Teladan 12 - Umar Dengan Seekor Burung
Pada suatu
hari, Khalifah Umar menjalankan rutin hariannya dengan berjalan menyusuri kota
Madinah bersendirian biarpun waktu itu matahari sedang memancarkan sinarnya
dengan terik. Sambil matanya mengawasi kiri dan kanan, dia bersyukur kerana
kota ini masih dalam keadaan aman dan damai, sama seperti yang dilaluinya
semalam.
Ketika
melalui satu halaman rumah seorang penduduk, tiba-tiba ia berhenti.
Pandangannya tertuju pada seorang anak kecil sambil mendengar suara lirih
cericit burung. Perlahan dia mendatangi anak yang sedang asyik bermain.
“Wahai anak,
apakah yang berada di tanganmu itu?” sapa Umar dengan lembut.
Wajah si
kecil mendongak, hanya sekilas.
“Tidakkah
pakcik lihat, ini adalah seekor burung,” jawabnya ringkas.
Pandangan
Umar menjadi redup dan tiba-tiba hatinya merasa iba melihat burung itu mencericit
seolah-olah berada dalam keadaan kesakitan. Di dalam hatinya mengalun sebuah
kesedihan, lalu hatinya berbisik, “Burung ini tentu sangat ingin terbang dan
anak ini tidak mengerti jika mahluk kecil ini teraniaya.”
“Bolehkah
aku membelinya? Aku sangat ingin memilikinya,” Dia bersuara dengan penuh
harapan. Si kecil memandang Umar yang tak dikenalnya dengan hairan. Ada riak
kesungguhan pada wajah Umar. Akhirnya dengan agak ragu budak itu berkata,
“Baiklah,” lalu segera bangun dan menyerahkan burung terebut kepada Umar yang
pertama kali dijumpainya.
Tanpa
menunggu, Umar segera menyeluk saku jubah lalu menghulurkan beberapa keping
wang. Dia membawa burung itu agak jauh dari budak itu sebelum dia
melepaskannyaa dengan gembira sambil berkata, “Dengan nama ALLAH yang Maha
Penyayang, terbanglah wahai burung kecil, terbanglah...terbanglah...”
Burung itu
terbang dengan perasaan gembira dan megahnya jauh ke angkasa. Umar menjadi
gembira dan merasa amat bahagia. Sayup-sayup kedengaran suara lelaki dewasa,
lantas segera dia melangkah pergi. Suara itu berkata kepada anak kecil itu,
“Nak, tahukah engkau siapa yang membeli burung itu? Tahukah engkau siapa lelaki
mulia yang kemudian membebaskan burung itu ke angkasa? Dialah Khalifah Umar
nak”
Norziati binti Mohd Rosman
Tiada ulasan:
Catat Ulasan