Teladan 26 - FITNAH TERHADAP UTHMAN DAN ALI
Uthman bin Affan dilantik menjadi Khalifah ketiga selepas Umar al-Khattab dibunuh oleh musuh dalam selimut dari golongan munafik. Ketika itu, keadaan masih lagi bergolak dan huru-hara. Walaupun begitu, dengan ketegasan sikap dan kebijaksanaan Uthman yang berjiwa lembut, suasana pemerintahan dapat dikendalikannya secara aman, hingga menyebabkan ramai penganut agama lain memeluk Islam. Salah seorang daripadanya adalah seorang pemuda Yahudi dari Yaman yang bernama Abdullah bin Saba'.
Namun Abdullah mempunyai tujuan lain disebalik usahanya memeluk Islam. Pada suatu hari, Abdullah berangkat dari Yaman ke Madinah. Dia mengharapkan Uthman selaku penguasa negara memberikan penghormatan dan kedudukan kerajaan kepadanya. Apabila tiba, dia meminta izin mengadap Uthman. Setelah diperkenankan, dia menyampaikan keinginannya agar diberi kedudukan tinggi di salah satu jabatan terpenting dalam bidang apa saja.
“Aku hanya seorang pelayan umat. Aku diangkat menjadi Khalifah bukanlah atas keinginanku bahkan atas kesepakatan para sahabat yang lain,” kata Uthman dengan lembut sambil cuma menolak permintaan Abdullah itu.
”Tidakkah tuan tahu bahawa jawatan bukanlah satu kehormatan tetapi merupakan satu amanah. Apakah tuan sudah sanggup memikul amanah itu sedangkan tuan baru sahaja memeluk Islam dan lebih daripada itu tidak layak sesuatu kedudukan diminta atau diminati, kerana ALLAH yang memberi atau mencabut kedudukan seseorang,” Uthman berkata lagi.
Abdullah keluar dengan perasaan hampa. Dia telah bersusah payah memeluk Islam dan menempuh perjalanan yang jauh dengan harapan untuk memperolehi sanjungan dan mendapat jawatan tinggi, tetapi ternyata hanya memperolehi nasihat dan teguran. Semenjak dari itu Abdullah, menyimpan dendam kepada Uthman, umat Islam dan agama Islam. Ia bertekad untuk membinasakan umat Islam dan mengacau ajarannya.
Sehubungan dengan itu, Abdullah sentiasa berusaha menabur fitnah kepada orang ramai dengan berkata bahawa pewaris dan Khalifah yang sah adalah Ali bin Abi Talib. Sebahagian daripada masyarakat telah terpengaruh dengan hasutan tersebut sehingga mereka menubuhkan kumpulan yang dipanggil Syiah Saba'iyah, iaitu kaum Syiah sekarang.
Fitnah yang disebarkan oleh Abdullah begitu berkesan sehingga ia berani berkata “Sesungguhnya yang menjadi Nabi pilihan ALLAH adalah Ali bin Abi Talib. Hanya kebetulan pada ketika itu malaikat Jibrail sedang mengantuk sehingga wahyu ALLAH diberikan kepada Muhammad iaitu orang yang tidak berhak,” katanya dengan angkuh.
Mendengar khabar beracun seperti itu, Ali menjadi sangat marah. Apabila Ali dilantik menjadi Khalifah keempat menggantikan Uthman, dia mengusir Abdullah keluar dari Madinah.
Norziati binti Mohd Rosman
Tiada ulasan:
Catat Ulasan