Teladan 35 - Peristiwa Ketika Penghijrahan Abu Bakar
Gambar hiasan |
Ketika Abu Bakar as-Siddiq r.a. berhijrah bersama-sama Rasulullah saw, dia membawa bersama seluruh hartanya yang berjumlah 5000 hingga 6000 dirham. Setelah dia pergi, Abu Qahafah, ayah Abu Bakar r.a yang buta datang menemui Asma’.
“Demi ALLAH, sesungguhnya aku melihat dia telah menyusahkan kamu dengan hartanya. Tentunya seluruh hartanya telah dibawa bersama. Sungguh ia telah semakin banyak membebani kalian,” kata Abu Quhafah kepada Asma’ dan Aisyah.
“Tidak, tidak, sesekali. Ayah juga meninggalkan hartanya untuk kami,” kata Asma’ bagi menyangkal dakwaan Abu Quhafah itu.
Lalu Asma’ mengumpul batu-batu kecil kemudian diletakkan di lubang angin di mana Abu Bakar pernah meletakkan wang dirhamnya. Kemudian dia menutupnya dengan selembar baju.
Setelah itu Asma' memegang tangan Abu Quhafah. “Letakkan tanganmu di atas wang ini,” katanya.
Maka Abu Quhafah meletakkan tangannya di atasnya dan beranggapan bahawa itu adalah wang yang ditinggalkan oleh Abu Bakar.
“Ayahmu memang telah berbuat baik. Kalian telah ditinggalkan dalam keadaan yang baik Ini sudah cukup bagi kamu,” katanya.
Sesudah itu, Asma’ berkata, “Demi ALLAH, sesungguhnya ayahku tidak meninggalkan harta sedikit pun. Aku berbuat demikian semata-mata untuk menenangkan hati Abu Quhafah, supaya dia tidak bersedih hati.”
Norziati binti Mohd Rosman
http://kisahseributeladan.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan