak
mengingati dan menyedari kesalahan dan kesilapan dirinya. Dia akan terus
melakukan kesalahan dan dosa dengan tidak bertaubat sehingga dia menjadi
seorang yang fasiq.
3-Zikir adalah penghapus dorongan hawa nafsu
Zikir
berperanan menghapuskan dorongan hawa nafsu jahat yang menguasai diri sehingga
seseorang terdorong melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan suruhan
agama. Ini terjadi apabila zikir menjadi teguh dan menguasai diri manusia, maka
di kala itu dorongan-dorongan melakukan kejahatan akan terhapus. Berkait dengan
persoalan ini Nabi s.a.w. bersabda:
سَبَقَ الْمُفْرِدُونَ قَالُوا وَمَا الْمُفْرِدُونَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ الْمُسْتَهْتَرُونَ فِي ذِكْرِ اللَّهِ يَضَعُ الذِّكْرُ عَنْهُمْ أَثْقَالَهُمْ فَيَأْتُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ خِفَافًا
Maksudnya: Sesungguhnya golongan mufarridun telah mendahului. Siapa mufarridun itu wahai Rasulullah?. Baginda bersabda: Iaitu mereka yang asyik dalam dhikrullah yang mana zikir itu telah meletakkan (meringankan/melepaskan) bebanan mereka, maka mereka akan datang pada hari kiamat dalam keadaan ringan”.[30]
Mengenai hadis ini al-Dahlawi menjelaskan bahawa apabila nur zikir memasuki akal mereka (golongan mufarridun/orang-orang yang asyik dengan zikir) dan penumpuan kepada jabarut (sifat-sifat keagungan Allah) terukir dalam diri mereka, maka sifat kebinatangan akan terhalang, gelora keinginannya akan terpadam dan bebanan mereka (di akhirat) akan hilang.[31] Hilangnya bebanan mereka di akhirat ialah kerana terpadamnya keinginan nafsu yang menyuruh seseorang itu melakukan perkara kejahatan sehingga dia tidak berkeinginan dan berkecenderungan untuk melakukannya.
4-Zikir adalah pengukuh keimanan
Zikir
juga berperanan mengukuhkan dan memantapkan keimanan seseorang. Ini kerana
keimanan seseorang itu akan menjadi malap kalau tidak diperbaharui dan
diperteguhkan. Pengukuhan keimanan itu ialah dengan cara menanam pengertian
tauhid ke dalam jiwa menerusi jalan zikir kalimah tauhid. Perkara ini dapat
dilihat pada pesanan Nabi s.a.w. kepada para sahabat sebagaimana sabda baginda:
جددوا
ايمانكم قيل يا رسول الله وكيف نجدد إيماننا قال أكثروا من قول لا إله إلا الله
Maksudnya: Perbaharuilah iman kamu. Baginda ditanya: Wahai Rasulullah, bagaimana kami dapat memperbaharui iman kami? Baginda bersabda: Perbanyakkanlah menyebut La Ilaha Illallah.[32]
5-Zikir
adalah penghapus hijab rohani dan pembuka jalan ma`rifat
Zikir
juga berperanan menghapuskan hijab rohani dan membuka jalan ma`rifat. Menyebut,
memahami, meyakini dan mengingati kalimah tauhid dalam keadaan penuh keikhlasan
akan membawa kepada pembukaan pintu ma`rifat sehingga sampai ke tingkatan
`Arash. Mengenai perkara ini Nabi s.a.w. bersabda:
مَا قَالَ
عَبْدٌ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ قَطُّ مُخْلِصًا إِلَّا فُتِحَتْ لَهُ أَبْوَابُ
السَّمَاءِ حَتَّى تُفْضِيَ إِلَى الْعَرْشِ مَا اجْتَنَبَ الْكَبَائِرَ
Maksudnya: Seseorang itu tidak menyebut La Ilaha Illallah dalam keadaan ikhlas kecuali dibukakan baginya pintu-pintu langit sehingga membawa kepada `Arash selama mana dia menjauhi dosa-dosa besar.[33]
Kesan-kesan
zikir seperti yang dijelaskan ini menjurus kepada penyucian jiwa dan pengukuhan
keimanan dan ketaqwaan dan seterusnya pembinaan sakhsiah muslim yang
berqualiti.
PERLAKSANAAN
ZIKIR
Allah
s.w.t. telah memerintahkan kita supaya melaksanakan dhikrullah dan Nabi s.a.w.
pula telah mengajarkan kita kaedah melaksanakannya. Kerana ini semua perkara
yang berkait dengan amalan zikir ini perlu merujuk kepada al-Qur’an dan hadis
Nabi s.a.w. di samping huraian dan tafsiran para ulama.
Dari satu
sudut, terdapat dua jenis zikir iaitu zikir umum dan zikir khusus. Zikir umum
ialah zikir yang terisi dalam amal ibadah lain seperti solat dan sebagainya di
mana semua amalan itu dilaksanakan untuk ingat kepada Allah. Zikir ini
terlaksana dengan sendirinya apabila amalan tersebut dilaksanakan dengan hadir
hati.
Manakala
zikir khusus pula ialah sebutan dan ingatan terhadap Allah. al-Qur’an dan hadis
telah menyebut tentang beberapa jenis zikir khusus yang utama iaitu dhikrullah,
tafakkur, tasbih, tahmid, tahlil, takbir, al-asma’ al-husna, dan bacaan
al-Qur’an. Zikir ini boleh diamalkan pada bila-bila masa dan di mana juga
seseorang itu berada kecuali di tempat dan keadaan terlarang. Zikir inilah yang
perlu diperbanyakkan. Di samping itu terdapat juga zikir yang berkait dengan
masa, tempat dan keadaan tertentu. Zikir jenis ini juga baik untuk
dilaksanakan. Para ulama telah mengarang dan menyusun banyak karya bagi
menjelaskan tentang amalan zikir ini yang boleh dijadikan rujukan.
Apa yang
penting bagi pengamalan zikir ini ialah ia hendaklah didasari atas ilmu
pengetahuan, kefahaman dan kesungguhan untuk menghadirkan hati dan
menghayatinya. Semakin mendalam pengetahuan tentang perkara berkaitan dan
semakin tinggi tahap keinginan dan kesungguhan melaksanakan dan menghayatinya
maka semakin berkesan zikir tersebut terhadap hati.
Terdapat
juga zikir yang memerlukan talqin, tarbiyah dan irsyad daripada murshid. Zikir
ini dinamakan zikir tarekat atau zikir darajah. Ia boleh diamalkan bagi orang
yang berkeinginan untuk memperbaiki diri, menyucikan hati, mendekatkan diri,
membuka hijab rohani dan seterusnya mencapai ma`rifat, namun ia perlu merujuk
kepada ahli yang berkelayakan.
RUJUKAN
·
Abu
Ya`la, Ahmad ibn `Ali al-Musili al-Tamimi. 1984 M./ 1404 H. Musnad Abi Ya`la.
Jil.2. Damshiq: Dar al-Ma’mun li al-Turath.
·
al-Baghawi,
Abu Muhammad al-Husayn ibn Mas`ud. 1961. Sharh al-Sunnah. Jil.5. Damshiq:
al-Maktab al-Islami.
·
al-Bukhari,
Muhammad ibn Isma`il. 1987/1407. Al-Jami` al-Sahih al-Mukhtasar. Bayrut: Dar
Ibn Kathir.
·
al-Dahlawi,
Ahmad ibn `Abd al-Rahim. t.th. Hujjat Allah al-Balighah. al-Qahirah: Dar
al-Kutub al-Hadithah, Baghdad: Maktabah al-Mathna.
·
al-Dimashqi,
`Abd al-Qadir `Isa. 1981/1401. Haqa'iq `an al-Tasawwuf. Aman: al-Matba`ah
al-Wataniyyah.
·
al-Hindi,
`Ala’ al-Din al-Muttaqi. 1390. Kanz al-`Ummal. Halab: Matba`ah al-Balaghah.
·
Ibn
Hanbal, Ahmad al-Shaybani. t.th. Musnad al-Imam Ahmad ibn Hanbal. Jil.1,2,3,
& 4. Misr: Muassasah Qurtubah.
·
Ibn
Qayyim, Abu `Abd Allah Muhammad ibn Abi Bakr ibn Ayyub. t.th. Al-Wabil
al-Sayyib min al-Kalim al-Tayyib. Misr: Maktabah al-Qahirah.
·
al-Iskandari,
Taj al-Din Ahmad ibn Ahmad ibn `Ata’ Allah. 1961 M/ 1381 H. Miftah al-Falah wa
Misbah al-Arwah. Qahirah: Maktabah wa Matba`ah Mustafa al-Babi al-Halabi wa
Awladihi.
·
al-Kalabadhi,
Abu Bakr. 1370. Al-Ta`arruf li Madhhab Ahl al-Tasawwuf. Qahirah: Matba`ah `Isa
al-Babi al-Halabi.
·
al-Munawi,
`Abd al-Rauf. 1355. Fayd al-Qadir Sharh al-Jami` al-Shaghir. Jil.3. Qahirah:
Matba`ah Mustafa Muhammad.
·
al-Quda`i,
Muhammad ibn Salamah. 1987 M/ 1407 H. Musnad al-Shihab. Jil.1 & 2. Bayrut:
Muassasah al-Risalah.
·
al-Qurtubi,
Muhammad ibn Ahmad. 1987. al-Jami` li Ahkam al-Qur’an. Jil.6,9 & 20. Misr:
al-Hai'ah al-Misriyyah al-`Ammah li al-Kitab.
·
Al-Siddiqi,
Ibn `Allan. 1347. al-Futuhat al-Rabbaniyyah `ala al-Adhkar al-Nawawiyyah.
Mesir: Matba`ah al-Sa`adah.
·
al-Tirmidhi,
Muhammad ibn `Isa. t.th. Al-Jami` al-Sahih Sunan al-Tirmidhi. Bayrut: Dar Ihya’
al-Turath al-`Arabi.
·
Abu
Ya`la, Ahmad ibn `Ali al-Musili al-Tamimi. 1984 M./ 1404 H. Musnad Abi Ya`la.
Jil.2. Damshiq: Dar al-Ma’mun li al-Turath.
·
al-Zubaydi,
Muhammad ibn Muhammad al-Husayni. t.th. Ittihaf al-Sadah al-Muttaqin. Jil.1,4
& 9. Bayrut: Dar al-Fikr.
[1]
Al-Iskandari, Miftah al-Falah, hlm.4.
[2] Ibid.
[3]
al-Kalabadhi, al-Ta`arruf, hlm.123.
[4]
al-Qur’an, Surat al-Kahf 18:24.
[5]
al-Kalabadhi, al-Ta`arruf, hlm.123.
[6] `Isa,
Haqa’iq, hlm.133.
[7]
Al-Qur’an, Surah al-Hijr, 9.
[8]
Al-Qur’an, Surah al-Jumu`ah, 9.
[9] `Isa,
Haqa'iq, hlm.224.
[10]
Ibid.
[11]
Al-Qur’an, Surah al-`Ankabut, 45.
[12]
Al-Qurtubi, Tafsir al-Qurtubi, juz.2, hlm.172.
[13]
Al-Baghawi, Tafsir al-Baghawi, juz.1, hlm.167.
[14]
Athar ini dikeluarkan oleh Ahmad ibn Hanbal dalam musnad beliau (`Isa, Haqa'iq,
hlm.220; & Ibn Qayyim, al-Wabil al-Sayyib, hlm.87).
[15]
Al-Qur’an, Surah Taha, 4.
[16]
Al-Qur’an, surah al-Hajj, 34.
[17]
Lihat: al-Iskandari, Miftah al-Falah; dan Ibn al-Qayyim, al-Wabil al-Sayyib.
[18] Hadis
ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad, al-Tirmidhi dan al-Bayhaqi daripada Abu Sa`id
al-Khudri (Lihat: al-Munawi, Fath al-Qadir, juz.6, hlm.56).
[19] Ibn
Hanbal, al-Musnad, juz.44, hlm.182.
[20]
Al-Qur’an, Surah al-Ahzab, 41.
[21]
Al-Qurtubi, Tafsir al-Qurtubi, juz.2, hlm.172.
[22]
Al-Siddiqi, Al-Futuhat al-Rabbaniyyah, juz.1, hlm.106.
[23]
Al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, juz.1, hlm.90.
[24]
Al-Qur’an, Surah al-Ra`d, 28.
[25] Abu
Ya`la, Musnad Abi Ya`la, Jil.2, hlm.283.
[26]
al-Zubaydi, Ittihaf, Jil.4, hlm.188; al-Baghawi, Sharh al-Sunnah, Jil.5,
hlm.16; al-Muttaqi al-Hindi, Kanz al-`Ummal, Hadis No.1751.
[27]
al-Quda`i, Musnad al-Shihab, Jil.2, hlm.198.
[28]
al-Qur’an, Surat Ali `Imran,134.
[29]
al-Qur’an, Surat al-Hashr ,19.
[30] Al-Tirmidhi,
Sunan al-Tirmidhi, juz.12, hlm.23.
[31]
al-Dahlawi, Hujjat Allah, hlm.616.
[32] Ibn
Hanbal, Musnad, juz.2, hlm.359.
[33]
Al-Tirmidhi, Sunan al-Tirmidhi, juz.12, hlm.15.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan