Rabu, 20 Februari 2013

Teladan 39 - Tsabit bin Ibrahim dengan sebiji epal


Teladan 39 - Tsabit bin Ibrahim dengan sebiji epal
Gambar hiasan
Pada suatu hari, Tsabit bin Ibrahim sedang berjalan di pinggir kota Kufah. Tiba-tiba dia melihat sebiji buah epal jatuh ke luar pagar sebuah kebun buah-buahan. Melihat epal yang merah ranum di atas tanah itu, maka terliurlah Tsabit. Lebih-lebih lagi pada hari yang panas terik dan rasa lapar serta haus. Maka tanpa berpikir panjang dia mengambil epal itu dan memakannya. Akan tetapi baru setengahnya di makan dia teringat bahawa buah epal itu bukan miliknya dan dia belum mendapat izin pemiliknya.

Maka ia segera pergi ke dalam kebun buah-buahan itu untuk menemui pemiliknya agar menghalalkan buah apel yang telah dimakannya. Di kebun itu ia bertemu dengan seorang lelaki.
“Aku sudah memakan setengah dari buah epal ini. Aku berharap kamu boleh menghalalkannya,” kata Tsabit kepada lelaki itu.

“Aku bukan pemilik kebun ini. Aku hanya pekerjanya yang ditugaskan merawat dan menguruskan kebunnya,” jawab orang itu.

“Di mana rumah pemiliknya? Aku mahu menemuinya dan minta agar dihalalkan epal yang telah kumakan ini,” Tsabit berkata lagi dengan nada menyesal.

“Apabila engkau ingin pergi ke sana maka engkau harus menempuh perjalanan sehari semalam,” kata lelaki itu.

“Tidak mengapa. Aku akan tetap pergi menemuinya, meskipun rumahnya jauh. Aku telah memakan epal yang tidak halal bagiku kerana makan tanpa izin pemiliknya. Bukankah Rasulullah Saw sudah memperingatkan kita bahawa: ‘Siapa yang tubuhnya tumbuh dari yang haram, maka ia lebih layak menjadi umpan api neraka’,” kata Tsabit yang bertekad untuk menemui si pemilik kebun itu.

Apabila Tsabit tiba dirumah pemilik kebun itu, dia mengetuk pintu. Setelah si pemilik rumah membukakan pintu, Tsabit langsung memberi salam dengan sopan.

“Wahai tuan yang pemurah, saya sudah terlanjur makan setengah dari buah epal tuan yang jatuh ke luar kebun tuan. Kerana itu sudikah tuan menghalalkan apa yang sudah saya makan?”

Lelaki tua yang ada di hadapan Tsabit mengamatinya dengan cermat. Lalu dia berkata. “Tidak, aku tidak boleh menghalalkannya kecuali dengan satu syarat.”

Tsabit merasa khuatir dengan syarat itu kerana takutd ia tidak boleh memenuhinya.

“Apakah syaratnya tuan?” Tsabit bertanya.

“Engkau harus mengawini putriku!” segera ia bertanya orang itu menjawab.

Tsabit tidak memahami apa maksud dan tujuan lelaki itu. “Apakah kerana hanya aku makan setengah buah epalmu yang jatuh ke luar dari kebunmu, maka aku harus mengahwini putrimu?” dia bertanya dengan hairan.

Tetapi pemilik kebun itu tidak melayan kata-kata Tsabit. “Sebelum bernikah, engkau harus mengetahui dulu kekurangan anakku ini. Dia seorang yang buta, bisu, dan tuli. Lebih dari itu ia juga seorang gadis yang lumpuh!” kata lelaki itu sekadar menambah kegusaran Tsabit.

Tsabit amat terkejut dengan keterangan si pemilik kebun. Dia berfikir, apakah perempuan seperti itu patut menjadi isterinya hanya kerana memakan setengah buah epal tanpa keizinan pemiliknya?
“Selain syarat itu, aku tidak boleh menghalalkan apa yang telah kau makan,” tambah pemilik kebun itu lagi.

Kemudian, Tsabit menjawab dengan tenang. “Baiklah, aku terima pinangan ini dan berkahwin dengan anakmu. Aku telah bertekad akan mengadakan transaksi dengan ALLAH Rabbul 'Alamin. Untuk itu aku akan memenuhi kewajiban-kewajiban dan hak-hakku kepadanya karena aku amat berharap ALLAH selalu meridhaiku dan mudah-mudahan aku dapat meningkatkan kebaikan-kebaikanku di sisi ALLAH Ta'ala.”

Kemudian, pernikahan pun dilaksanakan. Pemilik kebun itu membawa dua orang sebagai saksi akad nikah mereka. Sesudah itu, Tsabit dipersilahkan masuk menemui isterinya. Sewaktu Tsabit hendak masuk bilik pengantin, dia berfikir untuk mengucapkan salam biarpun dia tahu isterinya tuli dan bisu. Dia tahu kerana Malaikat yang berkeliaran dalam rumahnya tentu tidak tuli dan bisu.

Apabila dia mengucapkan salam, Tsabit terkejut kerana wanita telah menjadi isterinya itu menjawab salamnya dengan baik. Ketika Tsabit mengulurkan tangan menghampiri wanita itu, sekali lagi Tsabit terkejut kerana itu menyambut huluran tangannya.

Dalam hatinya, Tsabit berkata, “Kata ayahnya, dia wanita tuli dan bisu tetapi dia boleh menyambut salamnya dengan baik. Jika demikian wanita yang di hadapanku ini dapat mendengar dan tidak bisu. 

Ayahnya juga mengatakan bahawa dia buta dan lumpuh tetapi ternyata dia menyambut kedatanganku dengan ramah dan mengulurkan tangan dengan mesra pula,” Tsabit berfikir mengapa ayahnya menyampaikan berita-berita yang bertentangan dengan kenyataan yang sebenarnya.

Setelah itu Tsabit duduk di samping isterinya. “Ayahmu mengatakan kepadaku bahawa engkau buta. Mengapa?” dia bertanya.

“Ayahku benar, kerana aku tidak pernah melihat apa-apa yang diharamkan ALLAH,” jawab isterinya.

“Ayahmu juga mengatakan bahawa engkau tuli. Mengapa?” Tsabit bertanya lagi.

“Ayahku benar, kerana aku tidak pernah mendengar berita dan cerita orang yang tidak membuat ridha ALLAH. Ayahku juga mengatakan kepadamu bahawa aku bisu dan lumpuh, bukan?" tanya wanita itu kepada Tsabit yang kini sah menjadi suaminya.

Tsabit mengangguk perlahan mengiyakan pertanyaan isterinya. Selanjutnya wanita itu berkata, "aku dikatakan bisu kerana dalam banyak hal aku hanya mengunakan lidahku untuk menyebut nama ALLAH saja. Aku juga dikatakan lumpuh kerana kakiku tidak pernah pergi ke tempat-tempat yang boleh mendatangkan kegusaran ALLAH.”

Tsabit amat bahagia mendapatkan isteri yang ternyata amat saleh dan wanita yang akan memelihara dirinya dan melindungi hak-haknya sebagai suami dengan baik.

“Ketika kulihat wajahnya, Subhanallah, dia bagaikan bulan purnama di malam yang gelap,” kata Tsabit yang berbangga tentang isterinya.

Tsabit dan isterinya hidup aman dan bahagia. Tidak lama kemudian mereka dikurnai seorang putera yang ilmunya memancarkan hikmah ke penjuru dunia. Itulah Abu Hanifah An Nu'man bin Tsabit.

Norziati binti Mohd Rosman
http://kisahseributeladan.blogspot.com

Teladan 38- Mas kahwin Fatimah

Teladan 38- Mas kahwin Fatimah
Gambar hiasan
Ketika  ALLAH memerintahkan Rasulullah untuk mencarikan suami bagi anaknya, Rasulullah memanggil semua sahabatnya tanpa sebarang diskriminasi.

ALLAH memerintahkan aku untuk memberitahu kamu bahawa sesiapa yang mampu membaca seluruh Al-Qur’an pada malam, ini boleh menikahi puteriku, Fatimah, jika dia menerimanya,” kata Rasulullah.

Malam itu, semua sahabat berusaha menyelesaikan seluruh bacaan Qur’an, kecuali Ali bin Abi Talib yang pulang ke rumah untuk tidur. Ketika Bilal mengumandangkan azan subuh, semua orang berkumpul di masjid termasuk Rasulullah saw.

Ketika Nabi menanyakan siapa yang sudah menyelesaikannya, tidak seorangpun menjawabnya, kerana amat susah menamatkan 30 juz dalam waktu 7-8 jam saja. Namun Ali bin Abi Talib berkata, “Ya Rasulullah saw, aku telah menamatkan seluruh Al-Quran semalam.”

Sahabat-sahabat yang lain melihat ke arah Ali dengan hairan. “Bagaimana kamu menyelesaikannya? Bukankah kamu tidur semalaman,” tanya salah seorang dari mereka.
“Tidak, aku memang menyelesaikannya,” Ali menjawab.
“Siapa saksimu, Ali?” soal Rasulullah saw.

ALLAH adalah saksiku dan engkau, ya Nabi saw adalah juga saksiku,” Ali menjawab ringkas.
“Aku membaca ‘Laa ilaha ill Allah, Muhammad Rasulullah’ sebanyak 3 kali, Astaghfirullah (70 kali), Surah Al Fatihah (1 kali), Surah Al Ikhlas (3 kali), Surah Al Falaq (1 kali), Surah An Naas (1 kali), Laa ilaha ill ALLAH (10 kali), dan Selawat Nabi ‘Allahumma solli alaa Muhammadin wa alaa ali muhamaddin wa salim’ sebanyak 10 kali,” Ali menyambung.

Sebagaimana ALLAH memberi kesaksian, aku juga memberi kesaksian bahawa Ali telah menyelesaikan seluruh bacaan Qur’an. Jika kamu membaca seperti apa yang dibaca oleh Ali, sama seperti dia membaca 30 juzuk Al Qur’an,” kata Rasulullah saw.

“Fatimah, apakah engkau menerima Ali sebagai suamimu?” Rasulullah saw. bertanya pada puterinya.

“Dengan satu syarat,” Fatimah menjawab.

Semua sahabat mulai memandang pada Ali, Fatimah dan kemudian kepada Nabi. Ketika Nabi saw berfikir mengapa Fatimah mengajukan syarat itu, malaikat Jibril turun dan berkata pada beliau, “Wahai Nabi, jangan tergesa-gesa mengambil keputusan, ALLAH Yang mengatakan padamu untuk menanyakan syarat apa yang ingin dia ajukan.”

“Apa syaratmu, Fatimah ?” tanya Rasulullah saw.

“Syarat itu bukan untuk Ali, tapi dari diriku sendiri. Jika ini dipenuhi, maka aku menerimanya. Jika tidak, aku menolak untuk menikah dengan Ali” jawab Fatimah.

Kemudian Jibril mengingatkan Rasulullah saw. akan pesan ALLAH untuk menanyakan apa syarat yang diinginkannya.

“Sekarang dengarkan apa yang Allah letakkan pada hati Fatimah, sebagai manfaat dan darjat para wanita dalam kerohanian, ” kata Jibril

“Apa syaratmu, Fatimah?” sekali lagi Nabi bertanya

“Aku selalu mendengarmu berdoa bagi umatmu siang dan malam. Engkau mengatakan Ya ALLAH, izinkan aku memimpin umatku untuk-Mu! Ampuni mereka ! Sucikan mereka! Angkatlah semua dosa-dosa, kesulitan dan beban-beban mereka!” jawab Fatimah,

“Aku mendengarmu ya Rasulullah, dan melihat bagaimana engkau menderita demi umatmu. Dari apa yang engkau tuturkan, aku tahu bahawa ketika wafat, dalam kubur, dan kiamat nanti engkau akan selalu menyebut, Umatku..Umatku ! Pada ALLAH. Sebagaimana cintamu pada umatmu seperti itu juga yang ada dalam hatiku. Aku ingin seluruh umatmu sebagai mas kahwinku. Jika engkau menerimanya, aku bersedia menikah dengan Ali,” sambung Fatimah sebagai menyatakan keinginannya.

Apa yang diminta oleh Fatimah adalah seluruh umat Nabi, semua tanpa terkecuali sebagai mas kahwinnya. Oleh itu kerana ia tidak terletak di tangannya, Rasulullah perlu menunggu kedatangan Malaikat Jibril yang lama tidak juga menampakkan dirinya.

ALLAH menyampaikan Assalamu'alaikum kepadamu dan menerima permintaan Fatimah. 
ALLAH swt menganugerahan apa yang dimintanya sebagai mas kahwin untuk bernikah dengan Ali,” kata Jibril ketika dia datang.

Segera Nabi berdiri dan mengerjakan solat 2 rakaat sebagai rasa syukur pada ALLAH swt. Fatimah ternyata mementingkan pengorbanannya bagi umat Nabi saw. Tidak seorang umat pun yang akan berada diluar mas kahwin Fatimah, kerana jika ALLAH menarik satu umat dari mas kahwin itu, maka pernikahannya dengan Ali dianggap tidak sah.

Norziati binti Mohd Rosman

Teladan 37 - Peristiwa Turunnya Wahyu Pertama


Teladan 37 - Peristiwa Turunnya Wahyu Pertama
Gua Hira
Nabi Muhammad saw mengorbankan sebahagian besar waktunya dengan bermeditasi di dalam kesunyian Gua Hira. Pada suatu hari, ketika baginda sedang tekun bermeditasi, baginda menerima wahyu yang pertama. Malaikat Jibril mewahyukan kepadanya firman Tuhan yang pertama, yang termaktub dalam Qur’an melalui surah Iqra’.

Nabi Muhammad menjadi sangat gelisah mendapatkan pengalaman baru itu, dan sampai di rumah baginda menggigil ketakutan, lalu berbaring di tempat tidur dengan suhu badannya sangat tinggi.

Isterinya, Khadijah, menjadi sangat khuatir dengan keadaan yang luar biasa itu. Kemudian, Nabi dirawat dan ditanya sebab kegelisahan itu. Nabi Muhammad saw menceritakan seluruh kejadian tentang pengalamannya dengan wahyu pertama yang aneh itu. Dengan sangat gembira Khadijah memberikan ucapan selamat kerana suaminya telah diangkat ke tingkat yang tertinggi, menjadi utusan Tuhan.

Dia berkata, “Bergembiralah, kerana Tuhan tidak akan meninggalkanmu.”
Khadijah kemudian menjadi orang yang pertama memeluk Islam.

Norziati binti Mohd Rosman

Teladan 36 - Perkahwinan Muhammad-Khadijah

Teladan 36 - Perkahwinan Muhammad-Khadijah
Gambar hiasan
Khadijah cukup tertarik dengan sifat yang ada pada Muhammad dan menerimanya bekerja. Muhammad dihantar ke Basrah membawa barang dagangan Khadijah. Setelah tiga bulan sekembalinya dari Basrah - Khadijah mengajukan lamaran untuk menikahinya. Waktu itu Muhammad berusia 25 tahun, dan Khadijah 40 tahun.

Pada zaman itu wanita Arab bebas menentukan kehendaknya sendiri dalam hal pernikahan, oleh kerana itu Khadijah terus membicarakan lamarannya dengan Muhammad. Pada hari yang telah ditentukan, sanak keluarga Muhammad, termasuk bapa saudaranya, Abu Talib dan Hamzah, berkumpul di rumah Khadijah. Abu Taliblah yang memberikan kata sambutan dalam upacara pernikahan mereka.

Nabi Muhammad tidak menikah dengan wanita lain selama Khadijah masih hidup. Usia perkahwiana mereka 25 tahun lamanya dan Khadijah meninggal dunia tiga tahun sebelum Hijrah. Khadijah melahirkan enam orang anak anak, dua lelaki dan empat perempuan.

Anak lelakinya ialah Qasim dan Abdullah, kedua-duanya meninggal sewaktu masih bayi manakala empat orang anak perempuannya bernama, Fatima az-Zahra, Zainab, Ruqaya, dan Ummi Kalsum. Oleh kerana anaknya bernama Qasim, kadang-kadang Nabi disebut Abul Qasim (ayah Qasim).

Zainab dikahwinkan dengan sepupunya. Kedua anak perempuan lainnya, Ruqaya dikahwinkan dengan Uthman yang kemudian menjadi khalifah ketiga. Ummi Kalsum juga dikahwinkan dengan Uthman setelah Ruqaya meninggal dunia. Fatima az-Zahra, anak yang paling disayangi oleh Rasulullah berkahwin dengan Ali Abi Talib.

Keturunan penerus Nabi ialah melalui anak lelaki Fatima Zahra, iaitu Hasan dan Husain. Kecuali Ibrahim yang juga meninggal dunia dalam usia muda, semua anak Nabi diperoleh dari perkawinan baginda dengan Khadijah.

Norziati binti Mohd Rosman

Teladan 35 - Peristiwa Ketika Penghijrahan Abu Bakar

Teladan 35 - Peristiwa Ketika Penghijrahan Abu Bakar
Gambar hiasan
Ketika Abu Bakar as-Siddiq r.aberhijrah bersama-sama Rasulullah saw, dia membawa bersama seluruh hartanya yang berjumlah 5000 hingga 6000 dirham. Setelah dia pergi, Abu Qahafah, ayah Abu Bakar r.a yang buta datang menemui Asma’.

“Demi ALLAH, sesungguhnya aku melihat dia telah menyusahkan kamu dengan hartanya. Tentunya seluruh hartanya telah dibawa bersama. Sungguh ia telah semakin banyak membebani kalian,” kata Abu Quhafah kepada Asma’ dan Aisyah.

“Tidak, tidak, sesekali. Ayah juga meninggalkan hartanya untuk kami,” kata Asma’ bagi menyangkal dakwaan Abu Quhafah itu.

Lalu Asma’ mengumpul batu-batu kecil kemudian diletakkan di lubang angin di mana Abu Bakar pernah meletakkan wang dirhamnya. Kemudian dia menutupnya dengan selembar baju.

Setelah itu Asma' memegang tangan Abu Quhafah. “Letakkan tanganmu di atas wang ini,” katanya.

Maka Abu Quhafah meletakkan tangannya di atasnya dan beranggapan bahawa itu adalah wang yang ditinggalkan oleh Abu Bakar.

“Ayahmu memang telah berbuat baik. Kalian telah ditinggalkan dalam keadaan yang baik Ini sudah cukup bagi kamu,” katanya.

Sesudah itu, Asma’ berkata, “Demi ALLAH, sesungguhnya ayahku tidak meninggalkan harta sedikit pun. Aku berbuat demikian semata-mata untuk menenangkan hati Abu Quhafah, supaya dia tidak bersedih hati.”

Norziati binti Mohd Rosman
http://kisahseributeladan.blogspot.com

Teladan 34 - Sifat Malu Asma’ Abu Bakar


Teladan 34 - Sifat Malu Asma’ Abu Bakar
Gambar hiasan
Ketika Rasulullah saw. sampai di Madinah, Zubair telah diberi hadiah oleh Rasulullah berupa sebidang tanah, lebih kurang 2 mil jauhnya dari kota. Di kebun itu Asma’ dan Zubair menanam pohon-pohon kurma.

Suatu hari, ketika Asma’ sedang berjalan sambil membawa kurma di atas kepala yang diambil dari kebun tersebut, dia bertemu Rasulullah dan beberapa sahabat Ansar yang sedang menunggang unta. Rasulullah menghentikan untanya lalu meminta Asma’ naik ke atas unta tersebut.

Asma’ merasa malu dnegan Rasulullah dan sahabat yang lain. Tambahan pula dia merasa risau tentang Zubair yang sangat cemburu dan dia takut jika Zubair memarahinya. Rasulullah bagaikan memahami perasaan Asma’, lalu meninggalkannya. Asma’ segera pulang ke rumah.

Setibanya di rumah, dia menceritakan peristiwa tersebut kepada Zubair tentang perasaan malunya dan perasaan risau terhadap cemburu Zubair yang boleh bertukar menjadi marah. Namun, Zubair berkata, “Demi ALLAH aku lebih cemburu kepadamu yang selalu membawa isi-isi kurma di atas kepalamu sementara aku tidak dapat membantumu.”

Selepas peristiwa itu, Abu Bakar, ayah Asma’ memberikan seorang hamba sahaya kepadanya. Dengan adanya pembantu di rumah, maka segala kerja menjadi lebih mudah baginya.

Norziati binti Mohd Rosman

Teladan 33 - Mimpi Melihat Neraka


Teladan 33 - Mimpi Melihat Neraka
Gambar hiasan
Pada zaman Rasulullah saw, jika ada para sahabat bermimpi, biasanya mereka akan mengadukan dan menceritakannya kepada baginda.

Pada suatu malam, Abdullah bin Umar ra, yang masih remaja pergi ke Masjid Nabawi. Dia membaca al Quran sampai keletihan dan setelah cukup lama membaca Quran, dia tidur.
Seperti biasa, sebelum tidur dia menyucikan diri dengan cara berwudhuk, kemudian merebahkan badan dan berdoa, “Bismika Allahumma ayha wa bismika amutu; (Ya ALLAH, dengan nama Mu aku hidup dan dengan nama Mu aku mati.)”

Sambil memejamkan mata, Abdullah bin Umar terus bertasbih menyebut nama ALLAH hingga akhirnya terlelap. Di dalam tidurnya yang nyenyak, dia bermimpi.

Dalam mimpinya, dia berjumpa dengan dua malaikat. Tanpa berkata apa, kedua malaikat itu memegang kedua tangannya dan membawanya ke neraka. Dalam mimpinya, neraka itu bagai perigi yang menyalakan api berkobar kobar. Cukup luar biasa panasnya. Di dalam neraka itu, dia melihat beberapa orang yang dikenalinya. Mereka terpanggang dan menanggung siksa yang sungguh pedih.
Menyaksikan neraka yang mengerikan dan menakutkan itu, Abdullah bin Umar seketika berdoa, “A'udzubillahi minannaazi. (Aku berlindung kepada ALLAH dari api neraka).”

Setelah itu, Abdullah bertemu dengan malaikat lain. Malaikat itu berkata, “Kau belum terjaga dari api neraka!”

Pagi harinya, Abdullah menangis mengingat mimpi yang dialaminya. Lalu, dia pergi ke rumah Hafsah binti Umar, kakaknya dan juga isteri Rasulullah saw. Dia menceritakan perihal mimpinya itu dengan hati yang cemas.

Setelah itu, Hafsah menemui Rasulullah saw dan menceritakan mimpi Abdullah itu. Seketika kemudian, Rasulullah saw berkata, “Sebaik-baik lelaki adalah Abdullah bin Umar kalau dia mahu melakukan solat malam!”

Mendengar sabda Nabi itu, Hafsah bergembira. Dia terus menemui adiknya.

“Nabi mengatakan bahawa kau adalah sebaik baik lelaki jika kau melakukan solat malam. Dalam mimpimu itu, malaikat yang terakhir kau temui mengatakan bahawa kau belum terjaga dari api neraka. Itu kerana kau tidak melakukan solat tahajud. Jika kau ingin terselamatkan dari api neraka, dirikanlah solat Tahajud setiap malam. Jangan kau sia- siakan waktu sepertiga malam; waktu di mana ALLAH Swt memanggil manggil hamba Nya; waktu ketika ALLAH mendengar doa hamba-Nya,” kata Hafsah kepada Abdullah.

Sejak itu, Abdullah tidak pernah meninggalkan solat Tahajud hingga ke akhir hayatnya. Bahkan, kerap kali dia menghabiskan waktu malamnya untuk solat dan menangis di hadapan ALLAH Swt. Setiap kali mengingat mimpinya itu, dia menangis. Dia berdoa kepada ALLAH agar diselamatkan dari api neraka.

Apatah jika dia mengingati sabda Rasulullah saw yang bermaksud, “Sesungguhnya penghuni neraka yang paling ringan siksanya pada hari kiamat adalah seseorang yang diletakkan pada kedua tepak kakinya bara api yang membuat otaknya mendidih. Dia merasa tidak ada orang lain yang lebih berat siksanya daripada dia. Padahal, sesungguhnya siksa yang ia terima adalah yang paling ringan di dalam neraka.”

Abdullah berusaha sekuat tenaga untuk beribadah kepada ALLAH, mencari redha ALLAH, agar termasuk dalam kalangan hamba-Nya yang terhindar dari siksa neraka dan memperoleh kemenangan syurga.

Norziati binti Mohd Rosman

Teladan 32 - Bayi Hijrah Pertama

Teladan 32 - Bayi Hijrah Pertama

Pada suatu hari, Rasulullah saw. dan Abu Bakar r.a. telah mengarahkan Zaid r.a. dan beberapa orang pegawainya untuk mengambil kuda dan keluarganya untuk dibawa ke Madinah.

Asma berhijrah bersama-sama dengan rombongan tersebut. Sebaik sahaja tiba di Quba –lahirlah putera pertamanya, iaitu Abdullah bin Zubair.

Dalam sejarah Islam, itulah bayi pertama yang dilahirkan setelah hijrah.

Norziati binti Mohd Rosman

Teladan 31 - Nusaibah Serikandi Perang


Teladan 31 - Nusaibah Serikandi Perang
Gambar hiasan
Nusaibah merupakan salah seorang daripada serikandi Islam dan merupakan pejuang Muslimah Islam yang pertama. Dia turut serta dalam Perang Uhud, Perang Hudaibiyyah, Perang Hunain dan Perang Yamamah serta menyaksikan Bait al-Aqabah.

Nusaibah di Perang Uhud
Ketika Perang Uhud, Nusaibah keluar memberi minum kepada pasukan Muslimin yang kehausan dan merawat mereka yang mendapat luka. Apabila tentera Islam menjadi terdesak dan lari dari medan perang, cuma ada seratus orang sahaja yang tetap bertahan dan Nusaibah adalah salah seorang yang menghunuskan pedang serta memakai perisai bagi melindungi Rasulullah dari dikejar musuh.

Kesungguhan Nusaibah melindungu Rasulullah begitu hebat, hinggakan Rasulullah berkata, “Aku tidak menoleh ke kiri dan ke kanan kecuali melihat Ummu Imarah (Nusaibah) berperang di hadapanku.”

Ketika itu, anaknya Abdullah luka parah ditikam musuh. Dia mengikat luka anaknya lalu berkata, “Bangun wahai anakku.” Anaknya itu terus bangun dan melawan tentera musuh.

Rasulullah yang melihat peristiwa itu merasa terharu. “Wahai Ummu Imarah, siapakah yang mampu berbuat seperti mana yang engkau lakukan?” kata Rasulullah kepadanya.

Ketika tentera musuh yang menikam anaknya itu menghampiri, Rasulullah berkata kepadanya, “Ini dia orang yang telah melukakan anakmu.” Nusaibah menghampiri orang itu dan menikam betisnya dengan pedang.

“Ya, Ummu Imarah! Engkau berjaya membalasnya,” kata Rasulullah sambil tersenyum melihat kesungguhan Nusaibah.

Kemudian, Nusaibah dengan bantuan beberapa tentera Muslimin berjaya membunuh orang itu. Melihatkan keadaan ini, Rasulullah berkata, “Segala puji bagi ALLAH yang telah menenangkanmu dan menggembirakan hatimu daripada musuhmu serta memperlihatkan balas dendammu di hadapanmu.”

Ketika Perang Uhud ini, Nusaibah mengalami luka yang banyak, terutamanya di bahagian bahu. Rasulullah memeriksa lukanya lalu meminta Abdullah, anaknya untuk mengikat luka tersebut sambil berkata, “Semoga ALLAH sentiasa memberkati dan merahmati kamu semua.”

Nusaibah mendengar kata-kata Rasulullah itu. “Ya Rasulullah! Mohonlah kepada ALLAH agar kami boleh menemanimu di syurga nanti,” kata Nusaibah.

Maka Rasulullah pun berdoa, “Ya ALLAH! Jadikalnlah mereka semua ini penemanku di syurga kelak.”
“Aku tidak akan mengeluh setiap musibah yang menimpa diriku di dunia ini,” kata Nusaibah sebagai membalas.

Nusaibah di Perang Yamamah
Perang terakhir yang diikuti oleh Nusaibah ialah Perang Yamamah. Perang ini berlaku ketika pemerintahan Khalifah Abu Bakar As-Siddiq bagi memerangi orang-orang murtad yang diketuai oleh Musailamah al-Kazzab.

Nusaibah berperang dengan sesungguh hatinya walaupun ketika itu sebelah tangannya telah putus. Ketika tentera Islam berjaya membunuh Musailamah dan para pengikutnya, dia bersujud kepada ALLAH sebagai tanda kesyukuran akan berakhirnya fitnah tersebut.

Nusaibah dikurniakan ALLAH dengan pelbagai kelebihan yang tiada pada orang lain. Ketika Rasulullah mencukur rambutnya di al-Hudaibiyyah, para sahabat berusaha mendapatkan rambut tersebut. Nusaibah mengambil beberapa helai rambut dan air cucian rambut ini digunakan oleh pesakit untuk mandi dan minum. Dengan izin ALLAH, pesakit itu sembuh.

Sebelah tangannya telah putus ditetak musuh semasa Perang Yamamah. Apabila ada orang yang sakit datang menemuinya, Nusaibah akan mengusap si pesakit menggunakan tangannya yang kudung itu sambil berdoa supaya sembuh. Dengan izin ALLAH, pesakit itu sembuh.

Norziati binti Mohd Rosman

Isnin, 18 Februari 2013

Teladan 30 - Keislaman dan sikap Zaid al-Khair


Teladan 30 Keislaman dan sikap Zaid al-Khair
Gambar hiasan
Zaid Al-Khail bin Muhalhil sebelum memeluk Islam menjaga dan menggembala unta-unta milik saudara perempuannya yang berjumlah hampir seratus ekor. Pada suatu hari, apabila Maghrib menjelang, Zaid yang dibantu dua orang hambanya menambatkan unta-untanya dekat sebuah khemah yang terbuat dari kulit di mana Zaid dan ayahnya tinggal.

Mereka tidak menyedari akan kehadiran seseorang yang sejak tadi mengintai dari balik semak. Menjelang malam, Zaid Al-Khail, kedua pembantu dan ayahnya tidur setelah seharian menggembala unta. Dalam kegelapan malam, ada seseorang mendekati tempat unta jantan ditambat lalu melepaskan tali unta itu. Dia menunggang salah seekor dari unta tersebut dan menyebabkan yang lainnya mengikutinya.

Zaid menyadari yang untanya hilang apabila dia bangun pada pagi esoknya. Tanpa berfikir panjang, dia memacu kudanya mengejar si pencuri. Menjelang tengah hari, Zaid menemui jejak si pencuri dan terus mengejar dengan pantas. Akhirnya Zaid Al-Khail berjaya menemui si pencuri.
Apabila merasakan dirinya dikejar, si pencuri segera turun dari unta jantan yang ditungganginya dan menambatkannya pada sebatang pohon kering. Si pencuri mengeluarkan anak panah dan membidik kearah Zaid Al-Khail.

“Lepaskan unta jantan itu!” perintah Zaid dari atas kudanya.
“Tidak!” jawab si pencuri. “Aku meninggalkan keluargaku di Iraq dalam kelaparan. Aku telah bersumpah tidak akan kembali kepada mereka sebelum berjaya membawa makanan kepada mereka atau aku mati kerananya,” sambung si pencuri.

“Lepaskan unta jantan itu!” bentak Zaid mengulangi perintahnya. “Jika kamu tidak lepaskan, kau akan kubunuh,” sambungnya dengan marah.

“Tidak! Aku tidak akan lepaskan unta itu, walau apa pun yang terjadi!” si pencuri itu berdegil sambil tetap membidikkan anak panahnya ke arah Zaid Al-Khail.

“Kalau begitu, rentangkan tali unta jantan itu. Di situ terdapat tiga simpul. Tunjukkan padaku simpul mana yang harus aku panah,” kata Zaid Al-Khail.

Si pencuri memenuhi permintaan Zaid dan memintanya untuk memanah simpul yang tengah. Zaid membidikkan anak panah dan melepaskannya tepat mengenai sasaran. Si pencuri terkejut dan menunjukkan dua lagi simpulan untuk dipanah. Zaid pun segera melepaskan anak panah dan kedua-duanya tepat mengenai sasaran. Melihat keadaan itu, si pencuri segera memasukkan anak panahnya dan menyerah.

Zaid Al-Khail menghampiri si pencuri dan meninggalkan pedang dan panahnya. “Kamu naik di atas kudaku!" perintahnya kepada si pencuri untuk naik bersama-samanya di atas kuda itu.
“Hukuman apakah yang akan aku jatuhkan padamu,” Zaid bertanya setelah pencuri itu naik.
“Sudah tentu hukuman berat,” jawab si pencuri.
“Mengapa demikian?” tanya Zaid lagi.

“Kerana perbuatanku telah menyusahkanmu. ALLAH memenangkan kamu dan memberi kekalahan kepadaku," jawab si pencuri.

Setelah berdialog panjang, si pencuri akhirnya menyedari bahawa tuan punya unta itu ialah Zaid Al-Khail bin Muhalhil yang terkenal sebagai seorang pemuda yang baik budi pekertinya.

Ketika dalam perjalanan ke khemahnya, Zaid berkata kepada si pencuri, “Demi ALLAH seandainya unta-unta ini milikku sendiri, akan aku berikan semuanya kepadamu. Kau tinggallah di kemahku buat dua atau tiga hari. Tak lama lagi akan terjadi peperangan di mana aku akan memperoleh harta rampasan,” kata Zaid kepada si pencuri.

Benar apa yang dikatakan Zaid Al-Khail. Pada hari ketiga dia menyerang Bani Numair dan memperoleh harta rampasan sebanyak seratus ekor unta. Unta rampasan itu diberikan kepada si pencuri. Biarpun dia belum memeluk Islam, sifat Zaid Al-Khail pada masa Jahiliyah begitu baik dan hebat.

Pada suati hari, berita kenabian Muhammad SAW dengan agama yang dibawanya sampai ke telinga Zaid Al-Khail. Satu delegasi besar yang terdiri dari pemimpin kaum Thayi', iaitu kaumnya berangkat ke Madinah untuk menemui Rasulullah SAW. Mereka terus menuju ke Masjid Nabawi, tempat di mana Rasulullah SAW menyampaikan ajarannya.

Melihat kedatangan mereka, Nabi SAW menyampaikan pidatonya kepada kaum Muslimin yang ada di Masjid. “Aku lebih baik bagi tuan-tuan dari pada berhala 'Uzza dan sejumlah berhala yang tuan-tuan sembah. Aku lebih baik bagi tuan-tuan daripada unta hitam dan segala yang tuan-tuan sembah selain ALLAH.”

Setelah Rasulullah selesai berpidato, Zaid Al-Khail berdiri di antara jamaah kaum Muslimin dan berkata, “Ya Muhammad, aku bersaksi tidak ada tuhan selain ALLAH, dan sesungguhnya engkau adalah Rasulullah.”

Rasulullah SAW menoleh ke arahnya. “Siapakah kamu?” dia bertanya.
”Saya Zaid Al-Khail bin Muhalhil,” jawabnya.

“Kamu Zaid Al-Khair bukan Zaid Al-Khail. Segala puji bagi ALLAH yang membawamu ke sini dari kampung dan melunakkan hatimu menerima Islam,” kata Rasulullah.

Sejak itu Zaid Al-Khail dikenal dengan Zaid Al-Khair. Kemudian, Rasulullah SAW membawanya bertemu beberapa orang sahabat dan membentuk satu majlis halaqah. Pada kesempatan itu, Nabi SAW berkata, "Belum pernah saya mengenal orang yang memiliki sifat sepertimu. Hai Zaid! Dalam dirimu terdapat dua sifat yang disukai ALLAH dan Rasul-Nya.”

“Apakah itu ya Rasulullah?” tanya Zaid.
“Sabar dan santun,” jawab Rasulullah.

“Segala puji bagi ALLAH yang telah memberiku sifat-sifat yang disukai ALLAH dan Rasul-Nya,” ujar Zaid.

Kemudian Zaid berkata kepada Rasulullah, "Berikan aku tiga ratus penunggang kuda yang cekap. Aku berjanji akan menyerang negeri Rom dan mengambil negeri itu dari tangan mereka.”
“Alangkah besarnya cita-citamu wahai Zaid. Belum ada orang bersifat sepertimu,” kata Rasulullah SAW yang mengagumi cita-cita Zaid itu.

Sebelum Zaid dapat memenuhi cita-citanya itu, berlaku satu peristiwa lain. Ketika berada di Madinah, Zaid diserang demam. Tubuhnya menjadi panas dan tidak berapa lama kemudian,dia menghembuskan nafas terakhir.

Zaid wafat tidak lama setelah menyatakan keislamannya di hadapan Rasulullah SAW. Sedikit sekali waktu yang ada baginya setelah masuk Islam, sehingga tidak ada peluang baginya untuk melakukan dosa.

Norziati binti Mohd Rosman