Sabtu, 16 Februari 2013

Teladan 19 - GAYA PEMERINTAHAN UMAR ABDUL AZIZ


Teladan 19 - GAYA PEMERINTAHAN UMAR ABDUL AZIZ
Gambar hiasan
1. Umar Abdul Aziz Yang Adil
Pada suatu malam, Umar Abdul Aziz melihat dokumen-dokumen kerajaan di rumahnya dibawah cahaya kamar yang suram yang sekaligus memberikannya ketenangan untuk menelaah. Keadaan ini menyebabkan kehadiran isterinya, Fatimah tidak langsung disedarinya yang kemudian menyapanya.
“Yang mulia! Bolehkan kau luangkan sedikit masamu untukku sejenak? Aku ingin merundingkan mengenai hal peribadi denganmu,” kata Fatimah dengan hormat.

“Tentu sahaja,” jawab Umar lalu berpaling dari kertas-kertas di atas mejanya, kemudian menyambung, “Tapi tolong matikan lampu itu, lampu milik negara, dan nyalakan lampumu sendiri. Aku tidak mahu memakai minyak negara bagi membicarakan hal peribadi,” jawabnya.
Sebagai isteri yang patuh, Fatimah menuruti kehendak Umar.

2. Umar Mengelak Pembaziran
Pada suatu hari, Umar mengundang beberapa pemimpinnya untuk makan malam di rumahnya. Sebelum itu, dia memerintahkan tukang masaknya agar melewatkan penyiapan masakan.
Pada saat para tetamunya mula merintih kelaparan, barulah dia meminta jurumasaknya menyediakan santapan. Sebagai mengalas perut, dia menghidangkan dahulu roti panggang. 

Makanan yang sederhana ini segera dimakan oleh Umar dan tetamunya yang kelaparan. Kemudian, makanan siap dimasak dan dihidangkan tetapi ditolak oleh para tetamu yang kekenyangan.

Umar yang amat memahami tingkah laku tetamunya segera berkata, “Wahai saudaraku, jika kau mampu makan dengan makanan yang sederhana lalu mengapa kau sewenang-wenangnya merampas hak milik orang lain?” Ucapan ini ternyata memberikan keinsafan kepada tetamunya sehinggakan mereka menitiskan airmata.

3. Umar menolak hadiah dan suapan
Pernah seseorang menghadiahkan Umar sebakul buah epal kepadanya. Umar amat menghargai pemberian itu, tetapi dia menolak permintaan itu dengan baik. Orang itu memberikan contoh Nabi yang pernah menerima hadiah pemberian sahabat.

“Hadiah itu tidak dapat disangsikan lagi memang untuk Nabi, tetapi andai diberikan kepadaku, ia merupakan satu suapan,” jawab Umar.

4. Ketegasan Umar
Umar membawa banyak pembaharuan dalam pentadbiran, kewangan dan pendidikan. Anaknya, Abdul Malik pernah menasihati Umar agar mengadakan pembaharuan dengan lebih tegas.
“Anakku, ketegasan hanya akan berhasil melalui mata pedang. Tetapi pembaharuan tidak akan mendatangkan manfaat yang baik melalui mata pedang,” Umar menjawab,

Umar memang tidak berminat menyebarluaskan Islam melalui mata pedang dan menjalankan misinya dengan damai dengan mengajak mereka memeluk Islam secara aman.

5. Sikap tawadduk Umar
Pada suatu malam, Umar bin Abdul Aziz sedang menulis di kediamannya. Tiba-tiba terdengar pintu diketuk. Seorang tetamu masuk dan berbincang sesuatu dengannya. Saat itulah lampu yang berada di atas meja Umar menjadi malap dan sepertinya kehabisan minyak.

Tetamu tadi terburu-buru bangkit dari duduknya. “Biar saya yang perbaikinya,” kata tetamu itu dengan tujuan untuk menambah minyak lampu itu.

“Bukanlah perbuatan mulia membiarkan tetamu melakukan kerja,” ujar Umar.
“Kalau begitu, biar saya bangunkan pembantumu!” kata tetamu itu lagi.
“Dia baru saja tidur,” jawab Umar lalu segera bangun dan mengisi minyak lampu.
“Apakah engkau sendiri yang melakukannya, wahai Amirul Mukminin?” tanya tetamu tiu kehairanan.

“Sama ada aku melakukannya atau tidak, tetap saja aku Umar. Tidak ada yang berkurang dariku. Sebaik-baik orang adalah mereka yang tawadhu di sisi ALLAH,” jawab Umar.

Norziati binti Mohd Rosman

Tiada ulasan:

Catat Ulasan