Ahad, 17 Februari 2013

Teladan 25 - Enam Nasihat Ibrahim bin Adham


Teladan 25 - Enam Nasihat Ibrahim bin Adham
Gambar hiasan
Pada suatu hari, ada seorang lelaki datang bertemu Ibrahim bin Adham.

“Wahai Abu Ishak (Ibrahim)! Saya seorang yang banyak berdosa dan zalim. Sudikah kiranya Tuan mengajar saya supaya menjadi zuhud, agar ALLAH menerangi jalan hidup saya dan melembutkan hati saya yang keras ini,” lelaki itu bertanya dan memohon bantuan.

“Kalau kau dapat memegang teguh ENAM ini, nescaya engkau akan selamat,” jawab Ibrahim.
“Apakah itu?” tanya lelaki tersebut.

Pertama, apabila engkau hendak melakukan maksiat, janganlah engkau memakan rezeki ALLAH,” kata Ibrahim.
“Jika seluruh penjuru Bumi ini, baik di barat mahupun di timur, di darat mahupun di laut, di kebun dan gunung-gunung terkandung rezeki dari ALLAH, maka dari mana aku boleh mendapatkan makanan?” balas lelaki itu.
“Wahai saudaraku, mahukah engkau memakan rezeki ALLAH tatkala engkau melanggar peraturan-Nya?” balas Ibrahim.
“Tidak, demi ALLAH!  lalu apa yang kedua?” tanya lelaki itu.

Kedua, jika engkau melakukan maksiat kepada ALLAH, janganlah tinggal di negeri-Nya!” kata Ibrahim.
“Ibrahim, demi ALLAH yang kedua ini lebih berat. Bukankah bumi ini milik-Nya? Kalau demikian halnya, di mana aku harus tinggal?” lelaki itu membalas.
“Patutkah engkau makan rezeki dan tinggal di bumi-Nya walhal engkau bermaksiat kepada-Nya?” Ibrahim bertanya.
“Tidak, Tuan Guru!” jawab lelaki itu.

Ketiga, jika engkau hendak melakukan maksiat, janganlah sesekali ingat bahawa ALLAH itu Maha Melihat dan anggaplah bahawa Dia lalai kepadamu,” kata Ibrahim.
“Tuan Guru, bagaimana aku boleh berbuat begitu, sedangkan ALLAH Maha Mengetahui segala rahsia dan melihat setiap hati nurani manusia,” kata lelaki itu.
“Layakkah engkau menikmati rezeki-Nya, tinggal di negeri-Nya dan melakukan maksiat kepada-Nya, sedangkan ALLAH melihat dan mengawasimu?” tanya Ibrahim.
“Tentu saja tidak, wahai Tuan Guru. Jadi, apa yang keempat?”

“Yang keempat, apabila malaikat maut datang hendak mencabut nyawamu, maka katakan kepadanya ‘tunggulah dulu aku akan bertaubat’,” kata Ibrahim.
“Tuan Guru, itu tidak mungkin dan malaikat tidak mungkin mengabulkan permintaanku,” lelaki itu menjawab.
“Engkau tahu engkau tidak boleh menolak hasrat malaikat maut itu sedangkan dia akan datang kepada pada bila-bila saja, mungkin sebelum kamu bertaubat,” kata Ibrahim.
“Benar kata-katamu itu. Sekarang apa yang kelima?”

Kelima, apabila datang Munkar dan Nakir kepadamu, lawanlah kedua malaikat itu dengan seluruh kekuatanmu, bila kau mampu,” kata Ibrahim.
“Itu tak mungkin, mustahil Tuan Guru!”

Keenam, bila esok engkau berada di sisi ALLAH dan Dia menyuruhmu masuk neraka, katakanlah, ‘Ya ALLAH, aku tidak bersedia!” kata Ibrahim mengakhiri nasihatnya.
“Wahai Guru! Cukuplah, cukuplah nasihatmu itu!” jawab lelaki itu dan terus berlalu pergi, mungkin kerana merasa insaf akan perbuatannya yang lalu.

Norziati binti Mohd Rosman

Tiada ulasan:

Catat Ulasan