Teladan 30 - Keislaman dan sikap Zaid al-Khair
Gambar hiasan |
Zaid Al-Khail bin Muhalhil sebelum memeluk Islam menjaga dan menggembala unta-unta milik saudara perempuannya yang berjumlah hampir seratus ekor. Pada suatu hari, apabila Maghrib menjelang, Zaid yang dibantu dua orang hambanya menambatkan unta-untanya dekat sebuah khemah yang terbuat dari kulit di mana Zaid dan ayahnya tinggal.
Mereka tidak menyedari akan kehadiran seseorang yang sejak tadi mengintai dari balik semak. Menjelang malam, Zaid Al-Khail, kedua pembantu dan ayahnya tidur setelah seharian menggembala unta. Dalam kegelapan malam, ada seseorang mendekati tempat unta jantan ditambat lalu melepaskan tali unta itu. Dia menunggang salah seekor dari unta tersebut dan menyebabkan yang lainnya mengikutinya.
Zaid menyadari yang untanya hilang apabila dia bangun pada pagi esoknya. Tanpa berfikir panjang, dia memacu kudanya mengejar si pencuri. Menjelang tengah hari, Zaid menemui jejak si pencuri dan terus mengejar dengan pantas. Akhirnya Zaid Al-Khail berjaya menemui si pencuri.
Apabila merasakan dirinya dikejar, si pencuri segera turun dari unta jantan yang ditungganginya dan menambatkannya pada sebatang pohon kering. Si pencuri mengeluarkan anak panah dan membidik kearah Zaid Al-Khail.
“Lepaskan unta jantan itu!” perintah Zaid dari atas kudanya.
“Tidak!” jawab si pencuri. “Aku meninggalkan keluargaku di Iraq dalam kelaparan. Aku telah bersumpah tidak akan kembali kepada mereka sebelum berjaya membawa makanan kepada mereka atau aku mati kerananya,” sambung si pencuri.
“Lepaskan unta jantan itu!” bentak Zaid mengulangi perintahnya. “Jika kamu tidak lepaskan, kau akan kubunuh,” sambungnya dengan marah.
“Tidak! Aku tidak akan lepaskan unta itu, walau apa pun yang terjadi!” si pencuri itu berdegil sambil tetap membidikkan anak panahnya ke arah Zaid Al-Khail.
“Kalau begitu, rentangkan tali unta jantan itu. Di situ terdapat tiga simpul. Tunjukkan padaku simpul mana yang harus aku panah,” kata Zaid Al-Khail.
Si pencuri memenuhi permintaan Zaid dan memintanya untuk memanah simpul yang tengah. Zaid membidikkan anak panah dan melepaskannya tepat mengenai sasaran. Si pencuri terkejut dan menunjukkan dua lagi simpulan untuk dipanah. Zaid pun segera melepaskan anak panah dan kedua-duanya tepat mengenai sasaran. Melihat keadaan itu, si pencuri segera memasukkan anak panahnya dan menyerah.
Zaid Al-Khail menghampiri si pencuri dan meninggalkan pedang dan panahnya. “Kamu naik di atas kudaku!" perintahnya kepada si pencuri untuk naik bersama-samanya di atas kuda itu.
“Hukuman apakah yang akan aku jatuhkan padamu,” Zaid bertanya setelah pencuri itu naik.
“Sudah tentu hukuman berat,” jawab si pencuri.
“Mengapa demikian?” tanya Zaid lagi.
“Kerana perbuatanku telah menyusahkanmu. ALLAH memenangkan kamu dan memberi kekalahan kepadaku," jawab si pencuri.
Setelah berdialog panjang, si pencuri akhirnya menyedari bahawa tuan punya unta itu ialah Zaid Al-Khail bin Muhalhil yang terkenal sebagai seorang pemuda yang baik budi pekertinya.
Ketika dalam perjalanan ke khemahnya, Zaid berkata kepada si pencuri, “Demi ALLAH seandainya unta-unta ini milikku sendiri, akan aku berikan semuanya kepadamu. Kau tinggallah di kemahku buat dua atau tiga hari. Tak lama lagi akan terjadi peperangan di mana aku akan memperoleh harta rampasan,” kata Zaid kepada si pencuri.
Benar apa yang dikatakan Zaid Al-Khail. Pada hari ketiga dia menyerang Bani Numair dan memperoleh harta rampasan sebanyak seratus ekor unta. Unta rampasan itu diberikan kepada si pencuri. Biarpun dia belum memeluk Islam, sifat Zaid Al-Khail pada masa Jahiliyah begitu baik dan hebat.
Pada suati hari, berita kenabian Muhammad SAW dengan agama yang dibawanya sampai ke telinga Zaid Al-Khail. Satu delegasi besar yang terdiri dari pemimpin kaum Thayi', iaitu kaumnya berangkat ke Madinah untuk menemui Rasulullah SAW. Mereka terus menuju ke Masjid Nabawi, tempat di mana Rasulullah SAW menyampaikan ajarannya.
Melihat kedatangan mereka, Nabi SAW menyampaikan pidatonya kepada kaum Muslimin yang ada di Masjid. “Aku lebih baik bagi tuan-tuan dari pada berhala 'Uzza dan sejumlah berhala yang tuan-tuan sembah. Aku lebih baik bagi tuan-tuan daripada unta hitam dan segala yang tuan-tuan sembah selain ALLAH.”
Setelah Rasulullah selesai berpidato, Zaid Al-Khail berdiri di antara jamaah kaum Muslimin dan berkata, “Ya Muhammad, aku bersaksi tidak ada tuhan selain ALLAH, dan sesungguhnya engkau adalah Rasulullah.”
Rasulullah SAW menoleh ke arahnya. “Siapakah kamu?” dia bertanya.
”Saya Zaid Al-Khail bin Muhalhil,” jawabnya.
“Kamu Zaid Al-Khair bukan Zaid Al-Khail. Segala puji bagi ALLAH yang membawamu ke sini dari kampung dan melunakkan hatimu menerima Islam,” kata Rasulullah.
Sejak itu Zaid Al-Khail dikenal dengan Zaid Al-Khair. Kemudian, Rasulullah SAW membawanya bertemu beberapa orang sahabat dan membentuk satu majlis halaqah. Pada kesempatan itu, Nabi SAW berkata, "Belum pernah saya mengenal orang yang memiliki sifat sepertimu. Hai Zaid! Dalam dirimu terdapat dua sifat yang disukai ALLAH dan Rasul-Nya.”
“Apakah itu ya Rasulullah?” tanya Zaid.
“Sabar dan santun,” jawab Rasulullah.
“Segala puji bagi ALLAH yang telah memberiku sifat-sifat yang disukai ALLAH dan Rasul-Nya,” ujar Zaid.
Kemudian Zaid berkata kepada Rasulullah, "Berikan aku tiga ratus penunggang kuda yang cekap. Aku berjanji akan menyerang negeri Rom dan mengambil negeri itu dari tangan mereka.”
“Alangkah besarnya cita-citamu wahai Zaid. Belum ada orang bersifat sepertimu,” kata Rasulullah SAW yang mengagumi cita-cita Zaid itu.
Sebelum Zaid dapat memenuhi cita-citanya itu, berlaku satu peristiwa lain. Ketika berada di Madinah, Zaid diserang demam. Tubuhnya menjadi panas dan tidak berapa lama kemudian,dia menghembuskan nafas terakhir.
Zaid wafat tidak lama setelah menyatakan keislamannya di hadapan Rasulullah SAW. Sedikit sekali waktu yang ada baginya setelah masuk Islam, sehingga tidak ada peluang baginya untuk melakukan dosa.
Norziati binti Mohd Rosman
Tiada ulasan:
Catat Ulasan