Teladan
4 - Sepuluh Soalan untuk Ali bin Abi Talib
Pada suatu
hari, sepuluh orang dari kaum Khawarij bertemu dengan Ali bin Abi Talib untuk
bertanyakan beberapa soalan. Walau bagaimanapun, mereka sebenarnya bertujuan
untuk menguji kehebatan Ali sama ada ia bertepatan dengan satu hadis Nabi
iaitu: “Aku ini kotanya ilmu pengetahuan, dan Ali adalah sebagai pintunya.”
Sebaik
sahaja bertemu Ali, mereka dilayan dengan begitu baik. Salah seorang dari
mereka kemudian membuka mulut dan berkata, "Wahai Ali, kami yang datang
seramai sepuluh orang ini adalah dihantar oleh kaum kami untuk mengajukan
pertanyaan kepadamu. Kami akan bertanya secara bergilir-gilir dan jawapan yang
kamu berikan itu akan kami bawa pulang kepada kaum kami."
“Baiklah,
apakah soalannya?" Ali kemudian menjawab.
“Wahai Ali,
yang manakah lebih mulia, ilmu pengetahuan atau harta benda, dan apakah
sebabnya?” tanya orang pertama.
Lalu Ali
menjawab, “Ilmu pengetahuan itu adalah warisan para nabi, sedangkan harta
kekayaan adalah warisan daripada Qarun, Syadad dan lain-lain. Oleh kerana itu,
ilmu pengetahuan lebih mulia daripada harta benda.”
Kemudian
orang kedua pula bertanya, “Manakah yang lebih mulia, ilmu pengetahuan atau
harta benda, dan jelaskan sebab-sebabnya?"
“Ilmu lebih
mulia daripada harta, kerana ilmulah yang menjaga dan memelihara pemiliknya,
sedangkan harta, si pemiliknya lah yang memelihara dan menjaganya,” jawab Ali.
Setelah Ali
berjaya menjawab soalan daripada orang pertama dan kedua, orang ketiga,
keempat, kelima, hingga kesepuluh bergilir menanyakan soalan, sama seperti yang
diajukan oleh orang pertama dan kedua.
Kepada orang
yang ketiga, Ali menjawab: “Ilmu lebih mulia daripada harta kerana orang yang
berilmu banyak sahabatnya, sedangkan orang yang banyak hartanya lebih banyak
musuhnya.”
Kepada orang
yang keempat, Ali menjawab: “Ilmu lebih mulia daripada harta kerana ilmu bila
disebarkan atau diajarkan akan bertambah sedangkan harta kalau diberikan kepada
orang lain akan berkurangan.”
Kepada orang
yang kelima, Ali menjawab: “Ilmu lebih mulia daripada harta, kerana ilmu tidak
dapat dicuri, sedangkan harta benda mudah dicuri dan dapat lenyap.”
Kepada orang
yang keenam, Ali menjawab: “Ilmu lebih mulia daripada harta kerana ilmu tidak
akan rosak binasa, sedangkan harta kekayaan boleh lenyap dan habis akibat masa
dan usia.”
Kepada orang
yang ketujuh Ali menjawab: “Ilmu lebih mulia daripada harta kerana ilmu tidak
ada batasnya, sedangkan harta benda ada batasnya dan dapat dihitung jumlahnya.”
Kepada orang
yang kelapan Ali menjawab: “Ilmu lebih mulia daripada harta kerana ilmu memberi
dan memancarkan sinar kebaikan, menjernihkan fikiran dan hati serta menenangkan
jiwa, sedangkan harta kekayaan pada umumnya dapat menggelapkan jiwa dan hati pemiliknya.”
Kepada orang
yang kesembilan Ali menjawab: “Ilmu lebih mulia daripada harta kerana orang
yang berilmu mencintai kebajikan dan kata-katanya mulia seperti orang yang
warak, sedangkan orang yang berharta boleh menjadi melarat dan lebih cenderung kepada
sifat-sifat kikir dan bakhil.”
Akhirnya
kepada orang yang kesepuluh Ali menjawab: “Ilmu lebih mulia dan lebih utama
daripada harta kekayaan kerana orang yang berilmu lebih terdorong untuk
mencintai Allah, sedangkan harta benda hanya membangkitkan rasa sombong,
bongkak dan takbur.”
Kemudian Ali
menyambung dengan membaca ayat Al-Quran dari Surah Al Mujaadilah (58:11) yang bermaksud:
“ALLAH akan meninggikan orang yang beriman diantaramu dan orang-orang yang
diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan ALLAH Maha Mengetahui apa yang
kamu kerjakan.”
Sepuluh
orang kaum Khawarij itu menjadi kagum kerana satu pertanyaan mereka dapat
dijawab oleh Ali dengan sepuluh jawapan yang berbeza. Selepas itu, mereka
pulang menemui kaum mereka dengan perasaan puas serta bertambah yakin bahwa
Khalifah Ali benar-benar seperti yang dikatakan oleh Nabi, iaitu sebagai pintu
gerbang ilmu.
norziati@gmail.com
http://kisahseributeladan.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan