Isnin, 18 Februari 2013

Teladan 29 -Jaafar dan Ali bin Abi Talib menjadi anak angkat


Teladan 29 -Jaafar dan Ali bin Abi Talib menjadi anak angkat
Gambar hiasan
Abi Talib termasuk dalam golongan bangsawan Quraisy dan mempunyai kedudukan yang tinggi dalam masyarakat. Namun, kehidupannya juga susah dan mempunyai tanggungan yang banyak. Dia pernah mengalami keadaan yang sangat susah ketika saat kemarau panjang. Tanamannya mati kerana kekeringan air dan banyak orang terpaksa memakan bangkai. Ketika, biasanya tidak ada sesiapa yang boleh menghulurkan bantuan buatnya bagi meringankan beban. Mujurlah ada Abbas dan Muhammad bin Abdullah.

“Wahai Abbas, saudaramu (iaitu Abu Talib) mempunyai tanggungan yang sangat ramai. Sebagaimana yang pakcik saksikan, seluruh masyarakat kini sedang ditimpa musibah kemarau panjang dan kebuluran yang mengakibatkan banyak orang kelaparan,” kata Rasulullah kepada Abbas pada suatu hari.

“Marilah kita pergi ke rumah Abu Talib. Kita ambil alih sebahagian tanggungannya untuk meringankan beban keluarganya. Aku ambil seorang dari anaknya dan begitu juga kamu. Mudah-mudahan dengan cara ini, cukup besar ertinya untuk meringankan bebannya,” sambungnya kepada Abbas.

Abbas setuju dengan cadangannya itu. “Sangat bagus cadangan itu. Engkau betul-betul membuka mataku bagi melakukan kerja kebajikan. Marilah kita pergi,” kata Abbas lalu segera mengajak Rasulullah pergi ke rumah Abi Talib.

Mereka pun tiba di rumah Abi Talib. “Kami datang hendak meringankan beban terhadanp tanggungmu yang kian berat. Izinkanlah kami membawa sebahagian anak-anakmu untuk tinggal bersama kami sehinggalah keadaan yang susah ini berakhir,” kata mereka.

“Boleh saja, asal kamu tidak membawa Aqil,” kata Abi Talib yang amat gembira dengan permintaan itu. Aqil adalah anak lelakinya yang paling tertua.

Lalu Rasulullah mengambil Ali bin Abi Talib dan di bawa tinggal bersama keluarganya, manakala Abbas membawa Jaafar bin Abi Talib. Ali tinggal bersama Rasulullah sehingga Allah mengutusnya menjadi rasul Ali tercatat sebagai pemuda yang pertama masuk Islam.

Norziati binti Mohd Rosman

Teladan 28 - Golongan al-Bukkain


Teladan 28 - Golongan al-Bukkain
Gambar hiasan aje
Pada suatu hari, ada tujuh sahabat datang menemui Rasulullah sebelum Perang Tabuk. Mereka ialah Salim bin Umair, Utbah bin Zaid, Abdurrahman bin Kaab Abu Laila, Amru bin al-Humam, Abdullah bin al-Mughaffal, Haramiyyun bin Abdillah, dan Irbad bin Sariyah.

Mereka memohon kepada Rasulullah agar diberikan unta atau apa sahaja tunggangan sebagai kenderaan untuk berjihad ke jalan Allah. Tetapi Rasulullah tidak mempunyai walau seekor binatang pun untuk di berikan kepada mereka. Keadaan ini menyebabkan mereka menjadi sedih, memalingkan pandangan daripada Rasulullah dan menangis kerana tidak dapat membawa bekalan pergi berperang.

Oleh itu, mereka ini dinamakan golongan al-Bukkain dan satu ayat Qur’an diwahyukan kepada Rasulullah bagi merujuk kepada golongan ini, iaitu dalam Surah At-Taubah ayat 92
“Dan tiada pula berdosa orang-orang yang datang kepadamu, supaya engkau bawa mereka (pergi berperang), lalu engkau berkata kepadanya, ‘Aku tidak memperloleh belanja untuk membawa kamu’, lalu mereka berpaling sedang airmata mereka berciciran, kerana berdukacita disebabkan tidak memperoleh belanja (untuk ikut berperang)”.

Norziati binti Mohd Rosman

Teladan 27 - Umar al-Khattab yang Berjiwa Rakyat


Teladan 27 - Umar al-Khattab yang Berjiwa Rakyat
Gambar hiasan 
Pada akhir abad ke-17 Hijrah, kaum Muslimin sedang menikmati kemenangan pasukan mereka dalam peperangan di Iraq dan Syam. Namun di tengah kegembiraan itu, mereka diuji dengan musim kemarau berpanjangan. Selama sembilan bulan hujan tidak turun, bumi gersang dan penuh debu, manakala haiwan dan tanaman menjadi korban.

Namun, keadaan Madinah tidak terlalu buruk kerana di bawah pemerintahan Umar Al-Khattab kerana penduduk Madinah dibiasakan untuk menyimpan makanan. Kesannya, masyarakat dari kawasan yang lain datang memenuhi Madinah bagi mendapatkan sumber makanan. Keadaan ini menyebabkan Madinah turut menghadapi kekurangan bahan makanan.

Ketika keadaan ini mencapai kemuncaknya, Umar pernah diberikan roti yang dicampur mentega. Umar memanggil seorang Badwi dan mengajaknya makan bersama. Dia tidak menyuapkan makanan ke mulutnya sebelum Badwi itu melakukannya lebih dahulu. Orang Badwi itu benar-benar menikmati roti tersebut. 

“Agaknya, kau tidak pernah memakan mentega?” tanya Umar.
“Ya,” jawab Badwi itu.
“Saya tidak pernah makan dengan mentega atau minyak zaitun. Saya juga sudah lama tidak menyaksikan sesiapa memakannya sampai sekarang,” tambahnya.

Mendengar kata-kata Badwi itu, Umar bersumpah untuk tidak memakan mentega hinggalah semua orang hidup seperti sediakala. Kata-kata ini benar-benar dibuktikan dan diabadikan sampai saat ini.
“Kalau rakyatku kelaparan, aku ingin menjadi orang pertama yang merasakannya. Kalau rakyatku kekenyangan, aku ingin menjadi orang terakhir yang menikmatinya,” ujar Umar. Walhal, Umar pada masa itu boleh menggunakan apa sahaja kemudahan negara yanga ada. 

Tambahan pula, kekayaan Iraq dan Syam sudah berada di tangan kaum Muslimin. Namun, Umar memilih untuk bersama-sama rakyatnya. Begitulah hebatnya peribadi Umar sebagai seorang pemimpin ummah.

Norziati binti Mohd Rosman

Ahad, 17 Februari 2013

Teladan 26 - FITNAH TERHADAP UTHMAN DAN ALI

Teladan 26 - FITNAH TERHADAP UTHMAN DAN ALI
gambar hiasan jeee

Uthman bin Affan dilantik menjadi Khalifah ketiga selepas Umar al-Khattab dibunuh oleh musuh dalam selimut dari golongan munafik. Ketika itu, keadaan masih lagi bergolak dan huru-hara. Walaupun begitu, dengan ketegasan sikap dan kebijaksanaan Uthman yang berjiwa lembut, suasana pemerintahan dapat dikendalikannya secara aman, hingga menyebabkan ramai penganut agama lain memeluk Islam. Salah seorang daripadanya adalah seorang pemuda Yahudi dari Yaman yang bernama Abdullah bin Saba'.

Namun Abdullah mempunyai tujuan lain disebalik usahanya memeluk Islam. Pada suatu hari, Abdullah berangkat dari Yaman ke Madinah. Dia mengharapkan Uthman selaku penguasa negara memberikan penghormatan dan kedudukan kerajaan kepadanya. Apabila tiba, dia meminta izin mengadap Uthman. Setelah diperkenankan, dia menyampaikan keinginannya agar diberi kedudukan tinggi di salah satu jabatan terpenting dalam bidang apa saja.

“Aku hanya seorang pelayan umat. Aku diangkat menjadi Khalifah bukanlah atas keinginanku bahkan atas kesepakatan para sahabat yang lain,” kata Uthman dengan lembut sambil cuma menolak permintaan Abdullah itu.

”Tidakkah tuan tahu bahawa jawatan bukanlah satu kehormatan tetapi merupakan satu amanah. Apakah tuan sudah sanggup memikul amanah itu sedangkan tuan baru sahaja memeluk Islam dan lebih daripada itu tidak layak sesuatu kedudukan diminta atau diminati, kerana ALLAH yang memberi atau mencabut kedudukan seseorang,” Uthman berkata lagi.

Abdullah keluar dengan perasaan hampa. Dia telah bersusah payah memeluk Islam dan menempuh perjalanan yang jauh dengan harapan untuk memperolehi sanjungan dan mendapat jawatan tinggi, tetapi ternyata hanya memperolehi nasihat dan teguran. Semenjak dari itu Abdullah, menyimpan dendam kepada Uthman, umat Islam dan agama Islam. Ia bertekad untuk membinasakan umat Islam dan mengacau ajarannya.

Sehubungan dengan itu, Abdullah sentiasa berusaha menabur fitnah kepada orang ramai dengan berkata bahawa pewaris dan Khalifah yang sah adalah Ali bin Abi Talib. Sebahagian daripada masyarakat telah terpengaruh dengan hasutan tersebut sehingga mereka menubuhkan kumpulan yang dipanggil Syiah Saba'iyah, iaitu kaum Syiah sekarang.

Fitnah yang disebarkan oleh Abdullah begitu berkesan sehingga ia berani berkata “Sesungguhnya yang menjadi Nabi pilihan ALLAH adalah Ali bin Abi Talib. Hanya kebetulan pada ketika itu malaikat Jibrail sedang mengantuk sehingga wahyu ALLAH diberikan kepada Muhammad iaitu orang yang tidak berhak,” katanya dengan angkuh.

Mendengar khabar beracun seperti itu, Ali menjadi sangat marah. Apabila Ali dilantik menjadi Khalifah keempat menggantikan Uthman, dia mengusir Abdullah keluar dari Madinah.

Norziati binti Mohd Rosman

Teladan 25 - Enam Nasihat Ibrahim bin Adham


Teladan 25 - Enam Nasihat Ibrahim bin Adham
Gambar hiasan
Pada suatu hari, ada seorang lelaki datang bertemu Ibrahim bin Adham.

“Wahai Abu Ishak (Ibrahim)! Saya seorang yang banyak berdosa dan zalim. Sudikah kiranya Tuan mengajar saya supaya menjadi zuhud, agar ALLAH menerangi jalan hidup saya dan melembutkan hati saya yang keras ini,” lelaki itu bertanya dan memohon bantuan.

“Kalau kau dapat memegang teguh ENAM ini, nescaya engkau akan selamat,” jawab Ibrahim.
“Apakah itu?” tanya lelaki tersebut.

“Pertama, apabila engkau hendak melakukan maksiat, janganlah engkau memakan rezeki ALLAH,” kata Ibrahim.
“Jika seluruh penjuru Bumi ini, baik di barat mahupun di timur, di darat mahupun di laut, di kebun dan gunung-gunung terkandung rezeki dari ALLAH, maka dari mana aku boleh mendapatkan makanan?” balas lelaki itu.
“Wahai saudaraku, mahukah engkau memakan rezeki ALLAH tatkala engkau melanggar peraturan-Nya?” balas Ibrahim.
“Tidak, demi ALLAH!  lalu apa yang kedua?” tanya lelaki itu.

“Kedua, jika engkau melakukan maksiat kepada ALLAH, janganlah tinggal di negeri-Nya!” kata Ibrahim.
“Ibrahim, demi ALLAH yang kedua ini lebih berat. Bukankah bumi ini milik-Nya? Kalau demikian halnya, di mana aku harus tinggal?” lelaki itu membalas.
“Patutkah engkau makan rezeki dan tinggal di bumi-Nya walhal engkau bermaksiat kepada-Nya?” Ibrahim bertanya.
“Tidak, Tuan Guru!” jawab lelaki itu.

“Ketiga, jika engkau hendak melakukan maksiat, janganlah sesekali ingat bahawa ALLAH itu Maha Melihat dan anggaplah bahawa Dia lalai kepadamu,” kata Ibrahim.
“Tuan Guru, bagaimana aku boleh berbuat begitu, sedangkan ALLAH Maha Mengetahui segala rahsia dan melihat setiap hati nurani manusia,” kata lelaki itu.
“Layakkah engkau menikmati rezeki-Nya, tinggal di negeri-Nya dan melakukan maksiat kepada-Nya, sedangkan ALLAH melihat dan mengawasimu?” tanya Ibrahim.
“Tentu saja tidak, wahai Tuan Guru. Jadi, apa yang keempat?”

“Yang keempat, apabila malaikat maut datang hendak mencabut nyawamu, maka katakan kepadanya ‘tunggulah dulu aku akan bertaubat’,” kata Ibrahim.
“Tuan Guru, itu tidak mungkin dan malaikat tidak mungkin mengabulkan permintaanku,” lelaki itu menjawab.
“Engkau tahu engkau tidak boleh menolak hasrat malaikat maut itu sedangkan dia akan datang kepada pada bila-bila saja, mungkin sebelum kamu bertaubat,” kata Ibrahim.
“Benar kata-katamu itu. Sekarang apa yang kelima?”

“Kelima, apabila datang Munkar dan Nakir kepadamu, lawanlah kedua malaikat itu dengan seluruh kekuatanmu, bila kau mampu,” kata Ibrahim.
“Itu tak mungkin, mustahil Tuan Guru!”

“Keenam, bila esok engkau berada di sisi ALLAH dan Dia menyuruhmu masuk neraka, katakanlah, ‘Ya ALLAH, aku tidak bersedia!” kata Ibrahim mengakhiri nasihatnya.
“Wahai Guru! Cukuplah, cukuplah nasihatmu itu!” jawab lelaki itu dan terus berlalu pergi, mungkin kerana merasa insaf akan perbuatannya yang lalu.

Norziati binti Mohd Rosman

Teladan 24 - Nasihat Ibrahim bin Adham


Teladan 24 - Nasihat Ibrahim bin Adham
Gambar hiasan
Suatu ketika Ibrahim bin Adham, seorang alim yang terkenal zuhud dan wara'nya, melewati pasar yang ramai. Dalam sekelip mata, dia dikerumuni oleh mereka yang ingin meminta nasihat daripadanya.

“Wahai Ibrahim! ALLAH telah berjanji dalam kitab-Nya bahawa Dia akan mengabulkan doa hamba-Nya. Kami telah berdoa setiap hari, siang dan malam, tapi mengapa sampai saat ini doa kami tidak dikabulkan?” Salah seorang dari mereka bertanya.

Ibrahim diam sejenak dan berfikir. “Wahai saudaraku. Ada sepuluh perkara yang menyebabkan doa kamu semua tidak dijawab oleh ALLAH.

Pertama, kamu mengenal ALLAH, namun tidak menunaikan hak-hak-Nya.
Kedua, kamu membaca Al-Quran, tapi kalian tidak mahu mengamalkan isinya.
Ketiga, kamu mengakui bahawa iblis adalah musuh yang sangat nyata, namun kamu suka hati mengikuti jejak dan perintahnya.

Keempat, kamu mengaku mencintai Rasulullah, tetapi suka meninggalkan ajaran dan sunnahnya.

Kelima, kamu inginkan syurga, tapi kamu tidak pernah melakukan amalan seperti ahli syurga.

Keenam, kamu takut dimasukkan ke dalam neraka, namun kamu dengan senangnya melakukan perbuatan ahli neraka.

Ketujuh, kamu mengaku bahawa kematian itu pasti datang, namun tidak pernah mempersiapkan bekal untuk menghadapinya.

Kelapan, kamu sibuk mencari aib orang lain dan melupakan cacat dan kekurangan diri sendiri.

Kesembilan, kamu setiap hari memakan rezeki ALLAH, tapi lupa mensyukuri nikmat-Nya.

Kesepuluh, kamu sering mengantar jenazah ke kubur, tapi tidak pernah menyadari bahawa kalian akan mengalami hal yang serupa,” nasihat Ibrahim panjang lebar.

Setelah mendengar nasihat itu, orang-orang di sekelilingnya itu menangis tanda insaf.

Norziati binti Mohd Rosman
http://kisahseributeladan.blogspot.com

Teladan 23 - Keinsafan Ibrahim bin Adham


Teladan 23 - Keinsafan Ibrahim bin Adham

Gambar hiasan
Pada satu hari, Ibrahim bin Adham kelihatan murung lalu menangis, walhal tiada apa-apa yang berlaku. Lalu seseorang bertanya kepadanya.

“Saya melihat kubur yang akan saya tinggal kelak, dan ia sangat mengerikan, sedangkan saya belum mendapatkan penawar yang cukup. Saya melihat perjalanan di akhirat yang begitu jauh, sementara saya belum punya bekalan untuknya. Saya melihat ALLAH mengadili semua makhluk di Padang Mahsyar, sementara saya belum mempunyai alasan yang kuat untuk bertanggungjawab atas segala amal perbuatan saya selama hidup di dunia," Ibrahim menjawab dengan penuh keinsafan.


Norziati binti Mohd Rosman