Rabu, 27 September 2023

BENCI MAKSIAT JANGAN BENCI PEMAKSIAT

Kisah seorang ahli ibadah (abid) pada zaman Bani Israel yang tidak pernah melakukan maksiat. Hebatnya beliau sehingga bilamana berjalan di bawah terik matahari maka beliau akan dilindungi awan. Namun disebabkan ada rasa takabbur di dalam diri bilamana bertemu dengan seorang ahli maksiat. 

Maka nikmat tersebut terus berpindah kepada si lelaki ahli maksiat tersebut. Mengapa boleh terjadi sedemikian? Ya, hanya kerana si lelaki ahli maksiat tersebut punya rasa rendah diri bilamana bertembung dengan ahli ibadah tersebut. Rasa tidak layak bilamana dirinya yang hina bertembung dengan seorang abid yang mulia. Manakala si abid, merasa jijik bilamana bertembung dengan ahli maksiat tersebut. 

Disebabkan sisi pandangan yang berbeza antara satu sama lain, maka ini menyebabkan nikmat yang Allah Taala berikan kepada si abid iaitu dilindungi awan setiap kali berjalan terus berpindah kepada si lelaki ahli maksiat tersebut.

Inilah sari pati ilmu Tasawuf yang diperjuangkan oleh para ulama Ahlusunnah Wal Jamaah. Tidak merasakan diri lebih daripada orang lain. Tidak merasakan bahawa hanya diri ini yang layak masuk ke Syurga Allah Taala. Bilamana melihat seseorang yang tergelincir daripada jalan Allah Taala, terus ditempelak dan dicaci maki zat / diri si pembuat maksiat tersebut. 

Seolah-olah si ahli maksiat sudah tidak punya peluang untuk bertaubat. Kekadang lupa, kemungkinan orang yang kita caci maki kerana maksiat yang dilakukan olehnya mungkin akan menjadi seorang yang lebih baik daripada si pencaci. Allah Taala berhak membolak-balikkan hati seseorang.

Diri pemaksiat dan perbuatan buruknya adalah dua aspek berbeza yang kita harus faham bagaimana untuk berinteraksi dengan keduanya secara berasingan. Kerana diri seorang pendosa atau pemaksiat itu adalah hamba Allah dan makhluknya yang dimuliakan Allah penciptaannya sebagai manusia, sebaik-baik ciptaan-Nya. Dia perlu dihormati, dikasihi dan ditunaikan hak-haknya.

Ini yang perlu ada pada seorang muslim yang sejati. Kita membenci maksiat dan kesalahan yang dilakukan bukannya zat pembuat maksiat tersebut. Perumpamaannya mudah :

"Kita membenci bau busuk pada bangkai tersebut, bukannya pada bangkai itu sendiri. Ya kemungkinan bangkai tersebut adalah binatang peliharaan yang paling kita sayangi sebelum rohnya dicabut. Namun bilamana rohnya sudah dicabut, serta berlalunya waktu tertentu menyebabkan mayat tersebut berubah baunya menjadi busuk. Adakah dengan sebab bau busuk pada bangkai tersebut menyebabkan kita terus mencaci maki binatang kesayangan kita sendiri?”

Ya begitu juga dengan maksiat. Kita ibaratkan ianya sebagai bau busuk yang ada pada seseorang. Bau busuk tidak akan hilang jika semua hanya pandai mencaci maki semata-mata. Namun apa yang sepatutnya kita lakukan adalah dengan menunjukkan kepada seseorang yang punya bau busuk tersebut cara yang terbaik untuk mengeluarkan dirinya daripada bau busuk itu.

"Sebagaimana dirimu senang dengan ucapan yang baik dari orang lain, maka begitulah pula orang lain akan senang dengan ucapan yang baik darimu.

Sebagaimana dirimu tidak senang dengan ucapan yang buruk dari orang lain, maka begitulah pula orang lain tidak akan senang dengan ucapan yang buruk darimu."

[Habib Muhammad Al-Bagir bin Alwy bin Yahya]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan